Friday, June 26, 2009

Menentukan Prioriti Ketika Kegawatan Ekonomi

Kegawatan ekonomi yang semakin membimbangkan mendorong pemerintah melancarkan beberapa langkah proaktif. Keutamaan bagi memastikan bilangan pekerjaan dikekalkan. Selain itu, agensi-agensi awam giat memikirkan usaha-usaha bagi menangani masalah-masalah sampingan yang bakal wujud. Tumpuan tenaga dan sumber dilakukan bagi memastikan keselesaan rakyat tidak terlalu terjejas. Kita amat bersyukur mempunyai pemerintah yang efektif, dedikasi dan meletakkan kepentingan rakyat biasa sebagai keutamaan.

Tidak berkecuali juga para pemimpin masyarakat Melayu yang berusaha gigih untuk mempersiapkan masyarakat mengharungi waktu-waktu sukar. Saban hari media-media menyiarkan nasihat, motivasi serta panduan-panduan berharga yang disasarkan kepada mereka yang dikenal pasti akan terjejas teruk.

Salah satu yang begitu ditekankan ialah galakkan supaya ibu-bapa tidak mengabaikan pendidikan anak-anak mereka. Berbagai skim bantuan awam telah disediakan bagi membantu keluarga yang terjejas. Mesej yang jelas ingin disampaikan, masa depan anak-anak tidak harus dikompromi dengan masalah kewangan keluarga.

Satu perkara yang agak menghairankan bila ibu-bapa perlu didorong supaya lebih bersedia mengenepikan kegiatan hiburan dari pendidikan anak-anak. Bahkan, disarankan ibu-bapa harus sanggup menjual peralatan-peralatan hiburan di rumah seperti tv, sistem odio dan lain-lain, jika perlu, bagi menampung biaya persekolahan anak-anak mereka.

Saya agak pasti saranan begini tidak diberikan kepada para ibu-bapa dari bangsa lain. Bahkan, saranan pemimpin masyarakat mereka lebih kepada setiap individu dewasa meningkatkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih tinggi dan relevan. Perbandingan ini jelas menunjukkan para ibu-bapa bangsa lain tidak akan terfikir untuk memudaratkan masa depan anak-anak mereka. Bagaimana gawat sekali pun, mereka akan meletakkan pelajaran dan pendidikan anak-anak sebagai salah satu keutamaan.

Persoalan yang wajar kita fikirkan ialah apakah masih ramai ibu-bapa Melayu yang juga beragama Islam, belum mampu meletakkan prioriti dengan bijak. Agama Islam meletakkan ilmu dikedudukan yang tertinggi. Dengan itu agak aneh bila mana disuruh pilih antara ilmu dan perkara-perkara lain seperti hiburan. Jelas terdapat satu kekeliruan yang menghinggapi cara berfikir masyarakat Melayu.

Hakikatnya, tidak ada perbezaan diantara masyarakat Melayu dan masyarakat-masyarakat lain dari segi kemampuan meraih kejayaan. Bilangan individu bangsa sendiri yang telah membuktikan kecemerlangan diberbagai bidang jelas menunjukkan potensi sebenar. Dengan itu, apakah faktor sebenar yang telah mempengaruhi cara masyarakat Melayu berfikir dan menilai sesuatu perkara.

Tiga faktor utama telah dapat dikenal pasti iaitu kejatuhan maruah diri, kekurangan ilmu dan kekurangan iman. Faktor-faktor ini perlu dikaji secara mendalam. Punca kejatuhan maruah diri perlu diketahui supaya dapat diatasi. Salah satunya ialah memperolehi maklumat yang kurang tepat tentang sejarah bangsa dan agama sendiri. Ini menimbulkan perspektif negatif tentang keunggulan tamaddun yang diwarisi. Tanggapan yang salah mencetuskan fikiran yang silap sehingga mewujudkan rasa rendah diri dan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri. Ini disalurkan dengan melibatkan diri dalam bidang-bidang yang dirasa lebih yakin memperoleh kejayaan seperti hiburan dan sukan.

Kegagalan memahami kedudukan ilmu, kandungan dan kegunaan ilmu jelas menjejas keupayaan menentukan prioriti dalam kehidupan. Kesilapan dalam menerima bahan-bahan ilmu dan membezakan berbagai-bagai sumber-sumber ilmu mengkaburkan matlamat serta tujuan hidup individu. Menyamakan nilai-nilai agama dan nilai-nilai selainnya melahirkan tindakan yang celaru dan keliru. Paparan ini dapat dilihat bila mana perkara yang remeh diberi keutamaan sedangkan perkara yang penting dikesampingkan.

Ketidak keberkesanan ilmu dan pendidikan yang diterima membuat masyarakat gagal memahami pandangan alam agama. Akhirnya berlaku bila mana kebudayaan yang dimiliki dicampur-aduk dengan kebudayaan-kebudayaan asing yang tidak difahami sepenuhnya. Usaha untuk menyepadukan kehidupan beragama dan kehidupan moden dilakukan tanpa memahami dengan tepat sejarah dan budaya sendiri ataupun budaya lain. Masalah-masalah yang cuba dihuraikan menjadi semakin kusut sehingga banyak masa dan tenaga yang dikeluarkan tanpa membuahkan hasil yang memuaskan.

Pada pendapat saya, disamping mengharungi kegawatan ekonomi, masyarakat perlu disedarkan tentang cabaran sebenar yang telah lama berakar-umbi. Meletakkan gaya berfikir yang produktif di landasan yang tepat menjadi keutamaan. Perkara yang telah dikenal pasti perlu disebarkan dan dihebahkan secara meluas. Indvidu di setiap peringkat perlu didorong untuk merenung dan menilai kembali tujuan dan matlamat hidupnya.

Semoga dengan itu nanti, akan kembali semangat sekurang-kurangnya untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain. Sudah tentu kita meletakkan keutamaan mengembalikan kewibawaan diri dan masyarakat dipersada dunia satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment