Dalam mengharungi kegawatan ekonomi ketika ini, ramai yang bukan saja mengalami kesempitan wang tapi juga fikiran dan jiwa. Pembuangan kerja dan kesukaran mendapatkan pekerjaan baru mampu membuat sesaorang itu merasa lemah semangat dan memerlukan bantuan serta sokongan moral.
Diperingkat individu, sementara menanti peluang pekerjaan baru, masa terluang yang ada masih boleh dimanfaatkan. Peluang mempelajari kemahiran baru, meningkatkan jati diri dan menyumbang tenaga dalam kegiatan amal merupakan aktiviti-aktiviti yang boleh ditimbangkan.
Diperingkat masyarakat, usaha meningkatkan semangat perpaduan, gotong-royong, bantu-membantu wajar ditingkatkan. Usaha-usaha begini menunjukkan keprihatinan dan mampu mengukuh persaudaraan sesama Islam.
Institusi seperti mesjid boleh membantu usaha-usaha ke arah ini dengan lebih berkesan. Keakraban mesjid yang terletak di hampir kesemua kejiranan boleh dimanfaatkan. Peruntukan dana yang telah disediakan oleh MUIS wajar digunakan seoptima mungkin. Dana ini diperlukan bagi membiayai sebahgiaan besar dari program-program yang hendak dijalankan di mesjid-mesjid.
Saya ingin mensarankan beberapa aktiviti untuk ditimbangkan oleh lembaga pentadbir mesjid (LPM). Ia merupakan program sementara bagi membantu masyarakat berhadapan dengan ujian ketika ini.
Memperbanyak program ziarah masyarakat berdekatan mesjid bagi memberi sokongan secara fizikal dan moral.
Kuliah motivasi yang memberikan panduan-panduan pratikal diadakan secara lebih kerap di mesjid. Panduan mengatur perbelanjaan, menjaga kesihatan dan kaedah rawatan yang mudah, mengurangkan stress, mengimbangi kehidupan adalah diantara pengisiannya.
Menggalakkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Boleh juga diadakan acara berbuka puasa beramai-ramai persis bulan Ramadhan. Selain manfaat puasa yang telah diketahui, dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dan meningkatkan tahap kesihatan.
Mengadakan program qiyamulail secara tetap untuk memperoleh fadhilat keberkahan rezeki dan bantuan dari Allah s.w.t
Mengadakan program zikir beramai-ramai bagi memberi ketenangan dan menghilangkan tekanan fikiran dan jiwa
Menganjurkan persembahan kesenian Islam atau aktiviti sukan oleh jabatan belia sebagai satu wadah hiburan. Kerjasama antara mesjid boleh diadakan untuk memberi kepelbagaian.
Menyediakan makanan malam untuk keluarga yang terjejas. Bungkusan makanan yang telah dimasak pilihan pratikal untuk edaran. Selain itu boleh menarik mereka untuk mengikuti aktiviti di mesjid.
Menjalin rakaian dengan peniaga-peniaga di sekitaran kawasan mesjid untuk penyediaan makanan dengan kos yang rendah. Ini dapat juga membantu para peniaga menampung kos niaga mereka.
Mendapatkan tenaga mereka yang tidak bekerja sebagai sukarela sementara untuk menjayakan aktiviti-aktiviti yang diadakan. Pihak LPM boleh menimbang memberikan elaun tambang. Bagi mereka yang menunjukkan kesungguhan, boleh juga diberikan habuan samada berbentuk wang atau voucher makanan.
Matlamat utama dari segala aktiviti yang diadakan ialah bagi memastikan setiap ahli masyarakat tidak merasa sendirian dalam menghadapi masa-masa sukar begini.
Dalam menghadapi kesukaran yang dijangkakan berpanjangan ini, semua orang berusaha untuk saling membantu. Selain mengisi keperluan jasmaniah, keperluan rohaniah turut diutamakan. Kerja-sama yang melibatkan semua pihak ini akan lebih menguntungkan masyarakat untuk jangka masa yang panjang, Insya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment