Friday, June 26, 2009

Mempertahan Jati Diri Melayu

(terdorong memberi pandangan kerana terkilan dengan sikap sesetengah orang yang hanya suka melihat kelemahan orang2 Melayu. Sikap membuka pekung sendiri ini tanpa memberi huraian serta jalan keluar yang tepat tidak menguntungkan bangsa sendiri. Sebaliknya, akan menimbulkan kesal negatif dan melemahkan semangat dan jati diri generasi muda yang sedang kebingungan)

Saya merujuk tulisan En A Rahman Basirun “Siapa Melayu Sebenarnya” yang disiarkan di BH (18 Dec 2008).

Senarai yang diberikan oleh penulis merupakan stereotaip yang sering dilemparkan kepada orang Melayu. Seperti yang penulis nyatakan orang Melayu sendiri turut terikut-ikut dalam menlabel sesama sendiri.

Watak negatif yang sering dikaitkan terhadap orang Melayu sebenarnya adalah “baru” dan asing dalam sejarah orang-orang Melayu silam. Di zaman sebelum penjajah, ketinggian budi bahasa, pekerti yang mulia dan sikap jujur, amanah dan toleransi, merupakan ciri-ciri Melayu. Ini digambarkan dalam berbagai bentuk seperti pantun, syair , dogeng rakyat dan hikayat-hikayat Melayu yang menekankan tentang akhlak mulia yang diamalkan ketika itu.

Saya setuju dengan pendapat penulis yang mengatakan jati diri dikalangan orang Melayu masih belum kukuh. . Penulis juga menyentuh kecenderungan membuat tanggapan berdasarkan sumber-sumber yang belum dipastikan kesahihanya yang turut dilakukan oleh bangsa yang lebih maju seperti di barat.

Dewasa ini terdapat kesedaran yang semakin meningkat tentang keperluan mengkaji semula bahan-bahan sejarah khususnya di alam Melayu. Gesaan supaya lebih ramai ahli sejarah tempatan tampil untuk mengkaji semula bahan-bahan sejarah. Ketika ini, buku-buku yang mengupas tentang sejarah Melayu lebih banyak merupakan hasil tulisan orang-orang bukan Melayu. Tidak mustahil intepretasi mereka berdasarkan pandangan alam mereka, nilai yang mereka pegang serta bersandarkan budaya yang mereka miliki.

Hasil dari intepretasi yang diterima, khususnya melalui pelajaran sejarah di sekolah-sekolah, generasi muda sekadar menerima pandangan yang diberi. Ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan dalam pemikiran mereka tentang imej Melayu yang turut menimbulkan kekeliruan mereka tentang identiti mereka sebagai orang Melayu.

Dalam takrif Melayu, agama Islam merupakan salah satu faktor yang sentral selain bahasa dan budaya yang dimiliki. Dengan imej Islam yang kini terpalit oleh perbuatan segelintir golongan extremis, dapat difahamkan kesan terhadap perspektif mereka. Soroton media-media tempatan dan antarabangsa tentang Islam turut tidak membantu mengukuhkan jati diri mereka.

Tidak salah jika dikatakan generasi muda kita merasa kian terpinggir dan kehilangan makna diri. Ini memungkinkan cetusan rasa marah, ingin memberontak dan seterusnya menghilangkan sama sekali kesan keMelayuan yang dipusakai. Ia juga boleh dijadikan sebab mengapa mereka lebih mudah terdorong meniru cara barat. Kekeliruan yang mereka alami dilahirkan dalam bentuk tindakan yang dianggap anti-sosial, bermasalah dan sia-sia.

Saya fikir adalah lebih wajar untuk berhenti dari menyenaraikan sikap negatif bangsa sendiri. Sebaiknya kita tumpu dalam mengkaji kembali kecemerlangan tamaddun Melayu sebelum zaman penjajahan secara adil dan benar. Kita cuba faham kesan yang ditinggalkan oleh bangsa barat terhadap pendidikan, nilai serta pandangan alam Melayu dan Islam ketika itu yang masih kekal sehingga kini.

Kita berharap dapat menyakinkan generasi muda kita tentang keunggulan bangsa Melayu dan bahasa Melayu yang telah diterima secara meluas sebelumnya. Kita ingin supaya generasi kita tidak lagi merasa malu sebagai orang Melayu. Sebaliknya merasa bangga menjadi sebahgian dari bangsa yang bukan saja mempunyai kerangka ilmu yang tinggi tetapi juga nilai dan akhlak yang dipuji dan dikenali. Dengan itu mereka akan terdorong untuk berusaha meningkatkan diri dan menebus kembali maruah mereka yang telah hilang.

No comments:

Post a Comment