Friday, June 26, 2009

Memahami punca kegagalan masyarakat Melayu

Saya merujuk komentar Pak Oteh “Perbetul Akhlak dizaman mencabar” (BH 29/12/08).

Pak Oteh secara tidak langsung mengharapkan kepimpinan dari negara-negara yang mempunyai majoriti umat Islam. Selain menyenaraikan gejala kepincangan masyarakat Islam yang sudah umum diketahui, penulis juga menyentuh tentang kegagalan kepimpinan dikesemua peringkat khususnya diperingkat keluarga. Kegagalan kaum bapa telah disentuh oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu forum yang kemudian telah dibahaskan oleh perbagai pihak.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan Pak Oteh yang saya nukil di sini “Sebabnya, kita sudah dimaklumi sejak kecil lagi bahawa Tuhan tidak akan merubah nasib sesebuah kaum, selagi ia tidak mengatasinya sendiri.”. Ayat ini dan ayat-ayat seumpama dimana perkataan “mengubah” digunakan dan bukan “mengatasi” sering digunakan sebagai ayat motivasi. Saya ingin memberi perspektif yang berbeza untuk difikirkan bersama.

Allah s.w.t mencipta manusia dengan segala kesempurnaan walaupun dengan potensi yang berbeza. Hikmah disebalik perbezaan ini bagi membolehkan manusia saling kenal mengenali dan saling bantu membantu dalam kehidupan dunia dan perjalanan menuju akhirat.

Ayat ini merujuk kepada sikap manusia yang tidak mengetahui kesempurnaan yang telah Allah s.w.t berikan kepada mereka. Ia cerminan kejahilan manusia yang tidak sedar tentang potensi yang telah dimiliki. Perlu dikembalikan kesedaran manusia untuk mengenali kekuatan serta potensi yang telah dimiliki secara fitrah. Ia juga mensyaratkan ilmu yang dapat menghindar sesaorang dari memilih sesuatu yang salah dan kurang baik. Kegagalan mengenali unsur ini mendorong sesaorang mengubah apa yang telah baik dan sempurna kepada suatu yang merugikan bahkan merosakan.

Potensi yang dimiliki sesaorang merupakan asas yang perlu dikembangkan bagi menrealisasikan peranan serta kemampuan sebenarnya. Peluang-peluang untuk menyuburkan potensi yang dimiliki perlu dicipta dan dikenal-pasti . Mengenali potensi ini juga penting kerana ia berkait rapat dengan matlamat dan tujuan utama keberadaan manusia. Ia akan menghasilkan individu-individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta bermotivasi mengejar kejayaan.

Contohnya, dalam pelbagai sumber sejarah Kepulauan Melayu, orang Melayu terbukti mampu menjadi perniaga dan pengekspot barangan yang berjaya. Orang Melayu juga merupakan orang yang aktif meneroka dan menjelajah peluang-peluang baru di negara-negara serantau. Dengan itu, potensi menjadi seorang usahawan global turut dimiliki oleh generasi Melayu masa kini.

Kesan sekularisma yang ditinggalkan oleh bangsa penjajah sejak sekian lama, telah membuat orang Melayu hilang banyak keahliannya. Disamping itu, sekularisma juga meragut keyakinan serta identiti dan makna diri masyarakat Melayu, khususnya generasi pasca merdeka. Kebingungan yang dialami melahirkan sikap pasif dan menyuburkan sikap menagih simpati serta defensif. Ia juga mendorong sikap mencipta halangan hayalan atau “imaginary boundary” dikalangan masyarakat Melayu.

Kesan ini berbeza dengan masyarakat barat yang menyaksikan kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu yang sangat pesat dan tiada tandingnya dalam sejarah dunia. Kehidupan manusia barat menjadi sangat maju dan mewah walaupun dari segi akhlak dan moral menyimpang jauh dari nilai-nilai murni yang diterima oleh banyak agama.

Pada pendapat saya, amatlah penting untuk mengkaji kembali sejarah dari perspektif berbeza dan berdasarkan pandangan alam yang tepat. Melaluinya nanti dapat dikenal pasti titik permulaan perubahan yang telah mencorak minda dan sikap masyarakat.

Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bangsa Melayu secara drastik dan menyeluruh. Tamaddun Melayu ketika itu diantara yang unggul sehingga menarik minat bangsa Eropah untuk dijelajahi dan ditakluki. Perlu dikaji semula kerangka ilmu atau “framework” yang telah digunakan sehingga mampu memperkasa bangsa Melayu suatu ketika dahulu. Di samping itu kita harus juga mengambil iktibar dari kesilapan-kesilapan yang dilakukan pelbagai lapisan pemimpin agar tidak mengulanginya di masa hadapan.

Saranan Pak Oteh supaya memperbaiki akhlak harus difikirkan. Ia tidak semudah yang dijangkakan. Kesan sekularisma telah menggadai banyak nilai-nilai agama yang mulia dan sesuai dengan adat serta resam budaya. Pengaruh sekularisma keatas kehidupan beragama dan kebudayaan perlu dikenal pasti dahulu. Semua bidang ilmu-ilmu masakini perlu disaring dan dimurnikan semula. Barulah nanti nilai-nilai mulia yang mampu menzahirkan akhlak yang mulia dapat diterapkan. Hanya dengan cara ini saja seorang individu itu mampu mencapai kejayaan yang sebenarnya dalam semua bidang kehidupan.

No comments:

Post a Comment