Saya merujuk tulisan En Ismail Pantek “Serangan Israel Ke Atas Bumi Palestine “ (BM 4 Jan 2009)
Penulis telah menyamakan perlakuan ketenteraan Israel dengan serangan pengganas di beberapa lokasi di dunia. Penulis juga telah merakamkan detik-detik sejarah yang telah merentengi pergolakan di bumi Palestine sejak sekian lama. Sebagai seorang Muslim, penulis memberikan pandangan dan penilaian berdasarkan nilai, kepercayaan dan harapan setiap individu muslim lainnya.
KIta melahirkan harapan versi yang dirakam ini juga merupakan versi yang bakal dibaca oleh generasi seratus tahun dari sekarang. Kita merasa bimbang dengan banyaknya fakta sejarah yang telah dimanupulasi dan kesan sejarah diberi interpretasi yang berlainan. Ini dilakukan bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu pihak yang berkepentingan. Semoga apa yang berlaku kepada sejarah alam Melayu dahulu tidak akan berulang.
Saya ingin mengajak pembaca mengimbas semula sedikit kesan sejarah yang telah kita pusaki. Membaca sejarah sebagai perbandingan, akan kita ketahui bahwa sejarah tamadun alam Melayu lebih gemilang dari yang sering digemburkan. Tanpa menafikan adanya beberapa kesan negatif yang ditinggalkan, sejarah alam Melayu mempunyai rangkaian pertistiwa yang menunjukan kemampuan sebenar orang-orang di kepulauan Melayu.
Jelas masyarakat Melayu tiada kurang hebatnya dari bangsa-bangsa lain dunia. Bagaimana pun, paparan tamadun alam Melayu tidak diperlihatkan dalam bentuk bangunan atau seni bina serta kraftangannya seperti tamadun bangsa lain. Ia lebih kepada keperibadian, pemikiran, keagamaan serta kebudayaan yang lebih tinggi nilainya.
Kita akan dapati orang-orang Melayu dahulu meletakan ilmu dikedudukan yang sangat tinggi. Guru-guru dan para ulama sangat dihormati. Menimba ilmu adalah satu aktiviti yang dipandang mulia dan menjadi suatu perkara yang sangat dianjurkan. Terdapat banyak pusat-pusat pengajian yang ditubuhkan di merata tempat di seluruh pelusuk alam Melayu. Hanya, pusat-pusat ini tidaklah sehebat universiti-universiti termasyhur dunia.
Kesan penjajahan telah merubah semua ini. Penjajah yang menakluki alam Melayu bukan saja berjaya mengaup banyak khazanah dan kekayaan yang dimiliki, tetapi meninggalkan kesan yang besar pada nasib bangsa Melayu sehinga kini.
Salah satu kesan yang diketahui ialah terputusnya kaum Melayu-Muslim daripada ilmu pengetahuan mengenai agama yang dianuti dengan secara perlahan menerusi sistem pelajaran. Selain itu, kemasukan secara halus fahaman ilmu Barat ke dalam sistem pelajaran, unsur-unsur, nilai-nilai serta konsep agama yang murni dan memutuskan hubungan kebudayaan Islam dikalangan masyarakat Melayu/Islam seluruhnya.
Bagaimana pun, masyarakat Melayu sendiri tidak mudah mengesan perubahan yang berlaku . Mereka tidak merasa ragu bila-mana cerdik pandai barat melaungkan ilmu itu bersifat neutral, tiada terkait dengan nilai atau moral sesuatu bangsa atau agama. Dengan itu, masyarakat Melayu terus meresapi ilmu yang diajukan tanpa syak dan wasangka. Mereka tidak sedar sebenarnya ilmu pengetahuan itu boleh menjadi alat yang sangat halus dan tajam untuk merubah minda, budaya, akhlak dan tujuan hidup sesaorang.
Perubahan-perubahan ini telah meninggalkan kesan sehingga masa kini. Diantara yang dapat dikenal pasti ialah perubahan sikap masyarakat terhadap ilmu dan tujuan hidup. Pencarian ilmu dibataskan kepada memenuhi keperluan kebendaan dan kehidupan di dunia saja. Tujuan akhirat telah tidak diberi keutamaan. Selain itu, masyarakat sudah tidak mengenali lagi hakikat agama yang sebenar kerana sudah dikelirukan.
Disamping itu, kerana tidak sedar keagungan sejarah bangsa dan agama sendiri, timbul dikalangan orang Melayu-Islam perasaan hina dan rendah diri. Ini berpunca dari kejatuhan maruah diri yang telah diperolehi dari penerimaan bahan sejarah yang telah dimanupulasi.
Terdapat juga kesedaran dikalangan masyarakat untuk menegak semula maruah diri sendiri. Bagaimana pun, dasar-dasar asing yang bukan milik bangsa dan agama sendiri yang digunakan. Timbul pemimpin-pemimpin masyarakat yang lebih berpengetahun tentang kebudayaan asing dari kebudayaan bangsa dan agama sendiri. Masyarakat menjadi semakin keliru bila dasar-dasar asing ini yang disampaikan ketengah masyarakat bagi menyelesaikan masalah sosial mereka..
Wajarlah kita menilai semula peristiwa-peristiwa yang telah berlaku. Kita mencari iktibar dari kesilapan yang telah dilakukan. Kita memasang tekad untuk memastikan generasi akan datang tidak perlu lagi mengalami apa yang telah kita alami . Dengan itu, haruslah kita mencatit peristiwa-peristiwa penting yang mempunyai nilai sejarah untuk dijadikan bukti berguna bagi generasi baru nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment