Saya telah berpeluang mengikuti persidangan “Sufi Movements in Contemporary Islam” anjuran bersama Institute of South East Asian Studies dan Universiti Kebangsaan Singapura tidak lama dahulu. Saya ingin berkongsi permerhatian saya yang telah juga saya kirimkan kepada akhbar tempatan.
Persidangan selama 2 hari ini telah dihadiri ilmuan-ilmuan dari lima benua. Objektif utama ialah mencari kesamaan dalam pengamalan Sufi bagi mencapai integrasi agama.
Sebagai pelajar yang mengambil jurusan pengajian Islam, saya terdorong menghadirinya setelah mengikuti siri bengkel Program Integrasi Ilmu pimpinan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud. Prof Wan telah menyentuh peranan besar yang telah dimainkan oleh golongan sufi dalam mencorak keperibadian Muslim dan sifat kebudayaan dan tamadun Islam. Hakikat ini juga telah diakui ramai cendiakawan Muslim dan bukan Muslim.
Pengunaan kata-kata kunci amat penting, dan jika tidak digunakan dengan betul, akan menayang pandangan alam yang berbeza dengan pandangan alam Islam. Saya sedar para penganjur tidak bertolak dari agama Islam atau agama apa-apa pun. Contoh, istilah kontemporari Islam yang digunakan dalam tajuk forum. Pada saya, ia memberi gambaran seolah-olah adanya versi-versi Islam yang lain sedangkan yang dimaksudkan ialah penafsiran, pengamalan serta aplikasi ajaran agama Islam yang disesuaikan dengan konteks masa kini. Saya rasa istilah kontemporari Muslim adalah lebih sesuai atau Dunia Kontemporari
Selain ini apa yang saya faham sebelumnya ialah amalan Islam diawal 300 tahun yang telah diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w sebagai contoh yang terbaik. Dikurun awal ini, budaya ilmu begitu terserlah dan tumpuan usaha dilakukan untuk menrealisasikan potensi sebenar setiap individu yang hidup dizaman itu. Dengan itu, amalan golongan sufi merupakan penafsiran mereka untuk kembali mencontohi kehebatan golongan salaf ini.
Melalui pembentangan kertas-kertas kerja, masa 30 minit yang diberikan, agak singkat untuk memahami bagaimana gerakan sufi ini dapat diintegrasi dengan kehidupan kontemporari umat Islam. Apa yang saya perolehi ialah amalan golongan sufi yang sering disalah-faham dan dilihat sebagai negatif telah cuba dibersihkan dan nilai-nilai positifnya diketengahkan. Bagaimanapun, aspek yang lebih penting, iaitu aspek dalaman yang dijiwai oleh setiap pengamalnya, kurang disentuh dan dikupas. Saya juga pasti, generasi muda ketika ini ramai yang tidak begitu berminat untuk mengetahuinya. Dan ini boleh menimbulkan pemahaman dan amalan agama yang terlalu memberatkan politik dan hukuman zahir.
Saya juga tertarik dengan usaha mencari kesamaan amalan-amalan sufism dalam agama-agama lain yang turut diketengahkan. Saya rasa perbandingan ini berguna kepada umat Islam untuk difikirkan bersama bagi memastikan amalan sufi yang benar dan positif serta kesuciannya dapat terus dipertahankan dan dijaga sebagai salah satu khazanah umat Islam. Cuma unsur-unsr kelainan juga harus ditunjukkan sebab mereka bertolak dari dasar-dasar agama dan syariat yang berbeza. Jika kesamaan saja ditonjolkan, dan menyepikan perbezaan-perbezaan dasar, ia bukanlah adil bagi kedua-dua pihak dan mengelirukan orang ramai.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
komen pribadi saya
Secara peribadi, kehadiran begitu ramai ilmuan dan sarjana, Islam dan bukan Islam, telah tidak memberikan apa jua sumbangan yang bererti dalam perbincangan yang diadakan. Bahkan, pada saya, penceramah-penceramah bukan Islam yang lebih banyak membincangkan tema ini, berusaha menyebarkan fahaman pluralism yang mengelirukan.
Seorang penceramah telah juga cuba memberikan gambaran negatif tentang amalan sufi yang diamalkan disalah sebuah negara Islam. “Dishonest reporting” beliau telah dikritik oleh salah seorang ahli panel Muslim.
Saya pernah juga mengikuti satu bengkel ilmu kerana topik yang dibincangkan amat menarik minat saya. Kedua-dua penceramah telah membentangkan kertas-kerja yang menarik dan mengupas tema ilmu yang diberikan. Mereka juga menjemput hadirin (sarjana, dr, tokoh, pelajar, dll) untuk mendalami topik yang disentuh semasa sesi perbincangan yang diadakan kemudiannya.
Malangnya, apa yang saya perhatikan, para sarjana yang memonopoli perbincangan (khususnya mereka yang telah pun mempunyai status tertentu), lebih banyak mencari kesilapan dari segi pengumpulan data, analisa yang dilakukan, sumber rujukan yang digunakan, bahkan isu grammar juga ditimbulkan.
Sebaliknya, isu utama tidak diberbincang. Saya yang masih baru dalam arena akademik ini merasa agak pelik dengan sikap yang ditanyangkan. Wacana kedua ini diwakili oleh bangsa sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment