Friday, June 26, 2009

Memahami Sekularisme

Saya merujuk tajuk berita “Memupuk keharmonian antara agama – mengikut pandangan Mufti Syria” (BM 24/5/09).

Saya memetik pandangan beliau tentang bagaimana sistem sekular telah disalahertikan sebagai satu sistem ateis atau yang tidak percaya Tuhan. Beliau juga menyatakan “sekularisme dapat memberikan sumbangan besar terhadap keharmonian antara agama”.

Saya bersetuju iaitu dalam konteks Singapura sistem sekular yang diamalkan bersifat pragmatik. Ia bukan berdasarkan falsafah sekularisme yang tulin dimana unsur-unsur rohaniah telah pisahkan dan nilai-nilai agama dan akhlak menjadi relatif. Dalam falsafah sekularisme yang tulin, hanya bidang-bidang seperti sains, teknologi dan perubatan yang dijadikan sandaran dalam menentukan nilai2 moral dan akhlak.

Bentuk sistem sekular yang diamalkan di negara kita mengiktiraf semua agama. Setiap penganut diberi kebebasan untuk menyakini kebenaran agama masing-masing. Kebebasan untuk menyakini ajaran agama sendiri sebagai benar tidak dipaksakan kepada penganut agama lain. Sikap saling memahami dan menghormati ini membolehkan kita hidup aman damai dan membantu negara mencapai kemajuan yang pesat.

Pihak pemerintah juga sangat tegas tentang ruang bersama yang diperuntukkan kepada setiap kaum. Sikap ini jelas dengan tindakan tegas yang diambil keatas pihak-pihak yang cuba mengkerohkan keadaan. Contohnya, lapuran di BH (29/5/09), sepasang suami-isteri telah dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah kerana mengedarkan risalah berbentuk hasutan. Sebelum itu, seorang penulis blog juga telah dikenakan hukuman atas kesalahan yang sama.

Kedua-dua insiden ini merupakan contoh ketidak-matangan individu-individu terlibat yang hidup dalam masyarakat plural seperti negara kita.

Pada saya penting juga untuk memahami maksud kenyataan Mufti Syria, Sheikh Dr Ahmad Bade Eddin Hassoin yang menyatakan “ ketika terdapat kepelbagaian kepercayaan dan agama di dalam sesebuah negara, maka akan terdapat budaya spiritual yang sangat tinggi”. Ini kerana, hampir semua agama menganjurkan nilai hidup yang murni dan mulia. Nilai-nilai universal yang dikongsi tidak bersifat nisbi atau relatif yang mampu menjamin keharmonian hidup umat manusia.

Masyarakat yang mengamalkan sistem hidup beragama meletakkan moral dan akhlak dikedudukan yang paling utama. Matlamat dan tujuan hidup mereka adalah lebih jelas. Keadilan dan kebahgiaan merupakan objektif yang dikongsi dan diusahakan bersama walaupun dengan kaedah berbeza. Jika setiap ahli masyarakat meletakkan keutamaan ini serta ikhlas, akan lahir budaya spiritual tinggi yang mungkin dimaksudkan oleh Dr Ahmad.

Dr Ahmad menyeru kepada masyarakat Islam, Buddha dan Krsitian untuk saling berkerjasama demi mewujudkan suasana sejahtera dan rukun damai. Bagi mencapai matlamat ini, ideologi dan falsafah yang cuba merungkai kesucian mana-mana ajaran agama perlu difahami dan ditangani. Fahaman yang menekankan kepada budaya individualistik yang tidak serasi dengan budaya timur juga perlu diatasi. Nilai-nilai mulia ketimuran seperti menghormati ibu-bapa, orang-orang lebih dewasa, guru-guru, tingkah laku sopan di tempat awam serta sikap hidup saling bantu membatu perlu disuburkan kembali.

Nasihat terakhir beliau supaya umat Islam menghulurkan tangan kepada semua bangsa dan agama dan menjadi saudara kepada mereka amat relevan. Dalam tamaddun Islam silam, sikap ini telah dilaksanakan dengan berjaya. Perkongsian ilmu yang berlaku dikalangan ulama-ulama silam dengan cendiakawan berbagai bangsa dan agama telah membantu banyak bangsa dunia untuk bangkit dari zaman kegelapan kepada zaman kecemerlangan keilmuan.

Ketamaddun global yang diwarisi melalui ajaran Islam sangat menekanan aspek ketinggian ilmu. Jika difahami dan diamalkan dengan tepat mampu menyelesaikan banyak permasalahan umat dunia masa kini. Yang penting dialog secara muhibbah dan penuh hikmah dijadikan wadah utama dalam perkongsian begini.

Perwakilan Agama dalam Dialog Negara Sekular

Saya merujuk makalah yang telah disiarkan di BH (1/6/09) bertajuk “Peranan Agama di negara sekular”.

Pada pendapat saya pandangan yang telah diberikan oleh kedua-dua penulis amat penting dan wajar diberikan perhatian. Beberapa usulan yang diketengahkan sangat relevan untuk difikirkan secara mendalam.

Penglibatan lebih aktif badan-badan agama dalam arus perdana mampu memberi perspektif yang lebih menguntungkan. Sebaliknya peminggiran agama ke “ruang peribadi”nya hanya akan meluaskan jurang yang semakin hari akan menjadi semakin sukar dijembatani.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan penulis “interaksi sihat antara kelompok agama dengan kelompok sekular perlu untuk membangun sebuah masyarakat yang tinggi daya tahannya”. Strategi ini dapat menrealisasikan keinginan pemerintah menggalakkan penyertaan aktif rakyat dalam merangka dan mencerna dasar negara.

Bagi mendokong misi ini, dialog secara muhibbah merupakan wadah utama. Pemilihan wakil yang sah bagi setiap kelompok perlu ditentukan. Kewibawaan wakil yang dipilih amat mustahak bagi memastikan pandangan yang diketengahkan nanti benar-benar mewakili pandangan majoriti kelompoknya. Mandat yang diberikan kepada perwakilan perlu dihormati bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan perpaduan dikalangan ahli-ahli sendiri.

Pemilihan pemimpin yang tepat perlu berdasarkan beberapa kriteria yang disepakati. Bagi masyarakat Islam banyak contoh yang dapat diperolehi melalui sistem kekhalifahan silam. Para khulafa ar’rasyidin merupakan contoh terbaik ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan.

Para wakil yang dilantik sewjarnya memiliki beberapa ciri tersebut iaitu ketinggian intelektual, akhlak dan kerohanian. Keperluaan menguasai beberapa bidang ilmu dan memahami secara mendalam masalah-masalah kontempori. Perwakilan diharap dapat mensarankan huraian-huraian yang pratikal bersandarkan falsafah dan pandangan alam Islam yang tepat dan benar.

Para wakil yang dilantik membawa image masyarakat dan agama Islam. Maka dengan sendirinya perlulah bersikap konsisten dalam mempamerkan ketinggian budi perkerti yang luhur dan akhlak mulia. Image yang ditonjolkan merupakan keyakinan diri terhadap ajaran agama serta prinsip-prinsip penting yang juga dianuti oleh keseluruhan masyarakat Islam.

Dialog diantara agama dan diantara kelompok agama dengan kelompok sekular seperti yang dianjurkan oleh penulis wajar diadakan secara berterusan dan teratur. Perbezaan-perbezaan fundamental perlu difahami dan diterima terlebih dahulu. Pemaksaan idea dan fahaman, baik yang berbentuk keagamaan atau sekular perlu dihindarkan. Sebaliknya, kompromi dicapai dengan memberikan kebebasan setiap kelompok menerima atau menolak serta mempertahankan prinsip utama yang diwakilinya.

Kesimpulannya, interaksi begini dilihat dari sudut positif dan tidak harus menimbulkan kebimbangan yang berlebihan. Ia mampu mengukur sejauh mana kematangan masyarakat negara kita yang rata-rata berpendidikan dan terdedah kepada pengaruh-pengaruh luar yang lebih hebat lagi.

Ketepatan dalam Mengkaji Kebudayaan Melayu

Saya tertarik untuk menyambung perbincangan yang dimulakan oleh En Mohd Raman Daud bertajuk “Jangan kita dinilai tanpa budaya” (BH 28/5/09).

Pada pendapat saya, kebingungan dan kekeliruan yang dialami oleh ramai pengkaji sejarah, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu-Indonesia dapat difahami. Kekurangan sumber-sumber ilmiah yang relevan dan adil menyulitkan kajian yang ingin dilakukan. Sebaliknya, terdapat banyak kajian-tulisan yang dibuat oleh pengkaji Orientalis yang memberikan perspektif berdasarkan framework barat menilai kebudayaan dan kesusasteraan bangsa mereka sendiri.

Dalam membicarakan kebudayaan dan kesenian Melayu perlu meliputi juga bidang-bidang lain seperti agama, falsafah, sejarah selain istiadat. Membuat perbandingan period pra-Islam dan setelah kedatangan Islam akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang perubahan yang berlaku.

Sebelum kedatangan Islam, agama yang dominan ketika itu adalah agama Hindu. Dalam aspek agama Hindu, unsur kesenian dan kebudayaan lebih terserlah sedangkan aspek rasional dan ilmiah tidak begitu menonjol.

Setelah Islam datang, tradisi-tradisi yang berdasarkan kepercayaan, seperti belah mulut, lenggang perut dan sebagainya, yang bercanggah dengan ajaran Islam telah ditinggalkan.
Terdapat juga adat istiadat yang disesuaikan, seperti cukur rambut bayi yang dicontohkan oleh En Raman.

Ajaran Islam yang memuliakan kedudukan wanita, telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan masyarakat. Wanita-wanita tidak lagi mengadakan persembahan di khalayak ramai atau melibatkan diri dalam kegiatan berbentuk kesenian. Sebaliknya, anak-anak perempuan turut sama menimba ilmu-ilmu agama sebagaimana anak-anak lelaki.

Perkara penting yang perlu diketahui, kedatangan Islam membawa perubahan fundemental dalam pandangan hidup masyarakat ketika itu. Ia bukan saja membawa revolusi berbentuk rasionalisma dan intelektualisma tapi lebih penting lagi spiritualisme, kemasyarakatan dan ketamaddunan. Seperti yang ditulis oleh Prof Syed Naquib Al-Attas dalam monogerafnya “Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” : Timbulnya rasionalisma dan intelektualisma ini dapat kita bayangkan sebagai semangat yang hebat yang menggerakkan proses merevolusikan pandangan hidup masyarakat Melayu-Indonesia, memalingkan dari alam seni dan mitos yang khayal.

Masyarakat mula mengutamakan pertimbangan akal budi dan gaya berfikir yang teratur dalam menentukan sesuatu perkara. Seperti yang ditulis oleh Abdullah Munsi pada tahun 1810, menjadi adat resam Melayu seorang anak harus mengaji Al-Quran dahulu sebelum belajar bidang-bidang lain.

Hasil-hasil kesusasteraan ketika itu mencerminkan tamaddun yang berdasarkan pemikiran intelek yang tinggi. Tulisan-tulisan kreatif seperti pantun, syair dan puisi tidak saja menekankan aspek hiburan tapi mengandungi nilai pengajaran yang mampu merubah sesaorang.

Para mubaligh awal menekanan aspek spiritual berdasarkan metafizikal dan tasawuf. Kaedah ini berjaya mencorak masyarakat yang berbudi luhur, berakhlak mulia dan kuat berpegang pada ajaran agama serta bersaingan untuk menimba berbagai jenis ilmu. Buktinya, walaupun dijajah begitu lama, masyarakat Melayu tetap berpegang teguh pada ajaran agama dan hampir tiada yang murtad.

Khazanah persuratan, sastera, adat resam seperti pemakanan, pakaian, seni lukis dan reka bentuk bangunan, cara pergaulan dan hubungan kekeluargaan semuanya telah dipancari ajaran agama Islam.

Beberapa contoh lain yang dapat diketengahkan seperti budaya yang sangat menghormti guru; meninggalkan kampung halaman bagi menimba ilmu; gotong royong dan meninggalkan wasiat berbentuk nasihat. Semua ini melambangkan budaya ilmu masyarakat silam.

Bahasa Melayu yang digunaka secara meluas sejak sekian lama turut mengalami perubahan. Perbendaharaan bahasa Melayu telah diperkaya dengan banyak istilah-istilah bahasa Arab. Tulisan jawi yang merupakan versi tulisan Arab yang diMelayukan telah diperkenalkan bagi memudahkan penyampaian ilmu-ilmu agama kepada masyarakat.

Peralihan paradigma diperlukan dalam meneliti kebudayan, kesenian serta kesan-kesan sejarah Alam Melayu. Penilaian tidak seharusnya hanya berdasarkan adat istiadat yang masih dikekalkan atau peninggalan artifak atau hasil seni seperti ukiran dan lukisan atau dalam bentuk akitektur seperti bangunan dan istana. Sebaliknya, menyoroti peribadi-peribadi yang memiliki kebudayaan tersebut. Seperti yang ditulis oleh En Raman “selagi pengamal budaya Melayu berguna orangnya, begitulah budayanya”.

Pengkajian yang dilakukan seharusnya mendedahkan kepada ramai perkara-perkara penting yang dapat dimanfaatkan oleh generasi kini. Ia juga seharusnya membantu memahami punca tergadainya banyak amalan-amalan mulia masyarakat silam yang akan turut merugikan generasi masa depan. Disamping itu, menonjolkan aspek-aspek positif yang akan melahirkan rasa bangga dan meningkatkan jati diri pengamalnya.

Etika Berkongsi Ruang Bersama

Saya merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri En Wong Kam Seng, yang disiarkan di BH (15/5/09) dengan tajuk “Bebas Bersuara Ada Batasan”. En Wong telah menyetuh tentang pentingnya sikap yang wajar bila berhadapan isu-isu kepercayaan dan kepentingan sesaorang. En Wong juga menyentuh adab dalam menggunakan ruang bersama dalam memberikan pandangan alternatif.

Rumusan dari kenyataan En Wong ialah perlunya dipastikan tiada pihak yang cuba memonopoli dan memaksa pihak lain untuk menerima pandangan atau kepercayaan sendiri.

Keunikan negara kita yang mengamalkan sistem sekular tetapi tetap mengiktiraf kebebasan setiap penganut mengamalkan kepercayaan masing-masing. Ruang bersama yang diwujudkan untuk saling memahami dan menghormati budaya, kepercayaan dan kerencaman tradisi setiap kaum yang ada.

Ruang bersama ini tidak wajar dijadikan platform bagi mana jua pihak, samada yang pro-agama, pro-liberal atau pro-sekular untuk mempromosi prinsip dan pandangan hidup mereka. Contohnya, penganut sesuatu agama tidak wajar memaksa penganut-penganut agama lain untuk menerima kebenaran agamanya. Setiap penganut agama diberi kebebasan mendakwa kebenaran agama yang diyakini. Wajar menghormati kebebasan setiap orang meyakini agama sendiri sebagai benar yang merupakan prinsip utama untuk terus mengamalkan ajaran agama tersebut .

Selain itu, golongan pro-liberal atau pro-sekular, tidak wajar mengecam mana-mana agama sebagai cuba memonopoli kebenaran. Mereka tidak wajar memaksa mana-mana agama untuk menerima “kebenaran bersama” berdasarkan nilai-nilai sekular yang dirasakan mereka sesuai untuk dikongsi.

Fahaman liberal yang diyakini mereka juga tidak harus disuguhkan secara paksa dengan alasan apa juga pun. Masyarakat Islam juga tidak wajar memaksa penganut agama lain menerima kebenaran ajaran agama Islam.

Sejak awal lagi, Islam telah menekankan tentang tiadanya paksaan dalam beragama. Sejarah tamaddun Islam mencermin penyataan ini secara pratikal dimana kebebasan diberikan bagi setiap penganut agama mengamalkan ajaran masing-masing dalam pemerintahan negara Islam. Islam menekankan kepentingan saling menghormati walaupuan berbeza agama, bangsa dan budaya.

Dari segi politik pula, kerajaan yang memerintah boleh memilih atau tidak memilih mana-mana ajaran agama sebagai dasar undang-undang bagi semua rakyat negara tersebut. Pihak yang merasa tidak memperoleh hak mereka boleh berusaha menggunakan saluran-saluran yang tepat untuk bersuara dan mohon pertimbangan.

Dalam masyarakat moden, paksaan dalam bentuk apa juga perlu ditolak. Pemaksaan idea dan fahaman, baik yang sekular mahupun yang religius, rampasan kuasa, pengganasan dan melobi tidak wajar jika ia melibatkan isu-isu peka yang menyentuh hati nuraini manusia. Dialog secara aman dan penuh hikmah merupakan kaedah masyarakat yang bertamaddun.

Golongan minoriti yang hidup dalam masyarakat yang mempunyai nilai dan prinsip hidup yang berbeza perlu bijak menyesuaikan diri. Mereka tidak seharusnya berdegil “melawan arus” sekadar untuk mempromosi nilai hidup mereka yang berbeza tanpa memikirkan kesannya kepada pihak lain.

Contohnya, golongan yang mempunyai kecenderungan seksual yang berbeza, merupakan golongan minoriti di Spura. Pihak pemerintah telah memberikan jaminan kebebasan mereka untuk mengamalkan cara hidup mereka dalam ruang khusus, sama seperti golongan-golongan minoriti selainnya. Mereka seharusnya menerima dan tidak berusaha untuk meminta lebih dari itu.

Apa yang penting, setiap golongan memanfaatkan ruang kebebasan yang diberikan. Sesuaikan nilai-nilai murni yang universal dan tidak meruntuhkan nilai-nilai murni yang terbina selama ini. Disamping itu berusaha memperbaiki dan meningkatkan tahap hidup ahli-ahlinya.

Setiap pemimpin golongan tersebut menyedari kepentingan menyokong usaha memastikan setiap orang dapat hidup dalam keadaan tenang, harmonis dan aman damai.

Isu AWARE dan Nilai Masyarakat

Saya mengikuti perdebatan persatuan AWARE di akhbar sejak beberapa minggu. Seperti ramai, saya turut rasa lega kerana polemik yang berlaku dikalangan ahli mereka telah dapat diselesaikan.

Beberapa perkara penting telah timbul ekoran isu ini. Beberapa pandangan telah juga disiarkan di akhbar ini.

Walaupun tirai telah dilabuhkan, wajar juga diambil iktibar dari apa yang berlaku.

Perbezaan nilai dikalangan ahli merupakan pokok permasalahan. Dua kelompok yang yang mewakili datang dari mereka yang berfahaman sekular dan yang pro-agama. Kedua-dua kelompok mempunyai pendirian masing-masing dalam menentukan hala-tuju badan tersebut.

Ditengah polemik yang berlaku, kita dikejutkan oleh pengesahan pihak Kementerian Pelajaran (MOE) tentang beberapa sekolah menengah yang menggunakan khidmat AWARE dalam program keseksualan mereka.

Surat yang dikirimkan oleh En Mohd Rosle Ahmad (9/5/09) memberi contoh kandungan program kelolaan AWARE tersebut. Kenyataan-kenyataan seperti “homoseksualiti itu normal”, “homoseksualiti itu biasa” dan “anal sex can be healthy” merupakan sebahgian dari bahan perbincangan dalam program kelolaan AWARE. Perkara yang dikongsi sudah tentu akan mencorak pemikiran para pelajar yang menerima

Menyusuli pendedahan tersebut, pihak MOE telah membuat kenyataan menggantung program keseksualan berkenaan. Wajar MOE menjelaskan tindakan yang telah diambil bagi membetulkan semula pemikiran para pelajar yang terjejas. Mungkin MOE dapat berkongsi perancangannya bagi memastikan perkara ini tidak berulang dimasa hadapan. Saluran bagi ibu-bapa meneliti bahan-bahan pendidikan moral yang diajarkan kepada pelajar serta memberikan maklum balas wajar disarankan.

Iktibar utama dari pengalaman ini ialah dalam menimba ilmu, para pelajar turut menerima maklumat-maklumat sampingan yang mampu mempengaruhi pemikiran mereka. Sifat ilmu yang tidak neutral telah dibahaskan oleh Prof Syed M Naquib Al-Attas dalam tulisannya “Tujuan dan Objektif Pendidikan Islam”. Dalam penyebaran ilmu, nilai diri yang dimiliki penyampai turut dimuat turun samada secara sedar atau tidak. Nilai yang dimiliki merupakan cerminan prinsip hidup serta pandangan alam yang dianuti dan kemudian dikongsi.

Persoalan nilai turut disentuh oleh Puan Khartini Khalid, pensyarah salah sebuah politeknik dalam tulisan beliau “Pendekatan Salah Membawa Rebah” (BM 10/5/09). Puan Khartini memberi pendapat “ dalam menyebarkan nilai-nilai positif, pendekatan yang diambil kadangkala lebih penting daripada nilai itu sendiri”. Pada pendapat saya, tidak wajar juga nilai diperlawankan dengan pendekatan. Sebaliknya, pendekatan harus mencerminkan nilai yang bijaksana, berhikmah, tegas dan sebagainya.

Puan Khartini juga memberikan pandangan iaitu “ruang sekular tidak harus memberatkan nilai atau amalan sesuatu agama”. Saranan ini wajar tapi agak sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana unsur manusia merangkumi juga akal budi serta emosi yang telah diwarnai oleh pengalaman serta ilmu yang diterima sebelumnya. Setiap ahli mewakili pandangan hidup yang sebati dalam diri sendiri yang digunakan secara bawah sedar ketika membuat keputusan, melakukan penilaian dan memberi saranan.

Bagi masyarakat Islam sendiri, perlu dikaji dengan lebih mendalam “framework” yang digunakan oleh AWARE sebelum membuat kuputusan samada menyokong atau menentang. Garis pandu dalam Islam amat jelas tentang hak-hak wanita dan isu-isu berkaitan kekeluargaan. Selain itu, perlu juga dibuat perbandingan fahaman tentang moral, etika dan nilai murni Islam dan yang bukan supaya tidak berlaku kekeliruan dalam penerimaan.

Melalui perbahasan-perbahasan begini, anggota masyarakat diajak untuk turut sama merenung dan berfikir. Ia mampu mendidik serta meningkatkan kematangan dalam menerima kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat majmuk negara kita. Sewajarnya, ia juga meningkatkan kesedaran dan kesungguhan untuk memastikan pemikiran para pelajar tidak dicemari dan dikelirukan.

Layakkah kita jadi Melayu?

(memberi pandangan kerana penulis ini sering mengkritik dan memperkecil sumbangan bangsa melayu)

Saya merujuk tulisan En A Rahman Basrun bertajuk “Melayu atau Melaju? Fikir dulu” (BH 2/4/09).

Penulis telah mengupas asal usul perkataan “Melayu” dan memberi beberapa makna yang berkaitan dengan perkataan Melayu ini.

Saya setuju dengan pendapat penulis yang mengajak pihak-pihak yang merasa segan sebagai Melayu supaya berfikir dahulu. Pada pendapat saya perlu diperbetulkan tanggapan negatif yang semakin kerap kedengaran terhadap bangsa Melayu. Salah satu caranya ialah kembali menilik sejarah.

Sejarah tamadun alam Melayu memaparkan rangkaian pertistiwa yang menunjukan kehebatan orang-orang Melayu dizaman silam. Paparan tamadun alam Melayu tidak diperlihatkan dalam bentuk bangunan atau seni bina serta kraftangannya seperti tamadun bangsa lain. Sebaliknya ia lebih kepada keperibadian, pemikiran, keagamaan serta kebudayaan yang lebih tinggi nilainya.

Sebagai perbandingan, kita dapati orang-orang Melayu dahulu meletakan ilmu dikedudukan yang sangat tinggi. Terdapat banyak pusat-pusat pengajian Islam yang ditubuhkan di merata tempat di seluruh pelusuk alam Melayu. Hanya, pusat-pusat ini tidaklah sehebat universiti-universiti termasyhur dunia.

Sejarah juga mengkisahkan keberanian dan kebijaksanaan orang-orang Melayu yang meneroka lautan dan menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau. Semua ini mencerminkan watak Melayu yang berfikiran global dan progresif. Keberanian dan hidup penuh bermakna merupakan motto hidup mereka dizaman itu.

Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bangsa Melayu secara drastik dan menyeluruh. Islam telah berjaya menjadikan tamaddun Melayu ketika itu diantara yang unggul sehingga menarik minat bangsa Eropah untuk dijelajahi dan ditakluki. Kesan penjajahan ini telah meninggalkan kesan yang besar pada nasib bangsa Melayu sehingga kini.
Dengan mengkaji sejarah, dapat membantu kita mengatasi rasa rendah diri dan mengembalikan identiti sebagai orang Melayu. Formula yang telah digunakan dimasa silam yang telah berjaya memperkasa individu Melayu. Ia telah menghasilkan ramai individu Melayu yang terdidik secara benar, jelas identitinya, jujur, sederhana, berani dan adil dalam menjalankan kewajibannya dalam pelbagai aspek kehidupannya.

Dengan adanya ramai individu-individu yang memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini, akan menjamin wujudnya masyarakat yang baik dan negara yang maju dan aman. Maka tumpuan dan penekanan sewajarnya ialah bagi memastikan nilai-nilai diri yang baik ini dimiliki oleh semua.

Setiap individu wajar menerima kritikan terhadap bangsa Melayu sebagai cabaran dan bukan terus me-layu. Kurangkan mengeluh tapi sebaliknya berusaha mengubah segala yang negatif. Persoalan yang wajar ditanya, apakah kita layak jadi Melayu?

Saranan Menghadapi Kegawatan Ekonomi

Dalam mengharungi kegawatan ekonomi ketika ini, ramai yang bukan saja mengalami kesempitan wang tapi juga fikiran dan jiwa. Pembuangan kerja dan kesukaran mendapatkan pekerjaan baru mampu membuat sesaorang itu merasa lemah semangat dan memerlukan bantuan serta sokongan moral.

Diperingkat individu, sementara menanti peluang pekerjaan baru, masa terluang yang ada masih boleh dimanfaatkan. Peluang mempelajari kemahiran baru, meningkatkan jati diri dan menyumbang tenaga dalam kegiatan amal merupakan aktiviti-aktiviti yang boleh ditimbangkan.

Diperingkat masyarakat, usaha meningkatkan semangat perpaduan, gotong-royong, bantu-membantu wajar ditingkatkan. Usaha-usaha begini menunjukkan keprihatinan dan mampu mengukuh persaudaraan sesama Islam.

Institusi seperti mesjid boleh membantu usaha-usaha ke arah ini dengan lebih berkesan. Keakraban mesjid yang terletak di hampir kesemua kejiranan boleh dimanfaatkan. Peruntukan dana yang telah disediakan oleh MUIS wajar digunakan seoptima mungkin. Dana ini diperlukan bagi membiayai sebahgiaan besar dari program-program yang hendak dijalankan di mesjid-mesjid.

Saya ingin mensarankan beberapa aktiviti untuk ditimbangkan oleh lembaga pentadbir mesjid (LPM). Ia merupakan program sementara bagi membantu masyarakat berhadapan dengan ujian ketika ini.

Memperbanyak program ziarah masyarakat berdekatan mesjid bagi memberi sokongan secara fizikal dan moral.

Kuliah motivasi yang memberikan panduan-panduan pratikal diadakan secara lebih kerap di mesjid. Panduan mengatur perbelanjaan, menjaga kesihatan dan kaedah rawatan yang mudah, mengurangkan stress, mengimbangi kehidupan adalah diantara pengisiannya.

Menggalakkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Boleh juga diadakan acara berbuka puasa beramai-ramai persis bulan Ramadhan. Selain manfaat puasa yang telah diketahui, dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dan meningkatkan tahap kesihatan.

Mengadakan program qiyamulail secara tetap untuk memperoleh fadhilat keberkahan rezeki dan bantuan dari Allah s.w.t

Mengadakan program zikir beramai-ramai bagi memberi ketenangan dan menghilangkan tekanan fikiran dan jiwa

Menganjurkan persembahan kesenian Islam atau aktiviti sukan oleh jabatan belia sebagai satu wadah hiburan. Kerjasama antara mesjid boleh diadakan untuk memberi kepelbagaian.

Menyediakan makanan malam untuk keluarga yang terjejas. Bungkusan makanan yang telah dimasak pilihan pratikal untuk edaran. Selain itu boleh menarik mereka untuk mengikuti aktiviti di mesjid.

Menjalin rakaian dengan peniaga-peniaga di sekitaran kawasan mesjid untuk penyediaan makanan dengan kos yang rendah. Ini dapat juga membantu para peniaga menampung kos niaga mereka.

Mendapatkan tenaga mereka yang tidak bekerja sebagai sukarela sementara untuk menjayakan aktiviti-aktiviti yang diadakan. Pihak LPM boleh menimbang memberikan elaun tambang. Bagi mereka yang menunjukkan kesungguhan, boleh juga diberikan habuan samada berbentuk wang atau voucher makanan.

Matlamat utama dari segala aktiviti yang diadakan ialah bagi memastikan setiap ahli masyarakat tidak merasa sendirian dalam menghadapi masa-masa sukar begini.

Dalam menghadapi kesukaran yang dijangkakan berpanjangan ini, semua orang berusaha untuk saling membantu. Selain mengisi keperluan jasmaniah, keperluan rohaniah turut diutamakan. Kerja-sama yang melibatkan semua pihak ini akan lebih menguntungkan masyarakat untuk jangka masa yang panjang, Insya Allah.

Memperkasa Asatizah Sebagai Aset Negara

Saya menyokong usaha pemerintah yang menggalakkan pemerkasaan warga sebagai aset negara yang paling utama. Usaha ini juga disokong oleh badan-badan Melayu/Islam seperti MUIS yang sentiasa menyeru perubahan minda dan sikap masyarakat setempat.

Diantara usaha yang telah dilakukan oleh MUIS ialah mengundang banyak ilmuan, pensyarah serta pemikir dari beberapa negara lain untuk berkongsi idea dan ilmu. Program integrasi ilmu yang dijalankan secara tetap oleh pihak MUIS bermatlamat mengubah perspektif masyarakat dan mengasah minda untuk menghadapi cabaran global yang begitu pesat.

Masih terlalu awal untuk mengukur sejauh mana keberkesanan program yang dilaksanakan sejauh ini.

Meninjau sepintas lalu, mungkin tidak jauh silapnya, untuk mengatakan majoriti masyarakat Melayu/Islam kita masih belum bersedia menerima perubahan minda yang diharapkan. Masalah-masalah sosial yang dihadapi sejak sekian lama masih lagi menjadi hambatan. Isu-isu global seperti pengganasan, pencemaran alam dan sebagainya berada disenarai paling bawah dalam keutamaan.

Satu sudut ia merupakan sesuatu yang positif. Maksudnya, berbeza dengan negara-negara lain yang diancam berlakunya pergolakan kaum, pengganasan atas nama agama dan perebutan kuasa politik, masyarakat kita seolah-olah kebal. Ini merupakan satu kejayaan yang patut diberi perhatian.

Isu-isu seperti pluralism, sekularism dan liberalisma tidak diberi tumpuan. Amalan agama masyarakat Islam setempat yang sederhana amat penting untuk terus dikekalkan dan tidak diubah. Ini bagi memastikan identiti diri yang dimiliki tidak diganti dan dipengaruhi oleh pengaruh-pengaruh baru yang dibawa masuk.

Dengan senario begini, tumpuan yang wajar diberikan ialah untuk mengatasi masaalah sosial dengan lebih berkesan. Kita memerlukan lebih banyak tenaga yang mampu memberi tumpuan dan mencari jalan penyelesaian. Salah satu sumber tenaga yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya ialah lulusan dari madrasah-madrasah kita.

Setiap tahun kita melahirkan sejumlah lulusan dari madrasah-madrasah setempat. Hanya segelintir dari mereka yang terpilih untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Bakinya terpaksa melakukan tugas-tugas yang tidak memberi peluang untuk mereka mengembang potensi dan kerjaya mereka.

Pada pendapat saya, usaha harus dipusatkan untuk mengembleng tenaga-tenaga muda yang ada ini. MUIS wajar mengorak langkah untuk mengatur program-program pengajian yang sesuai bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam. Biasiswa-biasiswa bagi membiayai pengjajian mereka dalam bidang-bidang yang diperlukan merupakan satu langkah yang diperlukan.

Kekurangan bekalan tenaga pengajar diperingkat tinggi, yang memiliki sekurang-kurangnya kelulusan MA dan/atau PHD, perlu diatasi segera. Masyarakat Melayu/Islam tidak boleh terusan bergantung kepada tenaga-tenaga pakar dari luar untuk memenuhi keperluan ini.

Mengundang ilmuan luar merupakan huraian jangka pendek. Memperkasa masyarakat watan akan menjamin kesinambungan program yang telah dilaksanakan. Melahirkan sejumlah tenaga pakar yang benar-benar berilmu dan memahami dinamika masyarakat setempat merupakan langkah bijak yang diperlukan.

Selain itu, terdapat juga pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh penceramah luar yang kurang mencerminkan pengetahuan mereka tentang sejarah dan kompleksiti masyarakat kita. Perbandingan yang dibuat dan persamaan yang difikir wujud dengan negara asal mereka, tidak membantu dalam mencari huraian jangka panjang kepada permasalahan yang dihadapi.

Wajar kita memikirkan langkah-langkah yang lebih kreatif dan berani bagi membantu masyarakat kita untuk mampu bersaing diperingkat negara dan antarabangsa.

Krisis Gender

Saya merujuk tulisan En Mohd Raman Daud “Bangkitkan kaum bapa Melayu” (BH 12 March 09).

Saya bersetuju dengan pendapat yang diutarakan iaitu persoalan masyarakat bermula daripada kepimpinan.

Masalah kepimpinan ini pula sangat berkait rapat dengan ilmu yang dimiliki serta kemampuan meletakkan diri di tempat yang wajar. Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, perkara utama yang perlu diselesaikan dahulu ialah yang berkaitan dengan adab. Ia merujuk kepada kemampuan mengenali diri sendiri serta berperanan setepatnya.

Kekeliruan ilmu yang melanda masyarakat secara meluas menjadi punca kekeliruan peranan. Ini melahirkan apa yang disebut oleh Prof Syed Naquib Al-Attas sebagai “pemimpin palsu” dalam banyak bidang kehidupan. Kegagalan memahami ilmu dan meletakkan ilmu mengikut keutamaan membuat ramai yang terperangkap dalam kemelut ini.

Apa yang dimaksudkan ialah, ilmu bersangkutan aqidah dan fardhu ain diletakkan setaraf dengan ilmu-ilmu lain seperti sains dan mathematik. Tujuan menuntut ilmu juga telah diubah kepada memperolehi jawatan dan kehidupan yang mewah dan bukan lagi menjadi manusia yang baik.

Jelas kekeliruan ini melahirkan golongan yang cekap dalam bidang kerjaya, tapi muflis dari segi rohani, akhlak dan moral. Dari kelompok ini, lahirnya bakal-bakal pemimpin keluarga yang pincang. Mereka tidak memahami konsep-konsep penting agama seperti kebijaksanaan, kesederhanaan, keberanian dan keadilan.

Kaum lelaki yang diberikan peranan sebagai pemimpin sewajarnya sedar tentang tanggung-jawab ini. Justeru itu, sejak dari kecil lagi, bimbingan yang diberikan kepada anak-anak lelaki haruslah menjurus kepada perlaksanaan tugas ini. Pemantauan yang berkesan perlu bagi memastikan fitrah semula-jadi anak-anak lelaki ini tidak dipesongkan oleh pengaruh-pengaruh negatif yang datang dari luar.

Anak-anak lelaki digalakkan untuk melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan yang lebih sesuai dengan pertumbuhan fizikal, emosi dan mental mereka. Imam Ghazali memberikan nasihat ini untuk ibu-bapa “Pemeliharaan ialah mendidik, mencerdaskan dan mengajarinya budi pekerti yang baik, menjaganya dari teman-teman jahat, tidak dibiasakan dengan kesenangan, tidak disukakan dengan perhiasan dan sebab-sebab kemewahan”.

Anak-anak lelaki perlu sering diberi semangat tentang peranan besar yang bakal dipikul kelak. Motivasi berterusan diperlukan bagi membina jati diri kelakian yang jempul.

Ibu bapa perlu mengawasi apakah yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah. Nilai-nilai moral yang diterima oleh anak-anak mereka perlu dipantau. Mampukah anak-anak mereka membezakan antara nilai yang dianggap baik oleh agama Islam dan nilai yang bertentangan yang diterima.

Oleh kerana kepimpinan keluarga melibatkan kesemua unsur yang dimiliki oleh setiap manusia, iaitu akal, roh, qalbu, nafs dan fizikal, maka ilmu yang diperlukan juga haruslah merangkumi semua aspek penting ini.

Tugas mencabar ini tidak mungkin dapat dipikul sekiranya fitrah semula jadi anak-anak lelaki telah dicemari. Budaya barat mengagungkan golongan belia dengan kebebasan tanpa batas . Image lelaki berjaya mereka ialah yang bertubuh sasa dan dikelilingi wanita-wanita seksi.

Paparan profile personaliti berjaya yang lebih sesuai di media diperlukan bagi dijadikan inspirasi untuk ditauladani. Ia harus meliputi mereka yang datang dari berbagai latarbelakang dan tidak dibataskan kepada yang berpendidikan tinggi dan bertaraf profesional saja.

Perlu digalakkan mencari makna diri dan kesedaran mereka dijadikan untuk tujuan yang lebih mulia. Potensi yang telah dimiliki secara fitrah perlu direalisasikan sebaik mungkin bagi kepentingan jangka-panjang masyarakat, negara dan agama.

Kepentingan Bahasa Melayu

Saya merujuk tulisan En Ismail Pantek di BM (15/3/09) bertajuk “Agak-agak boleh tak ikut contoh Melayu Singapura”.

Saya agak pasti ada diantara kita yang mungkin kurang jelas apakah permasalahan sebenar yang menyelubungi isu bahasa Melayu ini. Saranan penulis untuk “menumpukan kepada keperluan-keperluan untuk maju” merupakan jawapan pragmatik ramai dikalangan kita.

Bagi ilmuan yang berpandangan jauh, masalah bahasa Melayu merupakan suatu bentuk perjuangan yang amat penting. Bahasa merupakan alat bagi penyebaran ilmu. Penggunaan istilah-istilah yang tepat mempunyai kesan pada minda. Justru itu, sejak zaman silam, ilmuan sangat menekankan takrif sesuatu istilah serta memperoleh makna yang paling tepat.

Contohnya, bahasa Arab sehingga kini kekal mampu menjamin kesahihah kitab suci Al-Quran. Ini kerana adanya satu sistem akar kata yang “mengikat” makna istilah-istilah yang digunakan dari menyimpang jauh dari makna asal sebagaimana ditafsirkan oleh Rasulullah s.a.w.

Mengekalkan makna asal istilah tertentu dalam agama adalah penting. Jika tidak, generasi masa depan tidak akan mampu lagi memahami makna sesuatu konsep agama dengan tepat dan benar. Ini akan menimbulkan kekeliruan dalam penerimaan mereka sehingga menjejas pandangan alam mereka tentang agama itu sendiri.

Dalam monografnya, “Islam dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu”, Prof Syed M Naquib Al-Attas telah mengupas dengan panjang lebar sejarah kedatangan Islam ke rantau ini. Dalam penyebaran Islam, bahasa Melayu telah dipilih dan diperkaya dengan banyak istilah-istilah bahasa Arab. Ini bagi memudahkan mubaligh-mubaligh awal untuk menerangkan konsep-konsep penting agama ketika berdakwah.

Dengan pengkayaan ini, bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa utama dunia dan mampu menjadi bahasa ilmiah yang tinggi.

Walaupun bahasa Inggeris digunakan secara meluas sebagai bahasa perhubungan, ia kurang mampu digunakan bagi menjelaskan konsep-konsep penting agama Islam. Jika digunakan, istilah tertentu yang terdapat dalam bahasa Inggeris tidak dapat memberi makna setepatnya. Makna yang diberikan juga lebih mencerminkan konsep agama Nasrani yang menjadikannya bahasa pengantar yang utama.

Contoh mudah, tiada terdapat perkataan bahasa Inggeris yang tepat bagi menjelaskan makna “pedas” dalam bahasa Melayu. Yang ada hanyalah perkataan “hot” dan “spicy”. Ia tidak mampu menggambarkan “pedas” yang dirasai dengan sebenar.

Begitu juga istilah “wujud” yang diterjemahkan sebagai “exist” dalam bahasa Inggeris. Istilah “exist” merujuk kepada sesuatu yang dapat dicerap oleh indera dan dikaitkan dengan sesuatu yang berbentuk fizikal. Dalam bahasa Melayu, terdapat perkataan “ada” yang seiras dengan “wujud” yang digunakan bagi menjelaskan sesuatu yang bukan sahaja berbentuk fizikal tetapi juga yang berbentuk abstrak.

Salah faham tentang istilah “wujud” ini mendorong minda untuk menolak kewujudan yang tidak bersifat fizikal. Penilaian dibuat hanya pada perkara-perkara zahir saja. Ini menimbulkan kesukaran untuk memahami konsep-konsep agama, khususnya yang berkaitan dengan aqidah dan alam ghaib. Penjelasan tentang sifat-sifat Ketuhanan dan Penciptaan tidak dapat digarap secara tepat dan benar.

Natijah dari kekeliruan ini, generasi akan datang, yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris, akan menjadi semakin keliru. Akhirnya, konsep-konsep agama yang penting akan cuba dijelaskan menggunakan konsep-konsep sains dan sekular yang salah. Alternatif lain ialah dengan menguasai bahasa Arab itu sendiri.

Dengan itu, amat penting bagi masyarakat Melayu untuk terus memastikan penggunaan bahasa Melayu kekal relevan. Ini bagi memastikan generasi akan datang dapat terus memperkasa diri mereka dengan ilmu dan ajaran agama yang tepat dan benar.

Memperkasa Kaum Lelaki

Membaca kisah seorang pelajar lelaki universiti yang baru-baru ini menikam seorang pensyarahnya agat mengejutkan. Pelajar tersebut yang berada ditahun akhir pengajiannya telah mengelar tangannya sendiri dan kemudian terjatuh dari bangunan sekolahnya.

Dalam kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang, mungkin kita lebih menyangkakan individu-individu yang lebih dewasa yang akan melakukan perbuatan yang agak drastik begitu. Ketegangan perasaan serta kerunsingan boleh mendorong sesaorang itu bertindak diluar kawalan.

Dalam laporan “Kes bunuh diri di Singapura” terbitan persatuan Samaritans of Singapore (SOS) tahun 2008, bilangan kaum lelaki yang membunuh diri jauh melebihi kaum wanita. Data untuk tahun 2007, terdapat 215 lelaki yang membunuh diri berbanding dengan 159 wanita.

Salah satu sebab yang telah diberikan oleh seorang pensyarah bidang Psikologi bagi menjelaskan perbezaan ini ialah lelaki lebih “berjaya” dalam mengaturkan rancangan untuk mengambil nyawa mereka sendiri. Maksudnya, berbeza dengan wanita yang melakukannya tanpa dirancang, kaum lelaki merancang untuk melakukannya.

Berbagai alasan boleh diberikan bagi menjelaskan mengapa sesaorang itu terdorong melakukan perbuatan sedemikian. Psikologis memberikan beberapa faktor seperti keperitan menghadapi keinginan yang tidak dapat dipenuhi, merasa tiada harapan, merasa kematian lebih baik atau juga gangguan mental.

Selain gangguan mental, faktor-faktor lain wajar diberi perhatian. Khususnya ketika ini ramai ketua keluarga yang diberhentikan kerja, maka sudah pasti banyak keinginan yang mungkin tidak boleh dicapai. Kesukaran mendapat pekerjaan baru juga boleh membuat sesaorang itu merasa putus asa. Merasa gagal dan tidak mampu mengatasi masalah yang dihadapi boleh membuat sesaorang itu memikirkan untuk mengakhiri kehidupannya sendiri. Ini diantara faktor-faktor yang telah dikenal pasti.

Sudah tentu data begini menimbulkan keprihatinan. Diantaranya, apakah kaum lelaki semakin merasa sukar menangani cabaran hidup? Jika benar, bagaimana untuk membantu mereka untuk meningkatkan keupayaan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Sejak kebelakangan ini tumpuan dan tekanan diberikan kepada kaum lelaki. Buku rekod kaum lelaki, khususnya bagi masyarakat Melayu, telah di dedahkan kepada umum. Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga turut menyuarakan keprihatinan tentang kegagalan kaum lelaki dalam banyak bidang kehidupan.

Pendedahan begini memberikan lebih tekanan kepada kaum lelaki. Keadaan ini boleh membawa kepada kemurungan dan gangguan emosi yang lainnya. Bagi masyarakat Melayu/Islam, mungkin mengambil nyawa sendiri bukan merupakan pilihan. Sebaliknya, minuman keras, menyalah-gunakan dadah dan melibatkan diri dengan kegiataan tidak bermoral menjadi pilihan. Walaupun alasan begini mungkin terlalu umum untuk dikaitkan, tapi ia tetap boleh menjerat individu lelaki yang merasa begitu tertekan untuk memilihnya.

Pada pendapat saya, semua perkara yang disentuh ini berkait rapat antara satu sama lain. Krisis lelaki akan menjadi seperti ‘catalyst’ yang bakal mencetuskan banyak ketidak-normalan dalam masyarakat. Kegagalan kaum lelaki memahami peranan serta mampu memikul tanggung jawab yang sepatutnya perlu diberi tumpuan.

Pendekatan yang saya fikir wajar didahulukan ialah mengesan kegenjotan dalam pendidikan anak-anak lelaki. Ibu-bapa tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dalam bimbingan keluarga yang memberi lebih banyak “kebebasan” pada anak-anak lelaki. Jelas, mereka tidak mampu menghadapi kesan dari pengaruh luar yang sangat hebat dan perlu dibantu dengan lebih lagi.

Setiap ahli masyarakat mempunyai peranan untuk saling membantu dan saling melengkapi kekurangan antara satu sama lain. Maka perkongsian maklumat yang tepat, yang tidak dikelirukan oleh berbagai fahaman serta tafsiran yang berbagai, menjadi keutamaan. Mengembalikan fitrah manusia kepada yang asal memerlukan ilmu yang benar dan menjadi tanggung-jawab guru-guru, asatizah dan pemimpin masyarakat untuk dilaksanakan.

Isu Homoseksual

Dalam ceramahnya di sini baru-baru ini, seorang profesor dari America Syarikat, Profesor Abdulaziz Sachedina, telah menyentuh isu homoseksual. Beliau menimbulkan persoalan tentang hukum homoseksual di negara majoriti umat Islam dan negara majmuk dan sekular seperti di Spura.

Kewujudan lebih ramai golongan gay dan mereka yang melibatkan diri dalam kegiatan homoseksual semakin menjadi keprihatian ramai pihak. Masalah identiti krisis yang dialami mereka ini cuba difahami dan berbagai kajian dilakukan bagi mencari punca kecenderungan yang bertentang dengan naluri manusiawi.

Dikalangan masyarakat Melayu/Islam sendiri, bilangan yang mimilih dengan rela kehidupan yang bertentangan dengan norma agama dan masyarakat semakin kelihatan. Salah satu faktor mungkin kerana golongan ini lebih berani mengistiharkan kegiataan mereka kerana didorong oleh keberanian artis-artis barat yang secara terang-terangan menerima budaya ini.

Apa yang jelas, gejala homoseksual dan juga lesbian semakin diterima oleh masyarakat moden. Ini cerminan nilai hidup yang telah berubah dari zaman silam. Perbuatan mereka yang tanpa segan-silu mempamerkan kecenderungan begini di tempat awam sudah dianggap lazim dan diterima sebagai sebahagian budaya moden masa kini.

Persoalan yang berkisar di minda ialah apakah jawapan yang bakal diberikan oleh ibu-bapa kepada anak-anak kecil mereka nanti. Kanak-kanak yang melihat dua orang yang berpakaian seperti lelaki yang berdakapan dan melakukan aksi sedemikain di tempat awam sudah tentu menimbulkan persoalan.

Sebagai ibu-bapa Islam, yang tinggal dalam sebuah negara sekular dan terbuka, sudah tentu menghadapi dilema. Dalam ceramahnya, Prof Abdulaziz mengatakan “antara dilema yang kita hadapi sekarang ialah bagiamana kita menjalankan tanggung-jawab sebagai seorang warga negara yang kita diami”.

Persoalan yang ingin difikirkan apakah dilema yang dimaksudkan. Apakah mengamalkan ajaran agama menyekat sesaorang itu dari menjalankan tangung-jawabnya sebagai warga sesebuah negara. Apakah nilai-nilai agama yang dipegang perlu dikompromi bagi diiktiraf sebagai warga yang baik.

Dalam isu homoseksual ini, hampir semua ulama sepakat menyatakan ianya haram di sisi agama Islam. Jelas, perilaku ini tidak diterima dan ditolak. Kalau begitu, bagaimana pandangan ini dapat terus dipertahankan dalam masyarakat Melayu/Islam kita tanpa ada kompromi disamping tidak dilihat sebagai bertentang dengan sikap warga negara yang mengamalkan sekular pluralism.

Soalan homoseksual memerlukan kebijaksaan untuk ditangani. Bermula dari ibu-bapa, perlu dijelaskan kepada anak-anak perbezaan antara lelaki dan wanita. Kemampuan yang dimiliki oleh lelaki dan wanita tidak sama. Ini berkait dengan peranan serta tanggung-jawab yang bakal dipikul nanti. Perbezaan ini perlu sering diingatkan oleh ibu-bapa kepada anak-anak mereka. Dalam agama Islam, perbezaan peranan ini amat jelas dan perlu diketahui oleh semua.

Ibu-bapa perlu pastikan kecenderungan-kecenderungan yang boleh menimbulkan masalah, seperti suka berhias berlebihan, memakai subang, mewarna rambut, memakai pakaian yang ketat dan lain-lain yang ditunjukan oleh anak-anak lelaki dicantas dari awal.

Ini kerana, terdapat kesan psikologi pada jiwa anak-anak lelaki tersebut. Oleh itu, ibu-bapa digesa tidak memandang pemilihan sebegini sebagai sesuatu tahap perkembangan biasa. Mereka perlu bijak memujuk anak-anak mereka supaya memilih sebaliknya dengan memberi alasan-alasan yang boleh diterima mengikut usia mereka.

Semoga melalui bimbingan agama dan pengawasan yang berkesan, masalah homoseksual dapat dibendung dari awal dan tidak menular sehingga menimbulkan masalah sosial yang baru nanti.

Mengenali Sejarah Bangsa Sendiri

Saya amat tertarik dengan tulisan En Mohd Raman Daud bertajuk “Saham Dalam Sejarah Masyarakat” (BH, 12 Feb 09).

Pada pendapat saya, usaha penulis untuk memperkenalkan kepada umum beberapa karya ilmuan tempatan wajar mendapat perhatian. Nukilan pandangan almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas oleh penulis juga amat relevan untuk direnungkan bersama.

Pendedahan begini wajar diteruskan kerana saya yakin ramai, khususnya golongan muda, yang tidak mengetahui kewujudan tokoh-tokoh ilmuan bangsa sendiri. Seperti yang ditulis oleh penulis ia merugikan. Ini kerana jati diri sendiri dipinjam dari bangsa lain.

Sememangnya diakui sukar menarik minat ramai untuk membaca atau mengkaji sejarah bangsa sendiri. Salah satu faktor utama ialah pendekatan yang digunakan dalam pendidikan sejarah kepada para pelajar. Buku-buku teks sejarah umumnya menyenaraikan urutan peristiwa-peristiwa secara kaku. Penekanan lebih kepada penghafalan fakta dan bukan memahami makna dan iktibar dari setiap peristiwa yang berlaku.

Selain itu, terdapat perbezaan sejarah alam Melayu dirakamkan berbanding dengan sejarah bangsa asing. Kesukaran memperolehi bahan sejarah bertulis di kepulauan Melayu memerlukan kaedah dan pendekatan yang berbeza untuk difahami. Oleh kerana kebanyakan buku-buku teks sejarah ditulis oleh penulis bukan Melayu, maka kesan yang diperolehi juga amat berbeza.

Dalam menentukan sesuatu peristiwa yang mempunyai nilai sejarah, penulis-penulis asing mempunyai kriteria yang lebih sesuai untuk budaya dan tempat asal mereka. Sekadar meninjau dari jauh dan menilai tanpa menghayati sendiri budaya dan adat istiadat Melayu, memungkinkan penilaian yang kurang tepat dan tidak adil. Pandangan yang kemudiannya disampaikan melalui makalah, buku-buku teks dan selainnya, melahirkan perspektif yang dangkal dari pembaca yang kurang arif dan kritis.

Bahkan seperti yang pernah ditulis oleh Prof Syed Naquib Al-Attas “Kesusasteraan yang diperkenalkan itu jenuh mengulang dongengan, dan sejarah yang dirumuskan darinya itu tiada lain kecuali mitos yang melampau dalam khayalannya sehingga datang rasa muak dan enggan mengenalinya.”

Pandangan begini kemudian diterima dan disalurkan dalam bentuk media lain seperti dokumentari, drama dan wayang. Akhirnya, tafsiran yang diterima lebih kepada menonjolkan kelemahan bangsa sendiri sehingga ramai yang lebih selesa “melupakan” saja. Perspektif yang diterima dari kesan begini melahirkan satu bangsa pinggiran yang sentiasa mengharap penerimaan dan pengiktirafan bangsa lain yang dianggap lebih baik dan mulia.

Sewajarnya kesan yang diharapkan dalam pembelajaran sejarah ialah melahirkan individu-individu yang berkeyakinan tinggi dengan kemampuan sendiri untuk mencorak tamaddun bangsa sendiri. Ini digambarkan dengan cukup berkesan oleh Prof Syed Naquib Al-Attas dalam monogeraf beliau yang penting “Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”. Beliau menulis “Apabila kita tinjau luasan alam sejarah insan dari abad datang kezaman, akan kita dapati sekali sekala suatu pergolakan hebat yang merobah nasib suatu bangsa dan daya sejarah bangsa itu, sehingga perubahan itu menandakan suatu zaman baru. Pengertian ‘zaman baru’ itu ialah suatu zaman yang mempunyai ciri-ciri yang penting dan yang bersifat persendirian serta berlainan dengan sifat2 zaman yang lampau, zaman yang menayangkan pandangan hidup yang berbeza daripada yang lampau, zaman yang menubuhkan bukan sahaja rupa baru bahkan juga jiwa baru.”

Monogeraf Prof Syed Naquib Al-Attas ini wajar dibaca oleh semua yang bersemangat untuk mengetahui peranaan sebenar Islam dalam sejarah alam Melayu. Monogeraf ini yang telah dimuat-turun dalam bentuk “pdf ” boleh diperolehi melalui talian internet, amat penting untuk difahami dan disebarkan kepada semua khususnya generasi muda.

Selain kita mencatit sejarah-sejarah baru untuk generasi akan datang, kita tidak harus juga melupakan sejarah silam yang telah banyak mencorak kehidupan masa kini kita.

Isu Label Halal

Saya merujuk perbincangan hangat sejak dua minggu lalu berkenaan label “No pork no lard” yang digunakan oleh beberapa peniaga bukan Islam.

Apa yang menarik pada saya ialah keprihatinan yang telah ditunjukkan serta ketegasan yang diluahkan melalui forum di akhbar. Pihak yang berkenaan, khususnya MUIS, telah digesa mengambil peranan yang lebih aktif dalam permasalahan begini.

Pada pendapat saya sikap peka yang ditunjukkan sesuatu yang menggalakkan. Lebih-lebih lagi isu yang dipertikaikan mempunyai implikasi meluas dan jika tidak dibendung awal berkemungkinan meninggalkan kesan yang lebih jauh lagi.

Satu lagi yang menarik pada saya ialah mereka yang prihatin menggunakan saluran yang tepat bagi menyalurkan pandangan serta bantahan. Sudah pasti kaedah ini lebih berkesan dari perbincangan di bawah-bawah kolong blok atau di kedai-kedai kopi.

Isu begini dan isu-isu lain yang menyentuh kemaslahatan masyarakat, khususnya masyarakat Melayu/Islam, wajar dibincangkan secara terbuka. Contohnya, kesan rombakan kurikulum terbaru yang dilakukan oleh kementerian pelajaran bagi peringkat rendah. Walaupun pihak yang bertanggung-jawab telah memberikan penjelasan dan perincian, adakah pihak ibu-bapa benar-benar faham tentang implikasi dari rombakan tersebut.

Sikap proaktif wajar disuburkan dikalangan masyarakat kita. Mungkin ramai yang belum memiliki kemampuan berfikir secara kritis dan mendalam. Dengan itu, media memainkan peranan sebagai pencetus yang mengketengahkan isu-isu yang patut dibincangkan. Perbincangan secara terpimpin amat diperlukan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai daya motivasi dan keupayaan menyelesaikan masalah bangsa sendiri dan tidak terlalu bergantung pada pihak lain.

Selain itu, kita ingin membudayakan sikap yang berdasarkan ilmu. Pandangan atau isu yang dikongsi dipertimbangkan dari sudut ketepatan maklumat serta benar-benar membawa manfaat bagi umum. Lebih hebat lagi sekiranya pendekatan serta alternatif yang lebih baik disarankan setelah direnungkan dan dilakukan penelitian dan pengkajian rapi.

Saya rasa yakin masyarakat kita yang rata-rata melalui sistem pendidikan formal mampu melepaskan diri dari belenggu fikiran yang keliru serta tidak mudah dipengaruhi oleh pihak yang berkepentingan.

Seperti yang ditulis oleh seorang felo penyelidik dari ATMA-UKM, Dr Khalif Muammar “Maka tantangannya adalah bagaimana mencipta manusia maju, manusia merdeka, bukan kemajuan material tetapi yang lebih utama adalah kemajuan pemikiran. Manusia maju memikirkan idea dan perkara berguna. Manusia mundur memikirkan hiburan hiburan, material dan perkara kurang bergunaMaka kemajuan sebenar berlaku apabila masyarakat itu cerdas. Masyarakat yang cerdasdan mandiri memiliki framework pemikiran sendiri”

Menentukan Prioriti Ketika Kegawatan Ekonomi

Kegawatan ekonomi yang semakin membimbangkan mendorong pemerintah melancarkan beberapa langkah proaktif. Keutamaan bagi memastikan bilangan pekerjaan dikekalkan. Selain itu, agensi-agensi awam giat memikirkan usaha-usaha bagi menangani masalah-masalah sampingan yang bakal wujud. Tumpuan tenaga dan sumber dilakukan bagi memastikan keselesaan rakyat tidak terlalu terjejas. Kita amat bersyukur mempunyai pemerintah yang efektif, dedikasi dan meletakkan kepentingan rakyat biasa sebagai keutamaan.

Tidak berkecuali juga para pemimpin masyarakat Melayu yang berusaha gigih untuk mempersiapkan masyarakat mengharungi waktu-waktu sukar. Saban hari media-media menyiarkan nasihat, motivasi serta panduan-panduan berharga yang disasarkan kepada mereka yang dikenal pasti akan terjejas teruk.

Salah satu yang begitu ditekankan ialah galakkan supaya ibu-bapa tidak mengabaikan pendidikan anak-anak mereka. Berbagai skim bantuan awam telah disediakan bagi membantu keluarga yang terjejas. Mesej yang jelas ingin disampaikan, masa depan anak-anak tidak harus dikompromi dengan masalah kewangan keluarga.

Satu perkara yang agak menghairankan bila ibu-bapa perlu didorong supaya lebih bersedia mengenepikan kegiatan hiburan dari pendidikan anak-anak. Bahkan, disarankan ibu-bapa harus sanggup menjual peralatan-peralatan hiburan di rumah seperti tv, sistem odio dan lain-lain, jika perlu, bagi menampung biaya persekolahan anak-anak mereka.

Saya agak pasti saranan begini tidak diberikan kepada para ibu-bapa dari bangsa lain. Bahkan, saranan pemimpin masyarakat mereka lebih kepada setiap individu dewasa meningkatkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih tinggi dan relevan. Perbandingan ini jelas menunjukkan para ibu-bapa bangsa lain tidak akan terfikir untuk memudaratkan masa depan anak-anak mereka. Bagaimana gawat sekali pun, mereka akan meletakkan pelajaran dan pendidikan anak-anak sebagai salah satu keutamaan.

Persoalan yang wajar kita fikirkan ialah apakah masih ramai ibu-bapa Melayu yang juga beragama Islam, belum mampu meletakkan prioriti dengan bijak. Agama Islam meletakkan ilmu dikedudukan yang tertinggi. Dengan itu agak aneh bila mana disuruh pilih antara ilmu dan perkara-perkara lain seperti hiburan. Jelas terdapat satu kekeliruan yang menghinggapi cara berfikir masyarakat Melayu.

Hakikatnya, tidak ada perbezaan diantara masyarakat Melayu dan masyarakat-masyarakat lain dari segi kemampuan meraih kejayaan. Bilangan individu bangsa sendiri yang telah membuktikan kecemerlangan diberbagai bidang jelas menunjukkan potensi sebenar. Dengan itu, apakah faktor sebenar yang telah mempengaruhi cara masyarakat Melayu berfikir dan menilai sesuatu perkara.

Tiga faktor utama telah dapat dikenal pasti iaitu kejatuhan maruah diri, kekurangan ilmu dan kekurangan iman. Faktor-faktor ini perlu dikaji secara mendalam. Punca kejatuhan maruah diri perlu diketahui supaya dapat diatasi. Salah satunya ialah memperolehi maklumat yang kurang tepat tentang sejarah bangsa dan agama sendiri. Ini menimbulkan perspektif negatif tentang keunggulan tamaddun yang diwarisi. Tanggapan yang salah mencetuskan fikiran yang silap sehingga mewujudkan rasa rendah diri dan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri. Ini disalurkan dengan melibatkan diri dalam bidang-bidang yang dirasa lebih yakin memperoleh kejayaan seperti hiburan dan sukan.

Kegagalan memahami kedudukan ilmu, kandungan dan kegunaan ilmu jelas menjejas keupayaan menentukan prioriti dalam kehidupan. Kesilapan dalam menerima bahan-bahan ilmu dan membezakan berbagai-bagai sumber-sumber ilmu mengkaburkan matlamat serta tujuan hidup individu. Menyamakan nilai-nilai agama dan nilai-nilai selainnya melahirkan tindakan yang celaru dan keliru. Paparan ini dapat dilihat bila mana perkara yang remeh diberi keutamaan sedangkan perkara yang penting dikesampingkan.

Ketidak keberkesanan ilmu dan pendidikan yang diterima membuat masyarakat gagal memahami pandangan alam agama. Akhirnya berlaku bila mana kebudayaan yang dimiliki dicampur-aduk dengan kebudayaan-kebudayaan asing yang tidak difahami sepenuhnya. Usaha untuk menyepadukan kehidupan beragama dan kehidupan moden dilakukan tanpa memahami dengan tepat sejarah dan budaya sendiri ataupun budaya lain. Masalah-masalah yang cuba dihuraikan menjadi semakin kusut sehingga banyak masa dan tenaga yang dikeluarkan tanpa membuahkan hasil yang memuaskan.

Pada pendapat saya, disamping mengharungi kegawatan ekonomi, masyarakat perlu disedarkan tentang cabaran sebenar yang telah lama berakar-umbi. Meletakkan gaya berfikir yang produktif di landasan yang tepat menjadi keutamaan. Perkara yang telah dikenal pasti perlu disebarkan dan dihebahkan secara meluas. Indvidu di setiap peringkat perlu didorong untuk merenung dan menilai kembali tujuan dan matlamat hidupnya.

Semoga dengan itu nanti, akan kembali semangat sekurang-kurangnya untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain. Sudah tentu kita meletakkan keutamaan mengembalikan kewibawaan diri dan masyarakat dipersada dunia satu hari nanti.

Membina Masyarakat Berbudaya Ilmu

Saya merujuk tulisan En Mohd Raman Daud bertajuk “Memperkasa Daya Saing Anak Melayu” (BH, 29 Jan 2009).

Penulis telah dengan tepat menyuarakan beberapa keprihatinan yang wajar difikirkan. Contoh-contoh kegagalan sistem pendidikan negara-negara yang lebih maju yang turut diketengah amat relevan untuk direnungkan. Bahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berita-berita berkenaan keganasan yang dilakukan dikalangan pelajar di institusi tinggi agak memeranjatkan disamping membimbangkan.

Penulis juga telah mengketengahkan kepentingan melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang yang bukan saja cerdik tetapi juga mempunyai budi pekerti yang mulia dan luhur. Sebagai mana yang disentuh oleh penulis, aspek pendidikan inilah yang wajar diberikan keutamaan bagi mengelakkan pengalaman perit yang sedang dihadapi oleh dunia ketika ini dek perbuatan segelintir individu pintar yang tidak memiliki nilai dan integriti yang tinggi.

Selain itu, penulis juga menyuarakan kebimbangan berkurangnya peranan ibu-bapa dalam pembentukan anak-anak mereka. Dengan sistem satu sesi, masa yang diluangkan bersama anak-anak kian berkurangan dan tugas mendidik diberikan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah. Salah satu kekhuatiran yang dirasakan ialah bentuk bimbingan yang bakal diterima nanti yang mencorak masa depan anak-anak mereka.

Rombakan kurikulum yang kerap dilakukan oleh pemerintah menimbulkan juga suatu persoalan. Apakah sistem pendidikan yang digunakan sebelumnya telah gagal dalam memenuhi matlamat sebenar pendidikan sehingga perlu dirobah? Apakah dasar yang digunakan dalam menggubal sistem pendidikan yang baru kali ini turut berbeza?

Ibu bapa yang prihatin sudah tentu menerima baik objektif rombakan yang diumumkan. Salah satunya ialah bagi menyemai sikap cinta belajar dan ilmu. Disamping itu meningkatkan keyakinan diri pelajar dengan penekanan yang lebih seimbang diantara bidang akademik dan bidang-bidang kemahiran hidup yang diperlukan.

Membudayakan semangat cintakan ilmu merupakan teras ajaran agama Islam. Disamping itu, matlamat dan tujuan menuntut ilmu juga menjadi keutamaan dan perlu jelas.

Bagi majoriti ibu-bapa Muslim, matlamat dan tujuan pendidikan ialah untuk memupuk anak-anak mereka menjadi individu yang baik. Individu yang baik bererti individu yang berakhlak mulia, yang faham tanggung-jawab terhadapnya dirinya, keluarga, masyarakat dan alam. Mereka sedar individu yang baik, yang terdidik dengan nilai dan amalan yang baik, yang nanti mampu mewujudkan masyarakat yang baik dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara dan kelestarian alam.

Satu lagi faktor yang menarik keprihatinan pihak ibu-bapa ialah sistem penilaian baru yang bakal digunakan. Persoalan apakah ukuran yang digunakan bagi menilai pencapaian para pelajar di sudut bukan akademik.

Bagi masyarakat Melayu yang beragama Islam, ukurtara yang digunakan merangkumi aspek-aspek keluhuran diri seperti amanah, jujur dan benar. Dengan itu, para ibu-bapa sangat berminat untuk mengetahui senarai nilai-nilai murni yang bakal disemai dalam pembentukan moral para pelajar. Ini kerana dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama, nilai-nilai yang dipegang selain ada yang dikongsi sama, terdapat juga perbezaan yang nyata.

Contohnya, bagi masyarakat Melayu/Islam, pergaulan bebas tanpa batas, hubungan lesbian dan gay, berzina, perjudian, meminum minum keras merupakan antara perkara-perkara utama yang ditekankan oleh ibu-bapa kepada anak-anak mereka dari awal lagi.

Faktor utama yang akan memastikan kejayaan rombakan yang diumumkan ialah para guru sendiri. Dengan diadakan satu sesi, peranan guru lebih dari sekadar mengajar. Guru-guru perlu memainkan peranan sebagai ibu dan bapa kepada pelajar-pelajar mereka.

Para ibu-bapa meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap kelayakan para guru. Mereka sedar ilmu tidak bebas dari nilai hidup yang dipegang oleh guru-guru itu sendiri. Dengan itu, ibu bapa meletakkan harapan guru-guru yang dilantik merupakan individu-individu yang benar-benar layak dan mampu menjadi contoh tauladan yang baik.

Wajar bagi pihak ibu-bapa mempunyai sikap berhati-hati dan kritikal dalam menerima apa jua rombakan. Ini kerana seperti yang ditulis oleh J J Chambliss dalam bukunya “Educational Theory As Theory of Conflicts : From Aristotle to Dewey” di halaman 5 “dari Aristotles hingga Dewey, ada satu idea yang mengendap, iaitu kita harus menetapkan bahawa kemungkinan, ketidakpastian dan ketidaksempurnaan itu sebagai sifat tingkah laku yang tidak dapat dielakkan”. Apa yang dimaksudkan ialah sisitem pendidikan moden ketika ini yang diguna-pakai disesetengah negara maju tidak dapat memberi jaminan serta kepastian akan keberhasilannya. Bahkan, setiap orang harus menerima kegagalan sebagai sesuatu yang pasti.

Seperti yang ditulis oleh En Rahman, hasil rombakan sistem persekolahan yang baru ini hanya akan diketahui beberapa tahun setelah dilaksanakan. Maka dengan itu marilah kita meletakkan harapan semoga rombakan kali ini akan lebih berjaya dan berkekalan dari perubahan-perubahan yang dilaksanakan sebelumnya. Selain itu, para ibu-bapa juga wajar menyediakan pelan tindakan sendiri bagi menampung beberapa ketidak pastian yang mungkin terjadi.

Kekeliruan Dalam Memahami Agama

Saya merujuk kepada tulisan Ismail Pantek “Mungkinkah Islam Akhirnya nanti hanya diperlukan untuk nikah dan kebumikan mayat?” (BM 11 Januari 2009).

Pada pendapat saya, soalan yang dilontarkan oleh penulis wajar difikirkan secara serius. Senario begini tidak mustahil akan timbul jika keprihatinan Allahyarham Profesor Syed Hussein Al-Attas sebagaimana dibincangan dalam buku beliau tidak ditangani.

Ketandusan pemikir-pemikir bangsa sendiri yang mampu menghurai isu-isu kontemporari turut juga dibincangkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, adik kepada Allahyarham Syed Hussein. Dalam buku beliau Risalah Untuk Kaum Muslim, Prof Naquib menghuraikan secara perinci masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum Muslim.

Dalam buku yang ditulis sekitar tahun 1973 tapi baru diterbitkan 2001, Prof Naquib menjelaskan beberapa isu berhubungan pemikiran serta ideologi yang telah diserapi oleh umat Islam tanpa disedari. Beliau menjelaskan umat Islam begitu mudah menerima tanpa mengetahui secara mendalam sejarah dan falsafah disebaliknya. Ini jelas telah menjejas cara umat Islam berfikir dan menilai sesuatu perkara.

Beliau mengupas secara perinci kesilapan dalam memahami isu-isu penting bersangkutan konsep agama, keadilan dan ilmu. Beliau turut juga menjelaskan kekeliruan dalam memahami kebudayaan barat, kedudukan agama dalam kehidupan dan fahaman sekular.

Dalam buku yang ditulis dengan bahasa yang indah ini, Prof Naquib turut juga memberikan kupasan tentang isu-isu peka seperti fahaman kebebasan, nilai, akhlak, takrif kemajuan dan pembangunan, kedudukan kesusasteraan dan juga kesenian. Selain itu, Prof Naquib turut juga menjelaskan masalah jurang generasi dan krisis identiti yang dihadapi oleh umat Islam di hampir seluruh dunia.

Melalui buku ini, pembaca dikenalkan dahulu masalah pokok yang dihadapi. Mengetahui akar kepada sesuatu permasalahan amatlah penting sebelum sesuatu huraian dapat diberikan. Selain itu, Prof Naquib juga memberikan beberapa jalan penyelesaian dan pendekatan bagi mengatasi berbagai masalah yang telah dikenal pasti.

Dalam bukunya yang popular “Budaya Ilmu-Satu Penjelasan” Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, kini Felo Utama dari ATMA-UKM, memberikan perbandingan budaya ilmu yang diamalkan di beberapa negara yang dianggap maju seperti Yunani, Cina, India, Barat, Yahudi dan Islam. Penulis juga menganalisa konsep serta budaya ilmu yang menjadi amalan di alam Melayu. Selain itu, penulis memberikan juga saranan serta model yang boleh diambil bagi memastikan budaya berfikir ini dapat diterapkan.

Dalam salah satu bab dalam buku ini Prof Wan telah menulis “Ketiadaan budaya ilmu bersepadu dalam tamaddun hari ini telah mengakibatkan perluasan bencana kehilangan adab. Kebiadaban ini telah melahirkan banyak kerosakan dalam pemikiran dan akhlak manusia serta alam tabii. Dalam pemikiran dan akhlak, kejahilan atau kebebalan dan kemalasan intelektual dikaitkan (sebagai alasan) dengan pengkhususan; kedayusan moral disebut sebagai toleransi dan kesederhanaan; pembaziran dimaknakan dengan rekreasi atau mempertahankan kedudukan; korupsi akhlak dan ekonomi atau kedua-duanya sekali dimaafkan sebagai lumrah kehidupan moden; dan penjahanaman alam sekitar disebut sebagai harga tabii kemajuan”.

Perkara-perkara yang telah disentuh oleh kedua-dua pemikir dan ilmuan ini dan juga beberapa tokoh lain yang ada, boleh dijadikan dasar bagi perbincangan selanjutnya. Perlulah ada kesungguhan pihak yang prihatin, dan juga pihak media, untuk mengketengahkan gagasan-gagasan ini. Masyarakat umum wajar dikenalkan kepada ilmuan-cendiakawan bangsa sendiri yang mampu menghuraikan masalah-masalah yang dihadapi. Dengan itu, keyakinan mereka kepada kemampuan ilmuan bangsa sendiri akan meningkat dan tidak lagi perlu mereka memindah kiblat ke barat.

Melahirkan sejumlah golongan pemikir yang berwibawa memerlukan usaha berterusan. Ia juga memerlukan sokongan dari berbagai pihak dan bukan usaha individu tertentu saja. Masalah utama yang dihadapi ialah kurangnya minat membaca dikalangan masyarakat Melayu. Kecenderungan yang ada ialah memilih bahan bacaan yang berbentuk hiburan dan ringan. Penulisan berbentuk ilmiah yang membincangkan gagasan serta idea-idea yang mampu membawa perubahan pada diri dan masyarakat kurang diminati.

Pada pendapat saya, kita tidak perlu menrealitikan ramalan penulis. Kita masih punya masa untuk mengorak langkah dan menyusun strategi. Kumpulan sasaran kita sudah tentu golongan yang sudah mempunyai tahap pendidikan yang mencukupi. Kumpulan fokus ini yang diharapkan akan menjadi pemangkin. Perlu juga dikenali individu yang berwibawa yang dapat memimpin kumpulan ini, melakarkan skima pendekatan dan seterusnya menerajui usaha ini.

Dengan kegigihan dan semangat ingin menjadi inspirasi generasi masa depan, kita sama-sama berganding bahu untuk melaksanakan tugas yang amat penting ini. Semoga ramai yang akan tampil untuk menjadi pencorak sejarah dan bukan saja pemerhati atau tukang sorak di garisan.

Kepentingan Merakam Sejarah Bangsa Sendiri

Saya merujuk tulisan En Ismail Pantek “Serangan Israel Ke Atas Bumi Palestine “ (BM 4 Jan 2009)

Penulis telah menyamakan perlakuan ketenteraan Israel dengan serangan pengganas di beberapa lokasi di dunia. Penulis juga telah merakamkan detik-detik sejarah yang telah merentengi pergolakan di bumi Palestine sejak sekian lama. Sebagai seorang Muslim, penulis memberikan pandangan dan penilaian berdasarkan nilai, kepercayaan dan harapan setiap individu muslim lainnya.

KIta melahirkan harapan versi yang dirakam ini juga merupakan versi yang bakal dibaca oleh generasi seratus tahun dari sekarang. Kita merasa bimbang dengan banyaknya fakta sejarah yang telah dimanupulasi dan kesan sejarah diberi interpretasi yang berlainan. Ini dilakukan bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu pihak yang berkepentingan. Semoga apa yang berlaku kepada sejarah alam Melayu dahulu tidak akan berulang.

Saya ingin mengajak pembaca mengimbas semula sedikit kesan sejarah yang telah kita pusaki. Membaca sejarah sebagai perbandingan, akan kita ketahui bahwa sejarah tamadun alam Melayu lebih gemilang dari yang sering digemburkan. Tanpa menafikan adanya beberapa kesan negatif yang ditinggalkan, sejarah alam Melayu mempunyai rangkaian pertistiwa yang menunjukan kemampuan sebenar orang-orang di kepulauan Melayu.

Jelas masyarakat Melayu tiada kurang hebatnya dari bangsa-bangsa lain dunia. Bagaimana pun, paparan tamadun alam Melayu tidak diperlihatkan dalam bentuk bangunan atau seni bina serta kraftangannya seperti tamadun bangsa lain. Ia lebih kepada keperibadian, pemikiran, keagamaan serta kebudayaan yang lebih tinggi nilainya.

Kita akan dapati orang-orang Melayu dahulu meletakan ilmu dikedudukan yang sangat tinggi. Guru-guru dan para ulama sangat dihormati. Menimba ilmu adalah satu aktiviti yang dipandang mulia dan menjadi suatu perkara yang sangat dianjurkan. Terdapat banyak pusat-pusat pengajian yang ditubuhkan di merata tempat di seluruh pelusuk alam Melayu. Hanya, pusat-pusat ini tidaklah sehebat universiti-universiti termasyhur dunia.

Kesan penjajahan telah merubah semua ini. Penjajah yang menakluki alam Melayu bukan saja berjaya mengaup banyak khazanah dan kekayaan yang dimiliki, tetapi meninggalkan kesan yang besar pada nasib bangsa Melayu sehinga kini.

Salah satu kesan yang diketahui ialah terputusnya kaum Melayu-Muslim daripada ilmu pengetahuan mengenai agama yang dianuti dengan secara perlahan menerusi sistem pelajaran. Selain itu, kemasukan secara halus fahaman ilmu Barat ke dalam sistem pelajaran, unsur-unsur, nilai-nilai serta konsep agama yang murni dan memutuskan hubungan kebudayaan Islam dikalangan masyarakat Melayu/Islam seluruhnya.

Bagaimana pun, masyarakat Melayu sendiri tidak mudah mengesan perubahan yang berlaku . Mereka tidak merasa ragu bila-mana cerdik pandai barat melaungkan ilmu itu bersifat neutral, tiada terkait dengan nilai atau moral sesuatu bangsa atau agama. Dengan itu, masyarakat Melayu terus meresapi ilmu yang diajukan tanpa syak dan wasangka. Mereka tidak sedar sebenarnya ilmu pengetahuan itu boleh menjadi alat yang sangat halus dan tajam untuk merubah minda, budaya, akhlak dan tujuan hidup sesaorang.

Perubahan-perubahan ini telah meninggalkan kesan sehingga masa kini. Diantara yang dapat dikenal pasti ialah perubahan sikap masyarakat terhadap ilmu dan tujuan hidup. Pencarian ilmu dibataskan kepada memenuhi keperluan kebendaan dan kehidupan di dunia saja. Tujuan akhirat telah tidak diberi keutamaan. Selain itu, masyarakat sudah tidak mengenali lagi hakikat agama yang sebenar kerana sudah dikelirukan.

Disamping itu, kerana tidak sedar keagungan sejarah bangsa dan agama sendiri, timbul dikalangan orang Melayu-Islam perasaan hina dan rendah diri. Ini berpunca dari kejatuhan maruah diri yang telah diperolehi dari penerimaan bahan sejarah yang telah dimanupulasi.

Terdapat juga kesedaran dikalangan masyarakat untuk menegak semula maruah diri sendiri. Bagaimana pun, dasar-dasar asing yang bukan milik bangsa dan agama sendiri yang digunakan. Timbul pemimpin-pemimpin masyarakat yang lebih berpengetahun tentang kebudayaan asing dari kebudayaan bangsa dan agama sendiri. Masyarakat menjadi semakin keliru bila dasar-dasar asing ini yang disampaikan ketengah masyarakat bagi menyelesaikan masalah sosial mereka..

Wajarlah kita menilai semula peristiwa-peristiwa yang telah berlaku. Kita mencari iktibar dari kesilapan yang telah dilakukan. Kita memasang tekad untuk memastikan generasi akan datang tidak perlu lagi mengalami apa yang telah kita alami . Dengan itu, haruslah kita mencatit peristiwa-peristiwa penting yang mempunyai nilai sejarah untuk dijadikan bukti berguna bagi generasi baru nanti.

Memahami punca kegagalan masyarakat Melayu

Saya merujuk komentar Pak Oteh “Perbetul Akhlak dizaman mencabar” (BH 29/12/08).

Pak Oteh secara tidak langsung mengharapkan kepimpinan dari negara-negara yang mempunyai majoriti umat Islam. Selain menyenaraikan gejala kepincangan masyarakat Islam yang sudah umum diketahui, penulis juga menyentuh tentang kegagalan kepimpinan dikesemua peringkat khususnya diperingkat keluarga. Kegagalan kaum bapa telah disentuh oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu forum yang kemudian telah dibahaskan oleh perbagai pihak.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan Pak Oteh yang saya nukil di sini “Sebabnya, kita sudah dimaklumi sejak kecil lagi bahawa Tuhan tidak akan merubah nasib sesebuah kaum, selagi ia tidak mengatasinya sendiri.”. Ayat ini dan ayat-ayat seumpama dimana perkataan “mengubah” digunakan dan bukan “mengatasi” sering digunakan sebagai ayat motivasi. Saya ingin memberi perspektif yang berbeza untuk difikirkan bersama.

Allah s.w.t mencipta manusia dengan segala kesempurnaan walaupun dengan potensi yang berbeza. Hikmah disebalik perbezaan ini bagi membolehkan manusia saling kenal mengenali dan saling bantu membantu dalam kehidupan dunia dan perjalanan menuju akhirat.

Ayat ini merujuk kepada sikap manusia yang tidak mengetahui kesempurnaan yang telah Allah s.w.t berikan kepada mereka. Ia cerminan kejahilan manusia yang tidak sedar tentang potensi yang telah dimiliki. Perlu dikembalikan kesedaran manusia untuk mengenali kekuatan serta potensi yang telah dimiliki secara fitrah. Ia juga mensyaratkan ilmu yang dapat menghindar sesaorang dari memilih sesuatu yang salah dan kurang baik. Kegagalan mengenali unsur ini mendorong sesaorang mengubah apa yang telah baik dan sempurna kepada suatu yang merugikan bahkan merosakan.

Potensi yang dimiliki sesaorang merupakan asas yang perlu dikembangkan bagi menrealisasikan peranan serta kemampuan sebenarnya. Peluang-peluang untuk menyuburkan potensi yang dimiliki perlu dicipta dan dikenal-pasti . Mengenali potensi ini juga penting kerana ia berkait rapat dengan matlamat dan tujuan utama keberadaan manusia. Ia akan menghasilkan individu-individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta bermotivasi mengejar kejayaan.

Contohnya, dalam pelbagai sumber sejarah Kepulauan Melayu, orang Melayu terbukti mampu menjadi perniaga dan pengekspot barangan yang berjaya. Orang Melayu juga merupakan orang yang aktif meneroka dan menjelajah peluang-peluang baru di negara-negara serantau. Dengan itu, potensi menjadi seorang usahawan global turut dimiliki oleh generasi Melayu masa kini.

Kesan sekularisma yang ditinggalkan oleh bangsa penjajah sejak sekian lama, telah membuat orang Melayu hilang banyak keahliannya. Disamping itu, sekularisma juga meragut keyakinan serta identiti dan makna diri masyarakat Melayu, khususnya generasi pasca merdeka. Kebingungan yang dialami melahirkan sikap pasif dan menyuburkan sikap menagih simpati serta defensif. Ia juga mendorong sikap mencipta halangan hayalan atau “imaginary boundary” dikalangan masyarakat Melayu.

Kesan ini berbeza dengan masyarakat barat yang menyaksikan kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu yang sangat pesat dan tiada tandingnya dalam sejarah dunia. Kehidupan manusia barat menjadi sangat maju dan mewah walaupun dari segi akhlak dan moral menyimpang jauh dari nilai-nilai murni yang diterima oleh banyak agama.

Pada pendapat saya, amatlah penting untuk mengkaji kembali sejarah dari perspektif berbeza dan berdasarkan pandangan alam yang tepat. Melaluinya nanti dapat dikenal pasti titik permulaan perubahan yang telah mencorak minda dan sikap masyarakat.

Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bangsa Melayu secara drastik dan menyeluruh. Tamaddun Melayu ketika itu diantara yang unggul sehingga menarik minat bangsa Eropah untuk dijelajahi dan ditakluki. Perlu dikaji semula kerangka ilmu atau “framework” yang telah digunakan sehingga mampu memperkasa bangsa Melayu suatu ketika dahulu. Di samping itu kita harus juga mengambil iktibar dari kesilapan-kesilapan yang dilakukan pelbagai lapisan pemimpin agar tidak mengulanginya di masa hadapan.

Saranan Pak Oteh supaya memperbaiki akhlak harus difikirkan. Ia tidak semudah yang dijangkakan. Kesan sekularisma telah menggadai banyak nilai-nilai agama yang mulia dan sesuai dengan adat serta resam budaya. Pengaruh sekularisma keatas kehidupan beragama dan kebudayaan perlu dikenal pasti dahulu. Semua bidang ilmu-ilmu masakini perlu disaring dan dimurnikan semula. Barulah nanti nilai-nilai mulia yang mampu menzahirkan akhlak yang mulia dapat diterapkan. Hanya dengan cara ini saja seorang individu itu mampu mencapai kejayaan yang sebenarnya dalam semua bidang kehidupan.

Mempertahan Jati Diri Melayu

(terdorong memberi pandangan kerana terkilan dengan sikap sesetengah orang yang hanya suka melihat kelemahan orang2 Melayu. Sikap membuka pekung sendiri ini tanpa memberi huraian serta jalan keluar yang tepat tidak menguntungkan bangsa sendiri. Sebaliknya, akan menimbulkan kesal negatif dan melemahkan semangat dan jati diri generasi muda yang sedang kebingungan)

Saya merujuk tulisan En A Rahman Basirun “Siapa Melayu Sebenarnya” yang disiarkan di BH (18 Dec 2008).

Senarai yang diberikan oleh penulis merupakan stereotaip yang sering dilemparkan kepada orang Melayu. Seperti yang penulis nyatakan orang Melayu sendiri turut terikut-ikut dalam menlabel sesama sendiri.

Watak negatif yang sering dikaitkan terhadap orang Melayu sebenarnya adalah “baru” dan asing dalam sejarah orang-orang Melayu silam. Di zaman sebelum penjajah, ketinggian budi bahasa, pekerti yang mulia dan sikap jujur, amanah dan toleransi, merupakan ciri-ciri Melayu. Ini digambarkan dalam berbagai bentuk seperti pantun, syair , dogeng rakyat dan hikayat-hikayat Melayu yang menekankan tentang akhlak mulia yang diamalkan ketika itu.

Saya setuju dengan pendapat penulis yang mengatakan jati diri dikalangan orang Melayu masih belum kukuh. . Penulis juga menyentuh kecenderungan membuat tanggapan berdasarkan sumber-sumber yang belum dipastikan kesahihanya yang turut dilakukan oleh bangsa yang lebih maju seperti di barat.

Dewasa ini terdapat kesedaran yang semakin meningkat tentang keperluan mengkaji semula bahan-bahan sejarah khususnya di alam Melayu. Gesaan supaya lebih ramai ahli sejarah tempatan tampil untuk mengkaji semula bahan-bahan sejarah. Ketika ini, buku-buku yang mengupas tentang sejarah Melayu lebih banyak merupakan hasil tulisan orang-orang bukan Melayu. Tidak mustahil intepretasi mereka berdasarkan pandangan alam mereka, nilai yang mereka pegang serta bersandarkan budaya yang mereka miliki.

Hasil dari intepretasi yang diterima, khususnya melalui pelajaran sejarah di sekolah-sekolah, generasi muda sekadar menerima pandangan yang diberi. Ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan dalam pemikiran mereka tentang imej Melayu yang turut menimbulkan kekeliruan mereka tentang identiti mereka sebagai orang Melayu.

Dalam takrif Melayu, agama Islam merupakan salah satu faktor yang sentral selain bahasa dan budaya yang dimiliki. Dengan imej Islam yang kini terpalit oleh perbuatan segelintir golongan extremis, dapat difahamkan kesan terhadap perspektif mereka. Soroton media-media tempatan dan antarabangsa tentang Islam turut tidak membantu mengukuhkan jati diri mereka.

Tidak salah jika dikatakan generasi muda kita merasa kian terpinggir dan kehilangan makna diri. Ini memungkinkan cetusan rasa marah, ingin memberontak dan seterusnya menghilangkan sama sekali kesan keMelayuan yang dipusakai. Ia juga boleh dijadikan sebab mengapa mereka lebih mudah terdorong meniru cara barat. Kekeliruan yang mereka alami dilahirkan dalam bentuk tindakan yang dianggap anti-sosial, bermasalah dan sia-sia.

Saya fikir adalah lebih wajar untuk berhenti dari menyenaraikan sikap negatif bangsa sendiri. Sebaiknya kita tumpu dalam mengkaji kembali kecemerlangan tamaddun Melayu sebelum zaman penjajahan secara adil dan benar. Kita cuba faham kesan yang ditinggalkan oleh bangsa barat terhadap pendidikan, nilai serta pandangan alam Melayu dan Islam ketika itu yang masih kekal sehingga kini.

Kita berharap dapat menyakinkan generasi muda kita tentang keunggulan bangsa Melayu dan bahasa Melayu yang telah diterima secara meluas sebelumnya. Kita ingin supaya generasi kita tidak lagi merasa malu sebagai orang Melayu. Sebaliknya merasa bangga menjadi sebahgian dari bangsa yang bukan saja mempunyai kerangka ilmu yang tinggi tetapi juga nilai dan akhlak yang dipuji dan dikenali. Dengan itu mereka akan terdorong untuk berusaha meningkatkan diri dan menebus kembali maruah mereka yang telah hilang.

Memahami dan menerima perbezaan ideologi

Saya merujuk kepada tulisan oleh wartawan En Ismail Pantek yang telah disiarkan di BM (14 December 2008). Penulis telah membuat seruan supaya golongan berilmu tampil untuk membincangkan isu-isu penting dalam masyarakat.

Pada pendapat saya saranan yang diberikan untuk menggalakkan ilmuan dan cendiakawan berdialog dan berbahas serta melibatkan diri dalam wacana keilmuan adalah wajar. Melalui perbincangan yang berhikmah dan dengan semangat ingin mencari huraian, faktor-faktor yang menyumbang kepada permasalahan dapat dikenal pasti.

Apa yang disentuh oleh penulis blog yang dinukil oleh wartawan merupakan senario yang telah lama dikenal pasti akan timbul oleh salah seorang pemikir besar abad ini. Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang juga adik kepada Allahyarham Prof Syed Hussein Al-Attas, telah meletakkan kegagalan menentukan objektif serta tujuan pendidikan sebagai punca segala kekeliruan dan kebingungan yang muncul.

Menurut Prof Naquib tujuan pendidikan ialah bagi melahirkan individu yang terdidik serta baik. Individu begini faham dan mengamalkan adab dalam diri, keluarga, persekitaran dan masyarakat dunia. Individu begini dapat menghadapi dunia yang plural dengan berjaya, bersikap rasional dan tanpa hilang identitinya.

Masalah-masalah yang berlaku kini antara lainnya berakar pada faktor-faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran disebabkan oleh cabaran keagamaan-budaya dan sosiopolitik daripada kebudayaan barat. Faktor dalaman pula yang saling berhubung kait ialah kekeliruan dan kesalahan dalam memahami ilmu, kehilangan adab dan munculnya pemimpin-pemimpin yang tidak layak memikul tanggung-jawab secara benar dalam segala bidang.

Adab yang dimaksudkan oleh Prof Naquib adalah bahagian daripada hikmah dan keadilan. Ketiadaan adab akan mengakibatkan kezaliman, kebodohan serta kegilaan.

Kebingungan yang berlaku mendorong kegagalan mengenal pasti dan memilih masalah dan kemudian memberi penyelesaian yang tepat. Ia juga melahirkan pseudo-masalah iaitu masalah yang sepatutnya tidak dianggap masalah, yang menyuburkan pelbagai bentuk ekstremism yang modal utamanya adalah kejahilan.

Seorang lagi ilmuan yang unggul, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, telah menyalahkan ketidak–matangan dalam menangani kepelbagaian dan perbezaan pendapat. Ketegangan yang kerap berlaku antara kaum merupakan kegagalan untuk memahami pandangan alam agama-agama yang berbeza, falsafah, budaya serta adat resam pelbagai kaum.

Ini menimbulkan rasa saling curiga mencurigai yang akhirnya menghilangkan rasa saling menghormati dan toleransi yang sebenar yang merupakan sebahgiaan dari pandangan alam agama Islam itu sendiri.

Pandangan yang telah diberikan oleh kedua-dua ilmuan ini wajar dijadikan landasan bagi perbincangan lanjut oleh pihak yang prihatin khususnya golongan pendidik dan ilmuan yang ikhlas.

Thursday, June 18, 2009

Tubuhkan QC sosial untuk menjamin mutu masyarakat -1/11/08

(memberikan saranan untuk mengatasi masalah sosial dengan kehadiran ramai pendatang yang berasing untuk merebut jawatan kosong. para pekerja melayu semakin terpinggir kerana beberapa sebab)

Saya merujuk kepada tulisan En Mohd Noor A Rahman bertajuk “Prihatin soal anak watan dan pendatang” (BH, 15 November 2008).

Penulis telah mengemukakan beberapa pandangan yang sekaligus menyuarakan hasrat hati majoriti masyarakat Melayu setempat. Kebimbangan yang dirasakan oleh kebanyakan orang Melayu yang turut disedari oleh Perdana Menteri, merupakan keprihatian positif. Masyarakat kita semakin sedar tentang perubahan yang sedang berlaku di sekeliling mereka dan seluruh dunia. Bahkan, masyarakat kita juga menerima tiadanya jaminan keselesaan yang selama ini dirasakan akan berkekalan.

Penulis juga telah melontarkan dua pilihan untuk direnungkan bersama. Yang pertama, penekanan lebih kepada bilangan atau kuantiti sedangkan yang kedua, lebih kepada mutu atau kualiti. Saya yakin, semua pembaca tiada masalah untuk membuat pilihan yang tepat.

Bagaimana pun, saya ingin mengajak pembaca untuk merenung sejenak sebelum membuat pemilihan. Haruskan bilangan yang ramai dikaitkan dengan kemerosotan mutu? Benarkah andaian kejayaan masyarakat lebih mudah dicapai dengan bilangan yang kecil?

Ketika Singapura mula mengorak langkah menjadi negara perindustrian ditahun-tahun 1970an dahulu, barang-barang electronik buatan tempatan telah dieksport ke merata negara. Bagi menjamin mutu barang keluaran setempat diterima dipasaran antarabangsa, pasukan-pasukan pegawai mutu (qualiti control atau QC) telah ditubuhkan.

Pasukan-pasukan QC ini telah dilatih secara perinci untuk memahami tahap yang ingin dicapai. Mereka juga telah diberi kesedaran mendalam pentingnya untuk memastikan mutu kawalan yang tinggi yang kritikal terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Ahli-ahli pasukan QC digalakkan untuk sering bertemu dan berbincang cara-cara yang lebih berkesan bagi meningkatkan produktiviti setiap pekerja disamping mengekalkan mutunya. Berbagai program peningkatan serta kebajikan pekerja telah dilaksanakan dengan jayanya. Natijahnya, bukan saja rakyat setempat yakin dengan produk keluaran sendiri, bahkan banyak negara-negara lain yang menerima piawaian kita.

Meniru formula ini, mungkin masyarakat kita perlu pada pasukan-pasukan QC yang terlatih. Kita tidak boleh sekadar bergantung kepada sukarelawan. Kita perlukan pasukan yang terlatih serta faham masalah dan mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan program-program yang telah direncanakan dengan penuh dedikasi.

Salah satu cara ialah dengan menawarkan biasiswa-biasiswa kepada pelajar-pelajar pintar dari madrasah dan juga sekolah nasional, untuk memilih bidang sains kemuanusian dan kemasyarakatan. Ketika ini, pelajar-pelajar pintar kita lebih cenderung memilih bidang sains tabii atas alasan peluang kerja yang lebih cerah dan juga kerana tawaran-tawaran scholarship yang lebih mudah diperolehi.

Pelajar-pelajar kita yang layak, perlu mendalami berbagai bidang pengajian yang mengkhususkan kepada pengkajian sistem pendidikan secara keseluruhan. Mereka diwajibkan mengambil pengajian sejarah dan tamaddun bagi memahami punca dan akar yang menyebati dalam diri serta fikiran bangsa. Pelajar-pelajar ini juga perlu diserapkan dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan untuk memudahkan mereka memahami lagi nadi masyarakat. Platform bagi mereka meluahkan pandangan serta idea mereka disediakan yang turut diselaras oleh seorang mentor yang berwibawa.

Lulusan dari program ini, akan diambil bekerja sebagai pegawai-pegawai dakwah dan pembangunan mesjid-mesjid serta persatuan-persatuan Islam setempat.

Dengan pendekatan ini dan dengan dorongan serta sokongan masyarakat amnya, dalam masa terdekat, kita akan dapat melahirkan beberapa pasukan QC sosial ini. Sebelum ini dapat dilaksankan, sudah tentu kita perlukan satu badan sosial seperti Mendaki atau AMP untuk menerajuinya. Bagi menampung dana yang diperlukan yang dijangkakan agak besar, badan yang bertanggung-jawab ini perlulah mendapatkan sokongan dari persatuan-persatuan setempat, khususnya mesjid-mesjid yang mempunyai lebihan dana, untuk turut menyalurkan kepada penubuhan dana seumpama trust-fund ini.

Saya yakin sekiranya semua dikalangan kita mempunyai rasa bersama serta sanggup berkerjasama kita mampu meningkatkan keupayaan kita. Maka, tidak perlukan kita menunggu-nunggu peluang untuk bercakap di forum-forum kepimpinan sekadar untuk meluahkan kebimbangan kita. Saluran-saluran lain seperti forum akhbar, internet serta media-media boleh dijadikan platform alternatif untuk kita menyampaikan visi dan wawasan kita.

Mengaplikasi Pluralism yang Sewajarnya - 3/11/08

(memberi pandangan alternatif kerana risau dengan perkembang semasa. Semakin ramai penceramah berfahaman sekular yang mempromosi pluralism yang dijemput. kumpulan target pula adalah golongan muda dan para pelajar institusi tinggi.)

Sejak istilah “pluralism” semakin digunakan, ia telah mengundang perdebatan dan pertelingkahan yang berpanjangan yang tiada tanda akan berakhir . Ini kerana istilah ini menyentuh aspek keyakinan, pegangan akidah serta kepercayaan sesuatu agama yang sangat sensitif dan fundamental.

Sekiranya objektif menggunakan istilah ini bagi melahirkan satu kesatuan, menerima persamaan dan mengiktiraf perkongsian, maka perkataan dasar “plural” itu sendiri bertentangan dengan matlamat yang ingin dicapai. Ini kerana perkataan “plural” itu sendiri membawa makna kepelbagaian, majmuk, ketidak-samaan, terdiri dari komponen-komponen yang berbeza dan tiada langsung membawa makna kesamaan atau perkongsian. Bahkan, boleh juga difahamkan makna istilah ‘plural” sebagai perpecahan dan keterpisahan.

Bagi mengambarkan perkongsian dan kebersamaan, maka istilah yang lebih wajar ialah kesepaduan atau “cohesion”. Istilah yang bernada positif ini akan merangsang minda untuk melihat sesuatu dari sudut yang lebih positif serta merangsang usaha kearah mencapainya.

Dari kamus Longman Dictionary of Contemporary English “cohension” memberi makna “all parts or members are connected or related in a reasonable way to form a whole”. Takrif ini menggunakan istilah “reasonable way” atau cara yang sewajarnya. Ini amat sesuai kerana adalah mustahil untuk mengharapkan kesatuan atau kesepaduan yang sempurna .. Idea, prinsip, pegangan, nilai, moral , pandangan alam yang sudah wujud dan bersemadi sebagai identiti pelbagai golongan, bangsa, puak , agama adalah sukar untuk diubah atau diganti dengan sesuatu yang baru. Maka meletakkan objektif “sewajarnya’ adalah lebih realistik dan memungkinkan kejayaan.

Istilah kesepaduan juga mempunyai konotasi yang membawa mesej kesamaan dan perkongsian naluri setiap individu yang inginkan kebaikan. Ini akan mendorong usaha-usaha kearah mencapai kehidupan yang diharapkan iaitu kedamaian, ketenangan serta keharmonian.

Dalam pelaksaan kesepaduan masyarakat dengan identiti yang berbeza, nilai-nilai yang dikongsi sama, berupa nilai-nilai akhlak yang mulia dan cara hidup yang bermoral dan berprinsip, yang dikongsi oleh semua agama, yang ditonjolkan. Nilai-nilai murni yang dikongsi dan dipersetujui diperikat dan dijadikan landasan untuk saling bekerja-sama, hormat-menghormati demi mencapai kesejahteraan bagi semua anggota masyarakat.

Perbezaan yang dimiliki oleh sesuatu golongan atau dianuti oleh sesuatu agama dianggap sebagai unik dan diterima atas dasar menerima kepelbagaian itulah tolerensi yang sebenarnya. Tiada satu puak atau golongan yang akan cuba memaksa puak lain untuk menerima doktrin atau pandangan yang berbeza dengan apa cara sekali pun.
Setiap nilai yang telah dipersetujui dan dikongsi sama, tidak dibenarkan diubah atau digantikan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak tanpa lebih dahulu berbincang dan memperolehi persetujuan dari semua pihak yang berkepentingan.

Krisis Kewangan dan Masyarakat Melayu - 17/10/08

(memberi pandangan alternatif kerana terdapat banyak suara-suara yang cuba menakut-nakutkan masyarakat Islam dengan kegawatan ekonomi. Hakikatnya, sebagai orang Islam, keyakinan kita hanya pada Allah s.w.t dan memahami segalanya merupakan ujian yang perlu dihadapi dengan tenang dan sabar. Tidak perlu panik - mesej yang ingin disampaikan)

Rasanya tidak silap jauh sekiranya dikatakan majoriti masyarakat Melayu tidak sedar tentang krisis kewangan yang sedang melanda. Lebih-lebih lagi suasana hari raya masih terasa dan ditambah dengan musim peperiksaan. Kebimbangan yang dirasakan oleh ramai pemimpin dunia, penganalisa ekonomi serta pengurus-pengurus institusi kewangan tidak begitu meninggalkan kesan.

Ketidak pedulian yang digambarkan merupakan ceminan ketidak pekaan masyarakat tentang persekitaran serta isu-isu penting yang boleh meninggalkan kesan pada diri, keluarga, masyarakat, negara serta dunia. Apa yang dapat diharapkan ialah, sikap ini merupakan sikap mendasar masyarakat Melayu yang beragama Islam yang tidak meletakkan kepentingan materi sebagai keutamaan dalam hidup mereka.

Sudut positif yang dapat diketengahkan ialah masyarakat Melayu/Islam telah ditanamkan dengan nilai-nilai agama yang tepat dan benar. Pegangan agama yang dimiliki yang tidak meletakkan keutamaan kepada kebendaan begitu sebati dalam jiwa masyarakat Melayu sehingga tidak membuahkan rasa bimbang atau panik dengan keadaan yang bakal berlaku. Segolongan kecil mereka yang mengikuti perkembangan semasa, mungkin sekadar membuat persediaan dalam bentuk mengurangkan perbelanjaan dan menabung sebagai menyediakan payung sebelum hujan.

Selebihnya, mereka yang berpegang kepada pandangan “rezeki ditentukan oleh Allah s.w.t”, tidak melakukan apa jua usaha sebagai persiapan menghadapi hari-hari sukar. Pengalaman-pengalaman lepas yang dilalui memperlihatkan betapa ramainya keluarga serta individu Melayu yang tidak mampu bangkit dari kesan kemelesetan ekonomi yang lalu sehinga perlu dibantu oleh berbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Adakah senario yang sama yang akan kita hadapi nanti kerana keengganan masyarakat untuk turut memikirkan sama serta mengambil iktibar dari pengalaman silam?

Pihak yang prihatin sudah tentu akan memerah otak mencari jalan bagaimana meningkatkan kesedaran masyarakat untuk sama-sama membina ketahanan diri. Yang jelas, kekeliruan yang berpunca dari salah faham ilmu yang diterima telah menimbulkan ketidak-upayaan untuk menilai serta meletakkan suatu perkara di tempatnya yang tepat. Kegagalan untuk memahami perkara-perkara yang menjadi keutamanan merupakan punca sebenar yang menghambat masyarakat dan melahirkan berbagai masalah sosial yang kian meruncing.

Visi membangunkan sistem pendidikan agama yang progresif, moden dan relevan kepada masyarakat, negara dan dunia yang kian global, yang telah dibentangkan oleh Dr Yaacob Ibrahim yang disiarkan di berita harian, 13 Oktober 2008, merupakan suatu yang sangat dialu-alukan. Apa yang dapat diharapkan semoga pendekatan yang dipilih nanti lebih menumpukan kepada pembentukan pembangunan individu yang sedar tentang tanggung-jawab dirinya dan bukan sekadar menekankan peranannya sebagai warga kerja dan negara. Ini kerana, individu yang sedar dan bertanggung-jawab sudah tentu dapat memainkan peranannya dengan lebih efektif sebagai ahli keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Intisari sistem agama yang bakal dipertingkatkan nanti sudah tentu akan menyemak semula formula-formula yang telah digunakan sebelumnya dizaman silam yang telah terbukti berjaya yang dapat diterapkan dengan mengambil kira konteks semasa. Perbandingan kepada sistem-sistem pendidikan selain Islam juga berguna dijadikan rujukan serta panduan untuk tidak diterima-pakai bagi mengelakkan kegagalan yang serupa yang telah dikenal pasti.

Kekeliruan Berfikir Umat Islam - 16/11/08

( membantah pandangan Dr Ahmad Syafii dari Indonesia yang begitu langtang mempromosi pluralisma agama. Sejak dua tahun ini MUIS sering kali menjemput hanya penceramah yang mempromosi pandangan2 liberal tapi tiada seorang sarjana pun yang tampil untuk membantah)

Saya merujuk kepada tulisan En Maarof Salleh bertajuk “Kekeliruan fikir : Antara takut mati dengan takut hidup” yang telah disiarkan di Berita Harian pada 31/10/08.
Penulis telah mengupas dengan tepat satu contoh kekeliruan fikiran dimana pandangan alam Islam cuba dijelaskan berdasarkan acuan barat. En Maarof telah mengketengahkan bahaya dari pemikiran yang begini yang akan melahirkan tindakan yang celaru serta kekeliruan yang berleluasa dikalangan masyarakat umum.

En Maarof juga telah menegur andaian salah yang telah dibincangkan oleh pensyarah undangan ketika memberikan ceramah beliau yang juga telah disiarkan di Berita Harian pada 25/10/08. Dari pandangan yang diberikan oleh Dr Ahmad Syafii, beliau membuat rumusan terdapat kesamaan permasalahan yang dihadapi dalam masyarakat yang berbeza hatta di Singapura.

Saranan-saranan lain Dr Ahmad ialah menerima demokrasi dan pluralisme kerana “lebih cocok dengan nilai-nilai Islam” . Contoh yang diberikan oleh En Maarof berkenaan kegagalan sistem demokrasi seperti apa yang berlaku di Afghanistan dan di Iraq amat relevan untuk direnungkan bersama.

Pluralisme pula perlu diperjelaskan. Sejak istilah “pluralisme” semakin digunakan, ia telah mengundang perdebatan dan pertelingkahan yang berpanjangan yang tiada tanda akan berakhir . Ini kerana istilah ini menyentuh aspek keyakinan, pegangan akidah serta kepercayaan sesuatu agama yang sangat sensitif dan fundamental. Ia bukan saja menyentuh tentang hak saksama tetapi juga untuk menerima semua agama adalah sama di peringkat metafizik atau transenden.

Saya yakin, ramai dikalangan masyarakat yang belum pernah mendengar istilah ini atau masih belum faham makna dan objektif sepenuhnya. Sejak kebelakangan ini, isu pluralisma ini semakin kerap ditimbulkan di media dan dibincangkan diceramah-ceramah umum oleh pensyarah undangan.

Di Singapura sendiri, toleransi agama telah lama wujud. Sikap pragmatik masyarakat setempat yang menerima kepelbagaian agama dan memberi hak setiap agama untuk ditafsirkan dan diamalkan merupakan toleransi sebenar yang perlu dipertahankan. Sikap ini bersesuaian dengan surah Al-Quran yang berbunyi “engkau dengan agama engkau, dan aku dengan agama aku” (QS : 109 : 6).

Sukar untuk difahami bagaimana sekadar menerima istilah seperti “pluralsim” dapat memenuhi objektif melahirkan kesepaduan, menerima persamaan dan mengiktiraf perkongsian. Konotasi istilah itu sendiri membawa makna keterpisahan, ketidak-samaan dan perbezaan.

Kesepaduan yang ingin dicapai khususnya bagi masyarakat majmuk seperti Singapura ialah supaya penganut pelbagai agama dapat bekerjasama dalam melawan arus penghakisan makna kerohanian dan akhlak dalam kehidupan. Nilai-nilai akhlak yang dikongsi sama ditonjolkan dan dijadikan dasar bagi mencapai kebersamaan dalam membina masyarakat yang bersepadu.

Bagaimana pun, disamping perlunya melihat persamaan dalam hal-hal tersebut, perbezaan yang terdapat dalam pelbagai agama, khasnya dalam hal-hal akidah harus difahami. Kekeliruan yang wujud ketika ini, lebih merupakan penerimaan ilmu yang kurang tepat yang melahirkan tindakan seperti estremism dan pengganasan.. Kekeliruan ilmu inilah yang telah dikenal pasti secara tepat oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai punca utama atau akar kepada permaslahan yang menimpa umat Islam hari ini dan masyarakat dunia amnya.
Persoalan lain yang dilontarkan oleh En Maarof iaitu “Apakah mungkin kita juga berhadapan dengan bahaya yang sama besar akibat membesarnya golongan yang berani hidup kerana takut mati?” suatu yang perlu difikirkan oleh setiap pihak yang prihatin. Apakah yang telah mendorong pemikiran begini untuk bercambah sehingga mencapai ketahap bahaya.
Sudahkan generasi muda kita disajikan dengan ilmu-ilmu yang tepat bersandarkan pandangan alam Islam yang benar. Adakah mereka menerima bimbingan untuk mengenal pasti apa yang hak dan apa yang bathil serta mampu membezakannya ketika berhadapan dengan berbagai doktrin, pemikiran serta falsafah yang jelas berbeza. Apakah teras pendidikan agama yang diterapkan disini masih bersifat tulen yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w atau merupakan saduran pelbagai fahaman dan penafsiran berbeza.
Semua ini merupakan cabaran yang perlu difikirkan oleh para ibu-bapa, pendidik dan asatizah yang dibebani tanggung-jawab untuk memperkasa masyarakat am dan generasi muda khurusnya. Bagi menghindar lebih banyak kekeliraun fikir dikalangan generasi muda adalah lebih wajar untuk menilai semua kebimbangan asal pensyarah undangan yang menyampaikan mesej yang kurang sesuai yang telah diutarakan oleh En Maarof.