Friday, June 26, 2009

Isu AWARE dan Nilai Masyarakat

Saya mengikuti perdebatan persatuan AWARE di akhbar sejak beberapa minggu. Seperti ramai, saya turut rasa lega kerana polemik yang berlaku dikalangan ahli mereka telah dapat diselesaikan.

Beberapa perkara penting telah timbul ekoran isu ini. Beberapa pandangan telah juga disiarkan di akhbar ini.

Walaupun tirai telah dilabuhkan, wajar juga diambil iktibar dari apa yang berlaku.

Perbezaan nilai dikalangan ahli merupakan pokok permasalahan. Dua kelompok yang yang mewakili datang dari mereka yang berfahaman sekular dan yang pro-agama. Kedua-dua kelompok mempunyai pendirian masing-masing dalam menentukan hala-tuju badan tersebut.

Ditengah polemik yang berlaku, kita dikejutkan oleh pengesahan pihak Kementerian Pelajaran (MOE) tentang beberapa sekolah menengah yang menggunakan khidmat AWARE dalam program keseksualan mereka.

Surat yang dikirimkan oleh En Mohd Rosle Ahmad (9/5/09) memberi contoh kandungan program kelolaan AWARE tersebut. Kenyataan-kenyataan seperti “homoseksualiti itu normal”, “homoseksualiti itu biasa” dan “anal sex can be healthy” merupakan sebahgian dari bahan perbincangan dalam program kelolaan AWARE. Perkara yang dikongsi sudah tentu akan mencorak pemikiran para pelajar yang menerima

Menyusuli pendedahan tersebut, pihak MOE telah membuat kenyataan menggantung program keseksualan berkenaan. Wajar MOE menjelaskan tindakan yang telah diambil bagi membetulkan semula pemikiran para pelajar yang terjejas. Mungkin MOE dapat berkongsi perancangannya bagi memastikan perkara ini tidak berulang dimasa hadapan. Saluran bagi ibu-bapa meneliti bahan-bahan pendidikan moral yang diajarkan kepada pelajar serta memberikan maklum balas wajar disarankan.

Iktibar utama dari pengalaman ini ialah dalam menimba ilmu, para pelajar turut menerima maklumat-maklumat sampingan yang mampu mempengaruhi pemikiran mereka. Sifat ilmu yang tidak neutral telah dibahaskan oleh Prof Syed M Naquib Al-Attas dalam tulisannya “Tujuan dan Objektif Pendidikan Islam”. Dalam penyebaran ilmu, nilai diri yang dimiliki penyampai turut dimuat turun samada secara sedar atau tidak. Nilai yang dimiliki merupakan cerminan prinsip hidup serta pandangan alam yang dianuti dan kemudian dikongsi.

Persoalan nilai turut disentuh oleh Puan Khartini Khalid, pensyarah salah sebuah politeknik dalam tulisan beliau “Pendekatan Salah Membawa Rebah” (BM 10/5/09). Puan Khartini memberi pendapat “ dalam menyebarkan nilai-nilai positif, pendekatan yang diambil kadangkala lebih penting daripada nilai itu sendiri”. Pada pendapat saya, tidak wajar juga nilai diperlawankan dengan pendekatan. Sebaliknya, pendekatan harus mencerminkan nilai yang bijaksana, berhikmah, tegas dan sebagainya.

Puan Khartini juga memberikan pandangan iaitu “ruang sekular tidak harus memberatkan nilai atau amalan sesuatu agama”. Saranan ini wajar tapi agak sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana unsur manusia merangkumi juga akal budi serta emosi yang telah diwarnai oleh pengalaman serta ilmu yang diterima sebelumnya. Setiap ahli mewakili pandangan hidup yang sebati dalam diri sendiri yang digunakan secara bawah sedar ketika membuat keputusan, melakukan penilaian dan memberi saranan.

Bagi masyarakat Islam sendiri, perlu dikaji dengan lebih mendalam “framework” yang digunakan oleh AWARE sebelum membuat kuputusan samada menyokong atau menentang. Garis pandu dalam Islam amat jelas tentang hak-hak wanita dan isu-isu berkaitan kekeluargaan. Selain itu, perlu juga dibuat perbandingan fahaman tentang moral, etika dan nilai murni Islam dan yang bukan supaya tidak berlaku kekeliruan dalam penerimaan.

Melalui perbahasan-perbahasan begini, anggota masyarakat diajak untuk turut sama merenung dan berfikir. Ia mampu mendidik serta meningkatkan kematangan dalam menerima kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat majmuk negara kita. Sewajarnya, ia juga meningkatkan kesedaran dan kesungguhan untuk memastikan pemikiran para pelajar tidak dicemari dan dikelirukan.

No comments:

Post a Comment