Friday, June 26, 2009

Mengenali Sejarah Bangsa Sendiri

Saya amat tertarik dengan tulisan En Mohd Raman Daud bertajuk “Saham Dalam Sejarah Masyarakat” (BH, 12 Feb 09).

Pada pendapat saya, usaha penulis untuk memperkenalkan kepada umum beberapa karya ilmuan tempatan wajar mendapat perhatian. Nukilan pandangan almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas oleh penulis juga amat relevan untuk direnungkan bersama.

Pendedahan begini wajar diteruskan kerana saya yakin ramai, khususnya golongan muda, yang tidak mengetahui kewujudan tokoh-tokoh ilmuan bangsa sendiri. Seperti yang ditulis oleh penulis ia merugikan. Ini kerana jati diri sendiri dipinjam dari bangsa lain.

Sememangnya diakui sukar menarik minat ramai untuk membaca atau mengkaji sejarah bangsa sendiri. Salah satu faktor utama ialah pendekatan yang digunakan dalam pendidikan sejarah kepada para pelajar. Buku-buku teks sejarah umumnya menyenaraikan urutan peristiwa-peristiwa secara kaku. Penekanan lebih kepada penghafalan fakta dan bukan memahami makna dan iktibar dari setiap peristiwa yang berlaku.

Selain itu, terdapat perbezaan sejarah alam Melayu dirakamkan berbanding dengan sejarah bangsa asing. Kesukaran memperolehi bahan sejarah bertulis di kepulauan Melayu memerlukan kaedah dan pendekatan yang berbeza untuk difahami. Oleh kerana kebanyakan buku-buku teks sejarah ditulis oleh penulis bukan Melayu, maka kesan yang diperolehi juga amat berbeza.

Dalam menentukan sesuatu peristiwa yang mempunyai nilai sejarah, penulis-penulis asing mempunyai kriteria yang lebih sesuai untuk budaya dan tempat asal mereka. Sekadar meninjau dari jauh dan menilai tanpa menghayati sendiri budaya dan adat istiadat Melayu, memungkinkan penilaian yang kurang tepat dan tidak adil. Pandangan yang kemudiannya disampaikan melalui makalah, buku-buku teks dan selainnya, melahirkan perspektif yang dangkal dari pembaca yang kurang arif dan kritis.

Bahkan seperti yang pernah ditulis oleh Prof Syed Naquib Al-Attas “Kesusasteraan yang diperkenalkan itu jenuh mengulang dongengan, dan sejarah yang dirumuskan darinya itu tiada lain kecuali mitos yang melampau dalam khayalannya sehingga datang rasa muak dan enggan mengenalinya.”

Pandangan begini kemudian diterima dan disalurkan dalam bentuk media lain seperti dokumentari, drama dan wayang. Akhirnya, tafsiran yang diterima lebih kepada menonjolkan kelemahan bangsa sendiri sehingga ramai yang lebih selesa “melupakan” saja. Perspektif yang diterima dari kesan begini melahirkan satu bangsa pinggiran yang sentiasa mengharap penerimaan dan pengiktirafan bangsa lain yang dianggap lebih baik dan mulia.

Sewajarnya kesan yang diharapkan dalam pembelajaran sejarah ialah melahirkan individu-individu yang berkeyakinan tinggi dengan kemampuan sendiri untuk mencorak tamaddun bangsa sendiri. Ini digambarkan dengan cukup berkesan oleh Prof Syed Naquib Al-Attas dalam monogeraf beliau yang penting “Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”. Beliau menulis “Apabila kita tinjau luasan alam sejarah insan dari abad datang kezaman, akan kita dapati sekali sekala suatu pergolakan hebat yang merobah nasib suatu bangsa dan daya sejarah bangsa itu, sehingga perubahan itu menandakan suatu zaman baru. Pengertian ‘zaman baru’ itu ialah suatu zaman yang mempunyai ciri-ciri yang penting dan yang bersifat persendirian serta berlainan dengan sifat2 zaman yang lampau, zaman yang menayangkan pandangan hidup yang berbeza daripada yang lampau, zaman yang menubuhkan bukan sahaja rupa baru bahkan juga jiwa baru.”

Monogeraf Prof Syed Naquib Al-Attas ini wajar dibaca oleh semua yang bersemangat untuk mengetahui peranaan sebenar Islam dalam sejarah alam Melayu. Monogeraf ini yang telah dimuat-turun dalam bentuk “pdf ” boleh diperolehi melalui talian internet, amat penting untuk difahami dan disebarkan kepada semua khususnya generasi muda.

Selain kita mencatit sejarah-sejarah baru untuk generasi akan datang, kita tidak harus juga melupakan sejarah silam yang telah banyak mencorak kehidupan masa kini kita.

No comments:

Post a Comment