Saya merujuk kepada tulisan oleh wartawan En Ismail Pantek yang telah disiarkan di BM (14 December 2008). Penulis telah membuat seruan supaya golongan berilmu tampil untuk membincangkan isu-isu penting dalam masyarakat.
Pada pendapat saya saranan yang diberikan untuk menggalakkan ilmuan dan cendiakawan berdialog dan berbahas serta melibatkan diri dalam wacana keilmuan adalah wajar. Melalui perbincangan yang berhikmah dan dengan semangat ingin mencari huraian, faktor-faktor yang menyumbang kepada permasalahan dapat dikenal pasti.
Apa yang disentuh oleh penulis blog yang dinukil oleh wartawan merupakan senario yang telah lama dikenal pasti akan timbul oleh salah seorang pemikir besar abad ini. Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang juga adik kepada Allahyarham Prof Syed Hussein Al-Attas, telah meletakkan kegagalan menentukan objektif serta tujuan pendidikan sebagai punca segala kekeliruan dan kebingungan yang muncul.
Menurut Prof Naquib tujuan pendidikan ialah bagi melahirkan individu yang terdidik serta baik. Individu begini faham dan mengamalkan adab dalam diri, keluarga, persekitaran dan masyarakat dunia. Individu begini dapat menghadapi dunia yang plural dengan berjaya, bersikap rasional dan tanpa hilang identitinya.
Masalah-masalah yang berlaku kini antara lainnya berakar pada faktor-faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran disebabkan oleh cabaran keagamaan-budaya dan sosiopolitik daripada kebudayaan barat. Faktor dalaman pula yang saling berhubung kait ialah kekeliruan dan kesalahan dalam memahami ilmu, kehilangan adab dan munculnya pemimpin-pemimpin yang tidak layak memikul tanggung-jawab secara benar dalam segala bidang.
Adab yang dimaksudkan oleh Prof Naquib adalah bahagian daripada hikmah dan keadilan. Ketiadaan adab akan mengakibatkan kezaliman, kebodohan serta kegilaan.
Kebingungan yang berlaku mendorong kegagalan mengenal pasti dan memilih masalah dan kemudian memberi penyelesaian yang tepat. Ia juga melahirkan pseudo-masalah iaitu masalah yang sepatutnya tidak dianggap masalah, yang menyuburkan pelbagai bentuk ekstremism yang modal utamanya adalah kejahilan.
Seorang lagi ilmuan yang unggul, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, telah menyalahkan ketidak–matangan dalam menangani kepelbagaian dan perbezaan pendapat. Ketegangan yang kerap berlaku antara kaum merupakan kegagalan untuk memahami pandangan alam agama-agama yang berbeza, falsafah, budaya serta adat resam pelbagai kaum.
Ini menimbulkan rasa saling curiga mencurigai yang akhirnya menghilangkan rasa saling menghormati dan toleransi yang sebenar yang merupakan sebahgiaan dari pandangan alam agama Islam itu sendiri.
Pandangan yang telah diberikan oleh kedua-dua ilmuan ini wajar dijadikan landasan bagi perbincangan lanjut oleh pihak yang prihatin khususnya golongan pendidik dan ilmuan yang ikhlas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment