Wednesday, June 17, 2009

Erti Hijrah bagi yang berpendidikan sekular - 1/12/08

(tulisan ini saya kirimkan sebagai memberi pandangan alternatif terhadap majlis-majlis sambutan hijrah yang diadakan dimesjid-mesjid. Hasrat untuk mengajak berfikir samada segala yang dilakukan mencapai matlamat)

Sebagai seorang yang mendapat pendidikan sekular sedari kecil dan hanya mengikuti pelajaran agama secara sambilan, saya mempunyai perspektif yang berbeza. Saban tahun saya hanya mengejar “hijrah” sekadar untuk mengikuti acara membaca doa awal dan akhir tahun. Selain itu, majlis-majlis yang diadakan lebih merupakan jamuan nasi bryani yang disediakan secara percuma di hampir semua tempat. Terfikir juga di benak saya, mengapa pihak pengajur tidak “hijrah-hijrah” lagi sedangkan berpuluh statitik telah dikeluarkan berkenaan tahap kesihatan masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Sebagai seorang penuntut dewasa yang mengikuti kelas pengajian agama, pengalaman pembelajaran juga merupakan sesuatu yang agak berbeza. Kerana minda yang telah diasak dengan cara pembelajaran yang berbeza perspektif saya tentang Islam juga mungkin tidak sama. Ini kerana dialiran nasional penggunaan logik dan rasional lebih diutamakan bagi memahami sesuatu kaedah atau ilmu. Saya yakin, bukan saya saja seorang yang mengalami masalah sebegini.

Saya ingin berkongsi pengalaman berhadapan dengan dua kumpulan anak-anak saudara yang hampir sebaya, semuanya dibawah usia 11 tahun. Satu kumpulan mendapat pendidikan agama di madrasah, dan satu kumpulan lagi mengikuti aliran nasional. Saya telah menayangkan VCD animasi sejarah Rasulullah s.a.w. Bagi yang berpendidikan madrasah, setelah selesai menonton, mereka hanya meluahkan rasa simpati dengan apa yang dialami oleh sahabat-sahabat seperti Bilal diawal Islam. Tapi bagi yang berpendidikan nasional pula, mereka mempunyai berbagai soalan seperti “mengapa Bilal disiksa”, “Mengapa Allah tidak bantu Bilal” dan “Susah jadi orang Islam”. Dari persoalan-persoalan yang ditimbulkan saya rasa perlu ada lebih dari satu kaedah pembelajaraan agama bagi kumpulan yang berbeza.

Diperingkat diploma lebih lagi. Kami datang dengan minda penuh dengan fahaman-fahaman yang telah kami anuti secara sedar atau tidak serta pengalaman yang berbagai. Kekeliruan-kekeliruan ini perlu dikenal pastikan dahulu dan dibuang, sebelum pandangan-pandangan baru dapat kami resap dan hayati. Dengan minda yang sudah terisi penuh, usaha guru untuk memasukkan sesuatu yang baru dan lebih tepat menjadi sukar dan sesia.

Sebagai contoh didalam buku “Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M Naquib Al-Attas” oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, telah dikupas beberapa kekeliruan ilmu. Diantaranya pandangan-pandang gologan sofis (sufastaiyyah) yang membincangkan isu-isu ilmu dari sudut-sudut yang berbeza dan yang telah banyak mempengaruhi pandangan hidup masyarakat moden zaman ini. Prof Naquib mengungkai dari akar lagi punca-punca masalah sehingga membacanya terasa seperti kebebasan minda yang sukar digambarkan.

Harapan saya dan mereka yang sealiran bagi tahun baru hijrah ini ialah bagi mereka yang diberi peranan membimbing masyarakat supaya lebih memfokuskan kearah memahami apakah bentuk-bentuk pengisian minda yang telah diresapi dan seterusnya membantu menyisihkannya dengan penuh rela bukan dengan secara paksa. Sebagaimana usaha-usaha gigih yang dijalankan oleh asatizah kita untuk mengikis fahaman extremis beberapa waktu dahulu.

Sekadar meletakkan harapan dan membuat retrospektif hijrah yang lepas, tidak mungkin dapat mendatangkan hasil yang diharapkan. Mungkin inilah punca mengapa saban tahun usaha-usaha yang dijalankan untuk menyelesaikan permasalahan-permasalahan masyarakat Melayu/Islam belum lagi menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

No comments:

Post a Comment