(tulisan ini saya kirimkan kerana prihatin dengan pandangan yang diberikan oleh seorang penganut agama Hindu di masjid Ba'lawi. Pandangan yang diberikan oleh ketua sebuah perkumpulan berpangkalan di Indonesia ini mempromosi pluralisma agama. )
Saya merujuk kepada artikel diBH, Khamis, 20 Dec 2007 berkenaan lintas agama. Saya yakin masih ada pembaca yang tidak pernah mendengar istilah ini. Secara ringkas, ia bertujuan mencapai kesefahaman agama atau religious tolerence. Hanya isu-isu yang dikongsi oleh semua agama ditonjolkan supaya semua penganut berbilang agama dapat merasakan "keseragaman". Walaupun diartikel yang lain pula yang pernah disiarkan diBH, dinyatakan keseragaman agama bukan matlamatnya.
Apa yang menjadi keprihatinan saya ialah yang dijemput ialah seorang rohaniwan berugama Hindu. Rohaniwan ini pula telah mengarang beberapa buku berkenaan sifat-sifat Tuhan dan surah-surah tertentu Al-Quran. Adalah lebih baik jika dia menghuraikan aspek2 agamanya yang boleh difahami hadirin beragama lain, dan bukan cuba menafsir agama yang tidak dianutinya. Dia menilainya dari sudut pandangan seorang bukan Islam dan cuba memberi perspektif "moden" yang diharap dapat menjalin kesefahaman yang lebih baik diantara kaum.
Membaca artikel ini menimbulkan keraguan sedikit dipihak saya dan mungkin ramai yang lain. Lebih-lebih lagi melihat tajuk buku-buku yang dikarang oleh penceramah ini. Bahkan, saya merasa agak resah melihat banyaknya dialog-dialog silang agama yang semakin kerap diadakan di sini. Perkara ini pula telah disokong oleh beberapa cendiakawan sejauh Malaysia yang merasakan negara kita telah mengorak langkah yang betul. Kita dipuji sebagai telah menghidupkan kembali budaya perdebatan antara agama yang telah menjadi tradisi para ulama zaman silam.
Pada saya, mengadakan perbahasan antara agama tidaklah salah.. Malah di Malaysia sendiri, ilmuan terkenal di sana seperi Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menyokong dialog antara penganut agama tetapi bukan untuk membincangkan hal-hal akidah tetapi untuk membincangkan hal-hal berkaitan moral kemasyarakatan yang semua penganut agama boleh berkerjasama. Mereka juga selalu menyatakan bahawa penganut pelbagai agama harus berkejasama dalam melawan arus penghakisan makna kerohanian dan akhlak dalam kehidupan tempatan dan antarabangsa. Mereka juga selalu menegaskan bahawa disamping perlunya melihat persamaan dalam hal-hal tersebut, perbezaan yang terdapat dalam pelbagai agama, khasnya dalam hal-hal akidah harus difahami. Untuk menyatakan bahawa semua agama adalah sama di peringkat metafizik atau transenden adalah amat mengelirukan. Bagi Profesor Wan Mohd Nor pula, menerima perbezaan dan memberi hak setiap agama itu ditafsir oleh golongan berwibawa dalam agama itu dan diberikan kebebasan agama itu diamalkan adalah tanda toleransi beragama yang sebenar.
Seperkara lagi yang saya bimbang, sama ada kita telah mempunyai cukup calon ilmuan yang dapat ditampilkan untuk berhujah dan berbincang dengan tepat dan penuh ilmiah. Ketika zaman kegemilangan Islam dahulu juga, banyak berlaku perbincangan-perbincangan begini. Bahkan, bila dikaji sejarah, berlaku juga banyak kekeliruan-kekeliruan yang berpunca dari bermacam pandangan yang diberikan. Akhirnya, umat Islam sendiri yang rugi sehinggalah bangkit beberapa tokoh besar seperti Imam Ghazali yang membetulkan keadaan.
Tanpa mempersoalkan ketokohan beberapa ulama setempat, saya masih juga merasa khuatiri. Ini kerana sejak sekian lama, kita ketandusan ulama-ulama dan cendiakawan yang berkaliber. Jika dilihat sepuluh tahun kebelakang, hampir tiada kegiatan perbincangan ilmiah yang dijalankan di sini. Perbincangan secara ilmiah bukan menjadi tradisi kita. Bahkan, banyak diantara lulusan agama yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam perbincangan-perbincangan ilmiah secara terbuka. Persoalannya, tanpa latihan yang mencukupi, mampukah wakil-wakil kita tampil kehadapan untuk menjawab serta menerangkan dengan tepat dan benar pandangan Islam tentang sesuatu isu. Mampukah mereka memberi gambaran yang tepat secara ilmiah serta menjawab soalan-soalan yang dikemukakan? Ilmuan agama lain pula bukan calang-calang orang nya. Mereka sudah bergiat dalam bidang penyelidikan agama sekian lama . Mereka sangat tahu dan mahir tentang perbezaan-perbezaan agama.
Saya bimbang sekiranya melalui perbincangan-perbincangan yang diadakan akan menambahkan lagi kekeliruan masyarakat Islam, yang memungkinkan timbulnya fahaman yang sangat melampau. Ketika ini, kita sudah pun berhadapan dengan berbagai kekeliruan yang masih belum diatasi. Pandangan hidup individu Islam dalam masyarakat majmuk kelihatan seperti masih kabur dan belum jelas. Saya bimbang sekiranya dengan banyaknya "pandangan-pandangan moden" akan mempersulitkan lagi usaha untuk memperjelaskan lagi serta mengembalikan identiti Islam yang sudah semakin sukar diketahui. Malah orang bukan Islam juga akan lebih-lebih keliru akan makna dan ajaran Islam yang telah difahami dan dimalkan sekian lama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment