Wednesday, June 17, 2009

Cendiakawan Berperanan Mengikut Bidang Masing2 -25/9/08

(tulisan ini saya kirimkan kerana saya merasa prihatin dengan seruan supaya golongan sarjana turut menyumbang fikiran di persatuan2 agama seperti mesjid sebagai konsultant. Pada saya, lebih banyak bahaya jika orang yang bukan bidangnya dijemput untuk memberi pandangan dan cuba menyelesaikan masalah sosial masyarakat)

Saya merujuk kepada pojok tulisan En Mohd Rahman Daud bertajuk “Mengumpulkkan Cendikiawan bagi zaman emas kedua” (BH, 18/9/2008) dan juga surat kepada ruang forum dari En Muhammad Dzul Azhan (BH,24/9/2008).

Kehadiran semakin ramai cendiakawan dan intelek Melayu/Islam adalah suatu yang amat menggalakkan. Ia juga merupakan cerminan sikap progresif masyarakat Melayu setempat yang menyokong usaha-usaha pemerintah bagi membudayakan ilmu. Dengan itu perlulaha ada usaha untuk meraikan golongan cendiakawan serta ilmuan yang ikhlas berkhidmat dan mengelakkan mereka merasa kehadiran mereka tidak dimanfaat, sebagaimana ditulis oleh wartawan.

Salah satu soalan yang perlu juga ditanya ialah sejauh manakan para intelek kita merasa mampu memberi tumpuan bagi membantu menyelesaikan masalah masyarakat seperti yang disarankan oleh En Muhaamd Dzul. Kita sedar tidak semua ilmuan yang mempunyai kemahiran dan kecenderungan yang sama dan merasa mampu untuk memerah minda serta tenaga. Dengan itu, meletakkan bebanan melebihi kesanggupan mereka merupakan satu ketidak-adilan terhadap mereka.

Ilmuan yang sedar tentang kepakaran serta autoriti mereka dalam bidang-bidang tertentu sudah tentu keberatan untuk menyalah-gunakan diri mereka dengan menyanggupi bebanan yang diluar bidang mereka. Ini kerana mereka sedar keadaan ini akan menimbulkan apa yang telah diistilahkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Atas sebagai kehilangan adab yang akan mengakibatkan lebih banyak kekeliruan dan kekacaun. Prof Naquib berkali menggesa para ilmuan untuk menyedari tempat yang benar bagi meletakkan diri masing-masing menurut kelayakannya.

Perbandingan boleh juga dibuat dengan ilmuan-ilmuan silam dimana kebanyakan mereka menguasai lebih dari satu bidang. Dengan itu mereka mampu melaksanakan lebih dari satu peranan yang diperlukan dan mengisi keperluan masyarakat yang berbagai.

Contoh yang diberikan oleh En Muhammad iaitu “para ilmuan bahasa pula lebih menghuraikan permasalahan bahasa dan wacana sesama mereka dan pelajar mereka” adalah satu contoh yang baik dimana ilmuan menyedari batas autoroti mereka. Mereka sedar kepentingan bahasa sebagai alat penyebaran ilmu dan melaksanakan peranan mereka untuk mengembalikan serta meningkatkan bahasa Melayu yang sudah semakin dinyahkan oleh masyarakat Melayu sendiri dan menjadi asing kepada generasi muda.

Bagaimana pun, saya tidak setuju dengan pandangan En Muhammad yang cuba menyama-ratakan peranan guru dengan para intelek dibidang lain. Para guru bukan saja boleh berperanan memberi nasihat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disarankan oleh pnulis. Bahkan para guru mempunyai peranan penting untuk menjelaskan serta mendidik pelajar, ibu-bapa serta masyarakat matlamat serta tujuan sebenar pendidikan menurut pandangan agama Islam yang dianuti oleh majoriti orang Melayu. Tujuan serta amalan pendidikan yang jelas dapat membantu menghuraikan segala kekusutan yang selama ini menghambat masyakarat kita.

No comments:

Post a Comment