Saya merujuk tulisan En Mohd Raman Daud “Bangkitkan kaum bapa Melayu” (BH 12 March 09).
Saya bersetuju dengan pendapat yang diutarakan iaitu persoalan masyarakat bermula daripada kepimpinan.
Masalah kepimpinan ini pula sangat berkait rapat dengan ilmu yang dimiliki serta kemampuan meletakkan diri di tempat yang wajar. Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, perkara utama yang perlu diselesaikan dahulu ialah yang berkaitan dengan adab. Ia merujuk kepada kemampuan mengenali diri sendiri serta berperanan setepatnya.
Kekeliruan ilmu yang melanda masyarakat secara meluas menjadi punca kekeliruan peranan. Ini melahirkan apa yang disebut oleh Prof Syed Naquib Al-Attas sebagai “pemimpin palsu” dalam banyak bidang kehidupan. Kegagalan memahami ilmu dan meletakkan ilmu mengikut keutamaan membuat ramai yang terperangkap dalam kemelut ini.
Apa yang dimaksudkan ialah, ilmu bersangkutan aqidah dan fardhu ain diletakkan setaraf dengan ilmu-ilmu lain seperti sains dan mathematik. Tujuan menuntut ilmu juga telah diubah kepada memperolehi jawatan dan kehidupan yang mewah dan bukan lagi menjadi manusia yang baik.
Jelas kekeliruan ini melahirkan golongan yang cekap dalam bidang kerjaya, tapi muflis dari segi rohani, akhlak dan moral. Dari kelompok ini, lahirnya bakal-bakal pemimpin keluarga yang pincang. Mereka tidak memahami konsep-konsep penting agama seperti kebijaksanaan, kesederhanaan, keberanian dan keadilan.
Kaum lelaki yang diberikan peranan sebagai pemimpin sewajarnya sedar tentang tanggung-jawab ini. Justeru itu, sejak dari kecil lagi, bimbingan yang diberikan kepada anak-anak lelaki haruslah menjurus kepada perlaksanaan tugas ini. Pemantauan yang berkesan perlu bagi memastikan fitrah semula-jadi anak-anak lelaki ini tidak dipesongkan oleh pengaruh-pengaruh negatif yang datang dari luar.
Anak-anak lelaki digalakkan untuk melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan yang lebih sesuai dengan pertumbuhan fizikal, emosi dan mental mereka. Imam Ghazali memberikan nasihat ini untuk ibu-bapa “Pemeliharaan ialah mendidik, mencerdaskan dan mengajarinya budi pekerti yang baik, menjaganya dari teman-teman jahat, tidak dibiasakan dengan kesenangan, tidak disukakan dengan perhiasan dan sebab-sebab kemewahan”.
Anak-anak lelaki perlu sering diberi semangat tentang peranan besar yang bakal dipikul kelak. Motivasi berterusan diperlukan bagi membina jati diri kelakian yang jempul.
Ibu bapa perlu mengawasi apakah yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah. Nilai-nilai moral yang diterima oleh anak-anak mereka perlu dipantau. Mampukah anak-anak mereka membezakan antara nilai yang dianggap baik oleh agama Islam dan nilai yang bertentangan yang diterima.
Oleh kerana kepimpinan keluarga melibatkan kesemua unsur yang dimiliki oleh setiap manusia, iaitu akal, roh, qalbu, nafs dan fizikal, maka ilmu yang diperlukan juga haruslah merangkumi semua aspek penting ini.
Tugas mencabar ini tidak mungkin dapat dipikul sekiranya fitrah semula jadi anak-anak lelaki telah dicemari. Budaya barat mengagungkan golongan belia dengan kebebasan tanpa batas . Image lelaki berjaya mereka ialah yang bertubuh sasa dan dikelilingi wanita-wanita seksi.
Paparan profile personaliti berjaya yang lebih sesuai di media diperlukan bagi dijadikan inspirasi untuk ditauladani. Ia harus meliputi mereka yang datang dari berbagai latarbelakang dan tidak dibataskan kepada yang berpendidikan tinggi dan bertaraf profesional saja.
Perlu digalakkan mencari makna diri dan kesedaran mereka dijadikan untuk tujuan yang lebih mulia. Potensi yang telah dimiliki secara fitrah perlu direalisasikan sebaik mungkin bagi kepentingan jangka-panjang masyarakat, negara dan agama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment