Friday, June 26, 2009

Perwakilan Agama dalam Dialog Negara Sekular

Saya merujuk makalah yang telah disiarkan di BH (1/6/09) bertajuk “Peranan Agama di negara sekular”.

Pada pendapat saya pandangan yang telah diberikan oleh kedua-dua penulis amat penting dan wajar diberikan perhatian. Beberapa usulan yang diketengahkan sangat relevan untuk difikirkan secara mendalam.

Penglibatan lebih aktif badan-badan agama dalam arus perdana mampu memberi perspektif yang lebih menguntungkan. Sebaliknya peminggiran agama ke “ruang peribadi”nya hanya akan meluaskan jurang yang semakin hari akan menjadi semakin sukar dijembatani.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan penulis “interaksi sihat antara kelompok agama dengan kelompok sekular perlu untuk membangun sebuah masyarakat yang tinggi daya tahannya”. Strategi ini dapat menrealisasikan keinginan pemerintah menggalakkan penyertaan aktif rakyat dalam merangka dan mencerna dasar negara.

Bagi mendokong misi ini, dialog secara muhibbah merupakan wadah utama. Pemilihan wakil yang sah bagi setiap kelompok perlu ditentukan. Kewibawaan wakil yang dipilih amat mustahak bagi memastikan pandangan yang diketengahkan nanti benar-benar mewakili pandangan majoriti kelompoknya. Mandat yang diberikan kepada perwakilan perlu dihormati bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan perpaduan dikalangan ahli-ahli sendiri.

Pemilihan pemimpin yang tepat perlu berdasarkan beberapa kriteria yang disepakati. Bagi masyarakat Islam banyak contoh yang dapat diperolehi melalui sistem kekhalifahan silam. Para khulafa ar’rasyidin merupakan contoh terbaik ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan.

Para wakil yang dilantik sewjarnya memiliki beberapa ciri tersebut iaitu ketinggian intelektual, akhlak dan kerohanian. Keperluaan menguasai beberapa bidang ilmu dan memahami secara mendalam masalah-masalah kontempori. Perwakilan diharap dapat mensarankan huraian-huraian yang pratikal bersandarkan falsafah dan pandangan alam Islam yang tepat dan benar.

Para wakil yang dilantik membawa image masyarakat dan agama Islam. Maka dengan sendirinya perlulah bersikap konsisten dalam mempamerkan ketinggian budi perkerti yang luhur dan akhlak mulia. Image yang ditonjolkan merupakan keyakinan diri terhadap ajaran agama serta prinsip-prinsip penting yang juga dianuti oleh keseluruhan masyarakat Islam.

Dialog diantara agama dan diantara kelompok agama dengan kelompok sekular seperti yang dianjurkan oleh penulis wajar diadakan secara berterusan dan teratur. Perbezaan-perbezaan fundamental perlu difahami dan diterima terlebih dahulu. Pemaksaan idea dan fahaman, baik yang berbentuk keagamaan atau sekular perlu dihindarkan. Sebaliknya, kompromi dicapai dengan memberikan kebebasan setiap kelompok menerima atau menolak serta mempertahankan prinsip utama yang diwakilinya.

Kesimpulannya, interaksi begini dilihat dari sudut positif dan tidak harus menimbulkan kebimbangan yang berlebihan. Ia mampu mengukur sejauh mana kematangan masyarakat negara kita yang rata-rata berpendidikan dan terdedah kepada pengaruh-pengaruh luar yang lebih hebat lagi.

No comments:

Post a Comment