Friday, June 26, 2009

Membina Masyarakat Berbudaya Ilmu

Saya merujuk tulisan En Mohd Raman Daud bertajuk “Memperkasa Daya Saing Anak Melayu” (BH, 29 Jan 2009).

Penulis telah dengan tepat menyuarakan beberapa keprihatinan yang wajar difikirkan. Contoh-contoh kegagalan sistem pendidikan negara-negara yang lebih maju yang turut diketengah amat relevan untuk direnungkan. Bahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berita-berita berkenaan keganasan yang dilakukan dikalangan pelajar di institusi tinggi agak memeranjatkan disamping membimbangkan.

Penulis juga telah mengketengahkan kepentingan melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang yang bukan saja cerdik tetapi juga mempunyai budi pekerti yang mulia dan luhur. Sebagai mana yang disentuh oleh penulis, aspek pendidikan inilah yang wajar diberikan keutamaan bagi mengelakkan pengalaman perit yang sedang dihadapi oleh dunia ketika ini dek perbuatan segelintir individu pintar yang tidak memiliki nilai dan integriti yang tinggi.

Selain itu, penulis juga menyuarakan kebimbangan berkurangnya peranan ibu-bapa dalam pembentukan anak-anak mereka. Dengan sistem satu sesi, masa yang diluangkan bersama anak-anak kian berkurangan dan tugas mendidik diberikan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah. Salah satu kekhuatiran yang dirasakan ialah bentuk bimbingan yang bakal diterima nanti yang mencorak masa depan anak-anak mereka.

Rombakan kurikulum yang kerap dilakukan oleh pemerintah menimbulkan juga suatu persoalan. Apakah sistem pendidikan yang digunakan sebelumnya telah gagal dalam memenuhi matlamat sebenar pendidikan sehingga perlu dirobah? Apakah dasar yang digunakan dalam menggubal sistem pendidikan yang baru kali ini turut berbeza?

Ibu bapa yang prihatin sudah tentu menerima baik objektif rombakan yang diumumkan. Salah satunya ialah bagi menyemai sikap cinta belajar dan ilmu. Disamping itu meningkatkan keyakinan diri pelajar dengan penekanan yang lebih seimbang diantara bidang akademik dan bidang-bidang kemahiran hidup yang diperlukan.

Membudayakan semangat cintakan ilmu merupakan teras ajaran agama Islam. Disamping itu, matlamat dan tujuan menuntut ilmu juga menjadi keutamaan dan perlu jelas.

Bagi majoriti ibu-bapa Muslim, matlamat dan tujuan pendidikan ialah untuk memupuk anak-anak mereka menjadi individu yang baik. Individu yang baik bererti individu yang berakhlak mulia, yang faham tanggung-jawab terhadapnya dirinya, keluarga, masyarakat dan alam. Mereka sedar individu yang baik, yang terdidik dengan nilai dan amalan yang baik, yang nanti mampu mewujudkan masyarakat yang baik dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara dan kelestarian alam.

Satu lagi faktor yang menarik keprihatinan pihak ibu-bapa ialah sistem penilaian baru yang bakal digunakan. Persoalan apakah ukuran yang digunakan bagi menilai pencapaian para pelajar di sudut bukan akademik.

Bagi masyarakat Melayu yang beragama Islam, ukurtara yang digunakan merangkumi aspek-aspek keluhuran diri seperti amanah, jujur dan benar. Dengan itu, para ibu-bapa sangat berminat untuk mengetahui senarai nilai-nilai murni yang bakal disemai dalam pembentukan moral para pelajar. Ini kerana dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama, nilai-nilai yang dipegang selain ada yang dikongsi sama, terdapat juga perbezaan yang nyata.

Contohnya, bagi masyarakat Melayu/Islam, pergaulan bebas tanpa batas, hubungan lesbian dan gay, berzina, perjudian, meminum minum keras merupakan antara perkara-perkara utama yang ditekankan oleh ibu-bapa kepada anak-anak mereka dari awal lagi.

Faktor utama yang akan memastikan kejayaan rombakan yang diumumkan ialah para guru sendiri. Dengan diadakan satu sesi, peranan guru lebih dari sekadar mengajar. Guru-guru perlu memainkan peranan sebagai ibu dan bapa kepada pelajar-pelajar mereka.

Para ibu-bapa meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap kelayakan para guru. Mereka sedar ilmu tidak bebas dari nilai hidup yang dipegang oleh guru-guru itu sendiri. Dengan itu, ibu bapa meletakkan harapan guru-guru yang dilantik merupakan individu-individu yang benar-benar layak dan mampu menjadi contoh tauladan yang baik.

Wajar bagi pihak ibu-bapa mempunyai sikap berhati-hati dan kritikal dalam menerima apa jua rombakan. Ini kerana seperti yang ditulis oleh J J Chambliss dalam bukunya “Educational Theory As Theory of Conflicts : From Aristotle to Dewey” di halaman 5 “dari Aristotles hingga Dewey, ada satu idea yang mengendap, iaitu kita harus menetapkan bahawa kemungkinan, ketidakpastian dan ketidaksempurnaan itu sebagai sifat tingkah laku yang tidak dapat dielakkan”. Apa yang dimaksudkan ialah sisitem pendidikan moden ketika ini yang diguna-pakai disesetengah negara maju tidak dapat memberi jaminan serta kepastian akan keberhasilannya. Bahkan, setiap orang harus menerima kegagalan sebagai sesuatu yang pasti.

Seperti yang ditulis oleh En Rahman, hasil rombakan sistem persekolahan yang baru ini hanya akan diketahui beberapa tahun setelah dilaksanakan. Maka dengan itu marilah kita meletakkan harapan semoga rombakan kali ini akan lebih berjaya dan berkekalan dari perubahan-perubahan yang dilaksanakan sebelumnya. Selain itu, para ibu-bapa juga wajar menyediakan pelan tindakan sendiri bagi menampung beberapa ketidak pastian yang mungkin terjadi.

No comments:

Post a Comment