Thursday, June 18, 2009

Krisis Kewangan dan Masyarakat Melayu - 17/10/08

(memberi pandangan alternatif kerana terdapat banyak suara-suara yang cuba menakut-nakutkan masyarakat Islam dengan kegawatan ekonomi. Hakikatnya, sebagai orang Islam, keyakinan kita hanya pada Allah s.w.t dan memahami segalanya merupakan ujian yang perlu dihadapi dengan tenang dan sabar. Tidak perlu panik - mesej yang ingin disampaikan)

Rasanya tidak silap jauh sekiranya dikatakan majoriti masyarakat Melayu tidak sedar tentang krisis kewangan yang sedang melanda. Lebih-lebih lagi suasana hari raya masih terasa dan ditambah dengan musim peperiksaan. Kebimbangan yang dirasakan oleh ramai pemimpin dunia, penganalisa ekonomi serta pengurus-pengurus institusi kewangan tidak begitu meninggalkan kesan.

Ketidak pedulian yang digambarkan merupakan ceminan ketidak pekaan masyarakat tentang persekitaran serta isu-isu penting yang boleh meninggalkan kesan pada diri, keluarga, masyarakat, negara serta dunia. Apa yang dapat diharapkan ialah, sikap ini merupakan sikap mendasar masyarakat Melayu yang beragama Islam yang tidak meletakkan kepentingan materi sebagai keutamaan dalam hidup mereka.

Sudut positif yang dapat diketengahkan ialah masyarakat Melayu/Islam telah ditanamkan dengan nilai-nilai agama yang tepat dan benar. Pegangan agama yang dimiliki yang tidak meletakkan keutamaan kepada kebendaan begitu sebati dalam jiwa masyarakat Melayu sehingga tidak membuahkan rasa bimbang atau panik dengan keadaan yang bakal berlaku. Segolongan kecil mereka yang mengikuti perkembangan semasa, mungkin sekadar membuat persediaan dalam bentuk mengurangkan perbelanjaan dan menabung sebagai menyediakan payung sebelum hujan.

Selebihnya, mereka yang berpegang kepada pandangan “rezeki ditentukan oleh Allah s.w.t”, tidak melakukan apa jua usaha sebagai persiapan menghadapi hari-hari sukar. Pengalaman-pengalaman lepas yang dilalui memperlihatkan betapa ramainya keluarga serta individu Melayu yang tidak mampu bangkit dari kesan kemelesetan ekonomi yang lalu sehinga perlu dibantu oleh berbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Adakah senario yang sama yang akan kita hadapi nanti kerana keengganan masyarakat untuk turut memikirkan sama serta mengambil iktibar dari pengalaman silam?

Pihak yang prihatin sudah tentu akan memerah otak mencari jalan bagaimana meningkatkan kesedaran masyarakat untuk sama-sama membina ketahanan diri. Yang jelas, kekeliruan yang berpunca dari salah faham ilmu yang diterima telah menimbulkan ketidak-upayaan untuk menilai serta meletakkan suatu perkara di tempatnya yang tepat. Kegagalan untuk memahami perkara-perkara yang menjadi keutamanan merupakan punca sebenar yang menghambat masyarakat dan melahirkan berbagai masalah sosial yang kian meruncing.

Visi membangunkan sistem pendidikan agama yang progresif, moden dan relevan kepada masyarakat, negara dan dunia yang kian global, yang telah dibentangkan oleh Dr Yaacob Ibrahim yang disiarkan di berita harian, 13 Oktober 2008, merupakan suatu yang sangat dialu-alukan. Apa yang dapat diharapkan semoga pendekatan yang dipilih nanti lebih menumpukan kepada pembentukan pembangunan individu yang sedar tentang tanggung-jawab dirinya dan bukan sekadar menekankan peranannya sebagai warga kerja dan negara. Ini kerana, individu yang sedar dan bertanggung-jawab sudah tentu dapat memainkan peranannya dengan lebih efektif sebagai ahli keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Intisari sistem agama yang bakal dipertingkatkan nanti sudah tentu akan menyemak semula formula-formula yang telah digunakan sebelumnya dizaman silam yang telah terbukti berjaya yang dapat diterapkan dengan mengambil kira konteks semasa. Perbandingan kepada sistem-sistem pendidikan selain Islam juga berguna dijadikan rujukan serta panduan untuk tidak diterima-pakai bagi mengelakkan kegagalan yang serupa yang telah dikenal pasti.

No comments:

Post a Comment