Friday, June 26, 2009

Isu Label Halal

Saya merujuk perbincangan hangat sejak dua minggu lalu berkenaan label “No pork no lard” yang digunakan oleh beberapa peniaga bukan Islam.

Apa yang menarik pada saya ialah keprihatinan yang telah ditunjukkan serta ketegasan yang diluahkan melalui forum di akhbar. Pihak yang berkenaan, khususnya MUIS, telah digesa mengambil peranan yang lebih aktif dalam permasalahan begini.

Pada pendapat saya sikap peka yang ditunjukkan sesuatu yang menggalakkan. Lebih-lebih lagi isu yang dipertikaikan mempunyai implikasi meluas dan jika tidak dibendung awal berkemungkinan meninggalkan kesan yang lebih jauh lagi.

Satu lagi yang menarik pada saya ialah mereka yang prihatin menggunakan saluran yang tepat bagi menyalurkan pandangan serta bantahan. Sudah pasti kaedah ini lebih berkesan dari perbincangan di bawah-bawah kolong blok atau di kedai-kedai kopi.

Isu begini dan isu-isu lain yang menyentuh kemaslahatan masyarakat, khususnya masyarakat Melayu/Islam, wajar dibincangkan secara terbuka. Contohnya, kesan rombakan kurikulum terbaru yang dilakukan oleh kementerian pelajaran bagi peringkat rendah. Walaupun pihak yang bertanggung-jawab telah memberikan penjelasan dan perincian, adakah pihak ibu-bapa benar-benar faham tentang implikasi dari rombakan tersebut.

Sikap proaktif wajar disuburkan dikalangan masyarakat kita. Mungkin ramai yang belum memiliki kemampuan berfikir secara kritis dan mendalam. Dengan itu, media memainkan peranan sebagai pencetus yang mengketengahkan isu-isu yang patut dibincangkan. Perbincangan secara terpimpin amat diperlukan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai daya motivasi dan keupayaan menyelesaikan masalah bangsa sendiri dan tidak terlalu bergantung pada pihak lain.

Selain itu, kita ingin membudayakan sikap yang berdasarkan ilmu. Pandangan atau isu yang dikongsi dipertimbangkan dari sudut ketepatan maklumat serta benar-benar membawa manfaat bagi umum. Lebih hebat lagi sekiranya pendekatan serta alternatif yang lebih baik disarankan setelah direnungkan dan dilakukan penelitian dan pengkajian rapi.

Saya rasa yakin masyarakat kita yang rata-rata melalui sistem pendidikan formal mampu melepaskan diri dari belenggu fikiran yang keliru serta tidak mudah dipengaruhi oleh pihak yang berkepentingan.

Seperti yang ditulis oleh seorang felo penyelidik dari ATMA-UKM, Dr Khalif Muammar “Maka tantangannya adalah bagaimana mencipta manusia maju, manusia merdeka, bukan kemajuan material tetapi yang lebih utama adalah kemajuan pemikiran. Manusia maju memikirkan idea dan perkara berguna. Manusia mundur memikirkan hiburan hiburan, material dan perkara kurang bergunaMaka kemajuan sebenar berlaku apabila masyarakat itu cerdas. Masyarakat yang cerdasdan mandiri memiliki framework pemikiran sendiri”

No comments:

Post a Comment