Friday, June 26, 2009

Memperkasa Kaum Lelaki

Membaca kisah seorang pelajar lelaki universiti yang baru-baru ini menikam seorang pensyarahnya agat mengejutkan. Pelajar tersebut yang berada ditahun akhir pengajiannya telah mengelar tangannya sendiri dan kemudian terjatuh dari bangunan sekolahnya.

Dalam kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang, mungkin kita lebih menyangkakan individu-individu yang lebih dewasa yang akan melakukan perbuatan yang agak drastik begitu. Ketegangan perasaan serta kerunsingan boleh mendorong sesaorang itu bertindak diluar kawalan.

Dalam laporan “Kes bunuh diri di Singapura” terbitan persatuan Samaritans of Singapore (SOS) tahun 2008, bilangan kaum lelaki yang membunuh diri jauh melebihi kaum wanita. Data untuk tahun 2007, terdapat 215 lelaki yang membunuh diri berbanding dengan 159 wanita.

Salah satu sebab yang telah diberikan oleh seorang pensyarah bidang Psikologi bagi menjelaskan perbezaan ini ialah lelaki lebih “berjaya” dalam mengaturkan rancangan untuk mengambil nyawa mereka sendiri. Maksudnya, berbeza dengan wanita yang melakukannya tanpa dirancang, kaum lelaki merancang untuk melakukannya.

Berbagai alasan boleh diberikan bagi menjelaskan mengapa sesaorang itu terdorong melakukan perbuatan sedemikian. Psikologis memberikan beberapa faktor seperti keperitan menghadapi keinginan yang tidak dapat dipenuhi, merasa tiada harapan, merasa kematian lebih baik atau juga gangguan mental.

Selain gangguan mental, faktor-faktor lain wajar diberi perhatian. Khususnya ketika ini ramai ketua keluarga yang diberhentikan kerja, maka sudah pasti banyak keinginan yang mungkin tidak boleh dicapai. Kesukaran mendapat pekerjaan baru juga boleh membuat sesaorang itu merasa putus asa. Merasa gagal dan tidak mampu mengatasi masalah yang dihadapi boleh membuat sesaorang itu memikirkan untuk mengakhiri kehidupannya sendiri. Ini diantara faktor-faktor yang telah dikenal pasti.

Sudah tentu data begini menimbulkan keprihatinan. Diantaranya, apakah kaum lelaki semakin merasa sukar menangani cabaran hidup? Jika benar, bagaimana untuk membantu mereka untuk meningkatkan keupayaan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Sejak kebelakangan ini tumpuan dan tekanan diberikan kepada kaum lelaki. Buku rekod kaum lelaki, khususnya bagi masyarakat Melayu, telah di dedahkan kepada umum. Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga turut menyuarakan keprihatinan tentang kegagalan kaum lelaki dalam banyak bidang kehidupan.

Pendedahan begini memberikan lebih tekanan kepada kaum lelaki. Keadaan ini boleh membawa kepada kemurungan dan gangguan emosi yang lainnya. Bagi masyarakat Melayu/Islam, mungkin mengambil nyawa sendiri bukan merupakan pilihan. Sebaliknya, minuman keras, menyalah-gunakan dadah dan melibatkan diri dengan kegiataan tidak bermoral menjadi pilihan. Walaupun alasan begini mungkin terlalu umum untuk dikaitkan, tapi ia tetap boleh menjerat individu lelaki yang merasa begitu tertekan untuk memilihnya.

Pada pendapat saya, semua perkara yang disentuh ini berkait rapat antara satu sama lain. Krisis lelaki akan menjadi seperti ‘catalyst’ yang bakal mencetuskan banyak ketidak-normalan dalam masyarakat. Kegagalan kaum lelaki memahami peranan serta mampu memikul tanggung jawab yang sepatutnya perlu diberi tumpuan.

Pendekatan yang saya fikir wajar didahulukan ialah mengesan kegenjotan dalam pendidikan anak-anak lelaki. Ibu-bapa tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dalam bimbingan keluarga yang memberi lebih banyak “kebebasan” pada anak-anak lelaki. Jelas, mereka tidak mampu menghadapi kesan dari pengaruh luar yang sangat hebat dan perlu dibantu dengan lebih lagi.

Setiap ahli masyarakat mempunyai peranan untuk saling membantu dan saling melengkapi kekurangan antara satu sama lain. Maka perkongsian maklumat yang tepat, yang tidak dikelirukan oleh berbagai fahaman serta tafsiran yang berbagai, menjadi keutamaan. Mengembalikan fitrah manusia kepada yang asal memerlukan ilmu yang benar dan menjadi tanggung-jawab guru-guru, asatizah dan pemimpin masyarakat untuk dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment