Friday, June 26, 2009

Memahami Sekularisme

Saya merujuk tajuk berita “Memupuk keharmonian antara agama – mengikut pandangan Mufti Syria” (BM 24/5/09).

Saya memetik pandangan beliau tentang bagaimana sistem sekular telah disalahertikan sebagai satu sistem ateis atau yang tidak percaya Tuhan. Beliau juga menyatakan “sekularisme dapat memberikan sumbangan besar terhadap keharmonian antara agama”.

Saya bersetuju iaitu dalam konteks Singapura sistem sekular yang diamalkan bersifat pragmatik. Ia bukan berdasarkan falsafah sekularisme yang tulin dimana unsur-unsur rohaniah telah pisahkan dan nilai-nilai agama dan akhlak menjadi relatif. Dalam falsafah sekularisme yang tulin, hanya bidang-bidang seperti sains, teknologi dan perubatan yang dijadikan sandaran dalam menentukan nilai2 moral dan akhlak.

Bentuk sistem sekular yang diamalkan di negara kita mengiktiraf semua agama. Setiap penganut diberi kebebasan untuk menyakini kebenaran agama masing-masing. Kebebasan untuk menyakini ajaran agama sendiri sebagai benar tidak dipaksakan kepada penganut agama lain. Sikap saling memahami dan menghormati ini membolehkan kita hidup aman damai dan membantu negara mencapai kemajuan yang pesat.

Pihak pemerintah juga sangat tegas tentang ruang bersama yang diperuntukkan kepada setiap kaum. Sikap ini jelas dengan tindakan tegas yang diambil keatas pihak-pihak yang cuba mengkerohkan keadaan. Contohnya, lapuran di BH (29/5/09), sepasang suami-isteri telah dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah kerana mengedarkan risalah berbentuk hasutan. Sebelum itu, seorang penulis blog juga telah dikenakan hukuman atas kesalahan yang sama.

Kedua-dua insiden ini merupakan contoh ketidak-matangan individu-individu terlibat yang hidup dalam masyarakat plural seperti negara kita.

Pada saya penting juga untuk memahami maksud kenyataan Mufti Syria, Sheikh Dr Ahmad Bade Eddin Hassoin yang menyatakan “ ketika terdapat kepelbagaian kepercayaan dan agama di dalam sesebuah negara, maka akan terdapat budaya spiritual yang sangat tinggi”. Ini kerana, hampir semua agama menganjurkan nilai hidup yang murni dan mulia. Nilai-nilai universal yang dikongsi tidak bersifat nisbi atau relatif yang mampu menjamin keharmonian hidup umat manusia.

Masyarakat yang mengamalkan sistem hidup beragama meletakkan moral dan akhlak dikedudukan yang paling utama. Matlamat dan tujuan hidup mereka adalah lebih jelas. Keadilan dan kebahgiaan merupakan objektif yang dikongsi dan diusahakan bersama walaupun dengan kaedah berbeza. Jika setiap ahli masyarakat meletakkan keutamaan ini serta ikhlas, akan lahir budaya spiritual tinggi yang mungkin dimaksudkan oleh Dr Ahmad.

Dr Ahmad menyeru kepada masyarakat Islam, Buddha dan Krsitian untuk saling berkerjasama demi mewujudkan suasana sejahtera dan rukun damai. Bagi mencapai matlamat ini, ideologi dan falsafah yang cuba merungkai kesucian mana-mana ajaran agama perlu difahami dan ditangani. Fahaman yang menekankan kepada budaya individualistik yang tidak serasi dengan budaya timur juga perlu diatasi. Nilai-nilai mulia ketimuran seperti menghormati ibu-bapa, orang-orang lebih dewasa, guru-guru, tingkah laku sopan di tempat awam serta sikap hidup saling bantu membatu perlu disuburkan kembali.

Nasihat terakhir beliau supaya umat Islam menghulurkan tangan kepada semua bangsa dan agama dan menjadi saudara kepada mereka amat relevan. Dalam tamaddun Islam silam, sikap ini telah dilaksanakan dengan berjaya. Perkongsian ilmu yang berlaku dikalangan ulama-ulama silam dengan cendiakawan berbagai bangsa dan agama telah membantu banyak bangsa dunia untuk bangkit dari zaman kegelapan kepada zaman kecemerlangan keilmuan.

Ketamaddun global yang diwarisi melalui ajaran Islam sangat menekanan aspek ketinggian ilmu. Jika difahami dan diamalkan dengan tepat mampu menyelesaikan banyak permasalahan umat dunia masa kini. Yang penting dialog secara muhibbah dan penuh hikmah dijadikan wadah utama dalam perkongsian begini.

No comments:

Post a Comment