(memberi pandangan alternatif kerana risau dengan perkembang semasa. Semakin ramai penceramah berfahaman sekular yang mempromosi pluralism yang dijemput. kumpulan target pula adalah golongan muda dan para pelajar institusi tinggi.)
Sejak istilah “pluralism” semakin digunakan, ia telah mengundang perdebatan dan pertelingkahan yang berpanjangan yang tiada tanda akan berakhir . Ini kerana istilah ini menyentuh aspek keyakinan, pegangan akidah serta kepercayaan sesuatu agama yang sangat sensitif dan fundamental.
Sekiranya objektif menggunakan istilah ini bagi melahirkan satu kesatuan, menerima persamaan dan mengiktiraf perkongsian, maka perkataan dasar “plural” itu sendiri bertentangan dengan matlamat yang ingin dicapai. Ini kerana perkataan “plural” itu sendiri membawa makna kepelbagaian, majmuk, ketidak-samaan, terdiri dari komponen-komponen yang berbeza dan tiada langsung membawa makna kesamaan atau perkongsian. Bahkan, boleh juga difahamkan makna istilah ‘plural” sebagai perpecahan dan keterpisahan.
Bagi mengambarkan perkongsian dan kebersamaan, maka istilah yang lebih wajar ialah kesepaduan atau “cohesion”. Istilah yang bernada positif ini akan merangsang minda untuk melihat sesuatu dari sudut yang lebih positif serta merangsang usaha kearah mencapainya.
Dari kamus Longman Dictionary of Contemporary English “cohension” memberi makna “all parts or members are connected or related in a reasonable way to form a whole”. Takrif ini menggunakan istilah “reasonable way” atau cara yang sewajarnya. Ini amat sesuai kerana adalah mustahil untuk mengharapkan kesatuan atau kesepaduan yang sempurna .. Idea, prinsip, pegangan, nilai, moral , pandangan alam yang sudah wujud dan bersemadi sebagai identiti pelbagai golongan, bangsa, puak , agama adalah sukar untuk diubah atau diganti dengan sesuatu yang baru. Maka meletakkan objektif “sewajarnya’ adalah lebih realistik dan memungkinkan kejayaan.
Istilah kesepaduan juga mempunyai konotasi yang membawa mesej kesamaan dan perkongsian naluri setiap individu yang inginkan kebaikan. Ini akan mendorong usaha-usaha kearah mencapai kehidupan yang diharapkan iaitu kedamaian, ketenangan serta keharmonian.
Dalam pelaksaan kesepaduan masyarakat dengan identiti yang berbeza, nilai-nilai yang dikongsi sama, berupa nilai-nilai akhlak yang mulia dan cara hidup yang bermoral dan berprinsip, yang dikongsi oleh semua agama, yang ditonjolkan. Nilai-nilai murni yang dikongsi dan dipersetujui diperikat dan dijadikan landasan untuk saling bekerja-sama, hormat-menghormati demi mencapai kesejahteraan bagi semua anggota masyarakat.
Perbezaan yang dimiliki oleh sesuatu golongan atau dianuti oleh sesuatu agama dianggap sebagai unik dan diterima atas dasar menerima kepelbagaian itulah tolerensi yang sebenarnya. Tiada satu puak atau golongan yang akan cuba memaksa puak lain untuk menerima doktrin atau pandangan yang berbeza dengan apa cara sekali pun.
Setiap nilai yang telah dipersetujui dan dikongsi sama, tidak dibenarkan diubah atau digantikan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak tanpa lebih dahulu berbincang dan memperolehi persetujuan dari semua pihak yang berkepentingan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment