( membantah pandangan Dr Ahmad Syafii dari Indonesia yang begitu langtang mempromosi pluralisma agama. Sejak dua tahun ini MUIS sering kali menjemput hanya penceramah yang mempromosi pandangan2 liberal tapi tiada seorang sarjana pun yang tampil untuk membantah)
Saya merujuk kepada tulisan En Maarof Salleh bertajuk “Kekeliruan fikir : Antara takut mati dengan takut hidup” yang telah disiarkan di Berita Harian pada 31/10/08.
Penulis telah mengupas dengan tepat satu contoh kekeliruan fikiran dimana pandangan alam Islam cuba dijelaskan berdasarkan acuan barat. En Maarof telah mengketengahkan bahaya dari pemikiran yang begini yang akan melahirkan tindakan yang celaru serta kekeliruan yang berleluasa dikalangan masyarakat umum.
En Maarof juga telah menegur andaian salah yang telah dibincangkan oleh pensyarah undangan ketika memberikan ceramah beliau yang juga telah disiarkan di Berita Harian pada 25/10/08. Dari pandangan yang diberikan oleh Dr Ahmad Syafii, beliau membuat rumusan terdapat kesamaan permasalahan yang dihadapi dalam masyarakat yang berbeza hatta di Singapura.
Saranan-saranan lain Dr Ahmad ialah menerima demokrasi dan pluralisme kerana “lebih cocok dengan nilai-nilai Islam” . Contoh yang diberikan oleh En Maarof berkenaan kegagalan sistem demokrasi seperti apa yang berlaku di Afghanistan dan di Iraq amat relevan untuk direnungkan bersama.
Pluralisme pula perlu diperjelaskan. Sejak istilah “pluralisme” semakin digunakan, ia telah mengundang perdebatan dan pertelingkahan yang berpanjangan yang tiada tanda akan berakhir . Ini kerana istilah ini menyentuh aspek keyakinan, pegangan akidah serta kepercayaan sesuatu agama yang sangat sensitif dan fundamental. Ia bukan saja menyentuh tentang hak saksama tetapi juga untuk menerima semua agama adalah sama di peringkat metafizik atau transenden.
Saya yakin, ramai dikalangan masyarakat yang belum pernah mendengar istilah ini atau masih belum faham makna dan objektif sepenuhnya. Sejak kebelakangan ini, isu pluralisma ini semakin kerap ditimbulkan di media dan dibincangkan diceramah-ceramah umum oleh pensyarah undangan.
Di Singapura sendiri, toleransi agama telah lama wujud. Sikap pragmatik masyarakat setempat yang menerima kepelbagaian agama dan memberi hak setiap agama untuk ditafsirkan dan diamalkan merupakan toleransi sebenar yang perlu dipertahankan. Sikap ini bersesuaian dengan surah Al-Quran yang berbunyi “engkau dengan agama engkau, dan aku dengan agama aku” (QS : 109 : 6).
Sukar untuk difahami bagaimana sekadar menerima istilah seperti “pluralsim” dapat memenuhi objektif melahirkan kesepaduan, menerima persamaan dan mengiktiraf perkongsian. Konotasi istilah itu sendiri membawa makna keterpisahan, ketidak-samaan dan perbezaan.
Kesepaduan yang ingin dicapai khususnya bagi masyarakat majmuk seperti Singapura ialah supaya penganut pelbagai agama dapat bekerjasama dalam melawan arus penghakisan makna kerohanian dan akhlak dalam kehidupan. Nilai-nilai akhlak yang dikongsi sama ditonjolkan dan dijadikan dasar bagi mencapai kebersamaan dalam membina masyarakat yang bersepadu.
Bagaimana pun, disamping perlunya melihat persamaan dalam hal-hal tersebut, perbezaan yang terdapat dalam pelbagai agama, khasnya dalam hal-hal akidah harus difahami. Kekeliruan yang wujud ketika ini, lebih merupakan penerimaan ilmu yang kurang tepat yang melahirkan tindakan seperti estremism dan pengganasan.. Kekeliruan ilmu inilah yang telah dikenal pasti secara tepat oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai punca utama atau akar kepada permaslahan yang menimpa umat Islam hari ini dan masyarakat dunia amnya.
Persoalan lain yang dilontarkan oleh En Maarof iaitu “Apakah mungkin kita juga berhadapan dengan bahaya yang sama besar akibat membesarnya golongan yang berani hidup kerana takut mati?” suatu yang perlu difikirkan oleh setiap pihak yang prihatin. Apakah yang telah mendorong pemikiran begini untuk bercambah sehingga mencapai ketahap bahaya.
Sudahkan generasi muda kita disajikan dengan ilmu-ilmu yang tepat bersandarkan pandangan alam Islam yang benar. Adakah mereka menerima bimbingan untuk mengenal pasti apa yang hak dan apa yang bathil serta mampu membezakannya ketika berhadapan dengan berbagai doktrin, pemikiran serta falsafah yang jelas berbeza. Apakah teras pendidikan agama yang diterapkan disini masih bersifat tulen yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w atau merupakan saduran pelbagai fahaman dan penafsiran berbeza.
Semua ini merupakan cabaran yang perlu difikirkan oleh para ibu-bapa, pendidik dan asatizah yang dibebani tanggung-jawab untuk memperkasa masyarakat am dan generasi muda khurusnya. Bagi menghindar lebih banyak kekeliraun fikir dikalangan generasi muda adalah lebih wajar untuk menilai semua kebimbangan asal pensyarah undangan yang menyampaikan mesej yang kurang sesuai yang telah diutarakan oleh En Maarof.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment