Friday, June 26, 2009

Memahami Sekularisme

Saya merujuk tajuk berita “Memupuk keharmonian antara agama – mengikut pandangan Mufti Syria” (BM 24/5/09).

Saya memetik pandangan beliau tentang bagaimana sistem sekular telah disalahertikan sebagai satu sistem ateis atau yang tidak percaya Tuhan. Beliau juga menyatakan “sekularisme dapat memberikan sumbangan besar terhadap keharmonian antara agama”.

Saya bersetuju iaitu dalam konteks Singapura sistem sekular yang diamalkan bersifat pragmatik. Ia bukan berdasarkan falsafah sekularisme yang tulin dimana unsur-unsur rohaniah telah pisahkan dan nilai-nilai agama dan akhlak menjadi relatif. Dalam falsafah sekularisme yang tulin, hanya bidang-bidang seperti sains, teknologi dan perubatan yang dijadikan sandaran dalam menentukan nilai2 moral dan akhlak.

Bentuk sistem sekular yang diamalkan di negara kita mengiktiraf semua agama. Setiap penganut diberi kebebasan untuk menyakini kebenaran agama masing-masing. Kebebasan untuk menyakini ajaran agama sendiri sebagai benar tidak dipaksakan kepada penganut agama lain. Sikap saling memahami dan menghormati ini membolehkan kita hidup aman damai dan membantu negara mencapai kemajuan yang pesat.

Pihak pemerintah juga sangat tegas tentang ruang bersama yang diperuntukkan kepada setiap kaum. Sikap ini jelas dengan tindakan tegas yang diambil keatas pihak-pihak yang cuba mengkerohkan keadaan. Contohnya, lapuran di BH (29/5/09), sepasang suami-isteri telah dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah kerana mengedarkan risalah berbentuk hasutan. Sebelum itu, seorang penulis blog juga telah dikenakan hukuman atas kesalahan yang sama.

Kedua-dua insiden ini merupakan contoh ketidak-matangan individu-individu terlibat yang hidup dalam masyarakat plural seperti negara kita.

Pada saya penting juga untuk memahami maksud kenyataan Mufti Syria, Sheikh Dr Ahmad Bade Eddin Hassoin yang menyatakan “ ketika terdapat kepelbagaian kepercayaan dan agama di dalam sesebuah negara, maka akan terdapat budaya spiritual yang sangat tinggi”. Ini kerana, hampir semua agama menganjurkan nilai hidup yang murni dan mulia. Nilai-nilai universal yang dikongsi tidak bersifat nisbi atau relatif yang mampu menjamin keharmonian hidup umat manusia.

Masyarakat yang mengamalkan sistem hidup beragama meletakkan moral dan akhlak dikedudukan yang paling utama. Matlamat dan tujuan hidup mereka adalah lebih jelas. Keadilan dan kebahgiaan merupakan objektif yang dikongsi dan diusahakan bersama walaupun dengan kaedah berbeza. Jika setiap ahli masyarakat meletakkan keutamaan ini serta ikhlas, akan lahir budaya spiritual tinggi yang mungkin dimaksudkan oleh Dr Ahmad.

Dr Ahmad menyeru kepada masyarakat Islam, Buddha dan Krsitian untuk saling berkerjasama demi mewujudkan suasana sejahtera dan rukun damai. Bagi mencapai matlamat ini, ideologi dan falsafah yang cuba merungkai kesucian mana-mana ajaran agama perlu difahami dan ditangani. Fahaman yang menekankan kepada budaya individualistik yang tidak serasi dengan budaya timur juga perlu diatasi. Nilai-nilai mulia ketimuran seperti menghormati ibu-bapa, orang-orang lebih dewasa, guru-guru, tingkah laku sopan di tempat awam serta sikap hidup saling bantu membatu perlu disuburkan kembali.

Nasihat terakhir beliau supaya umat Islam menghulurkan tangan kepada semua bangsa dan agama dan menjadi saudara kepada mereka amat relevan. Dalam tamaddun Islam silam, sikap ini telah dilaksanakan dengan berjaya. Perkongsian ilmu yang berlaku dikalangan ulama-ulama silam dengan cendiakawan berbagai bangsa dan agama telah membantu banyak bangsa dunia untuk bangkit dari zaman kegelapan kepada zaman kecemerlangan keilmuan.

Ketamaddun global yang diwarisi melalui ajaran Islam sangat menekanan aspek ketinggian ilmu. Jika difahami dan diamalkan dengan tepat mampu menyelesaikan banyak permasalahan umat dunia masa kini. Yang penting dialog secara muhibbah dan penuh hikmah dijadikan wadah utama dalam perkongsian begini.

Perwakilan Agama dalam Dialog Negara Sekular

Saya merujuk makalah yang telah disiarkan di BH (1/6/09) bertajuk “Peranan Agama di negara sekular”.

Pada pendapat saya pandangan yang telah diberikan oleh kedua-dua penulis amat penting dan wajar diberikan perhatian. Beberapa usulan yang diketengahkan sangat relevan untuk difikirkan secara mendalam.

Penglibatan lebih aktif badan-badan agama dalam arus perdana mampu memberi perspektif yang lebih menguntungkan. Sebaliknya peminggiran agama ke “ruang peribadi”nya hanya akan meluaskan jurang yang semakin hari akan menjadi semakin sukar dijembatani.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan penulis “interaksi sihat antara kelompok agama dengan kelompok sekular perlu untuk membangun sebuah masyarakat yang tinggi daya tahannya”. Strategi ini dapat menrealisasikan keinginan pemerintah menggalakkan penyertaan aktif rakyat dalam merangka dan mencerna dasar negara.

Bagi mendokong misi ini, dialog secara muhibbah merupakan wadah utama. Pemilihan wakil yang sah bagi setiap kelompok perlu ditentukan. Kewibawaan wakil yang dipilih amat mustahak bagi memastikan pandangan yang diketengahkan nanti benar-benar mewakili pandangan majoriti kelompoknya. Mandat yang diberikan kepada perwakilan perlu dihormati bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan perpaduan dikalangan ahli-ahli sendiri.

Pemilihan pemimpin yang tepat perlu berdasarkan beberapa kriteria yang disepakati. Bagi masyarakat Islam banyak contoh yang dapat diperolehi melalui sistem kekhalifahan silam. Para khulafa ar’rasyidin merupakan contoh terbaik ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan.

Para wakil yang dilantik sewjarnya memiliki beberapa ciri tersebut iaitu ketinggian intelektual, akhlak dan kerohanian. Keperluaan menguasai beberapa bidang ilmu dan memahami secara mendalam masalah-masalah kontempori. Perwakilan diharap dapat mensarankan huraian-huraian yang pratikal bersandarkan falsafah dan pandangan alam Islam yang tepat dan benar.

Para wakil yang dilantik membawa image masyarakat dan agama Islam. Maka dengan sendirinya perlulah bersikap konsisten dalam mempamerkan ketinggian budi perkerti yang luhur dan akhlak mulia. Image yang ditonjolkan merupakan keyakinan diri terhadap ajaran agama serta prinsip-prinsip penting yang juga dianuti oleh keseluruhan masyarakat Islam.

Dialog diantara agama dan diantara kelompok agama dengan kelompok sekular seperti yang dianjurkan oleh penulis wajar diadakan secara berterusan dan teratur. Perbezaan-perbezaan fundamental perlu difahami dan diterima terlebih dahulu. Pemaksaan idea dan fahaman, baik yang berbentuk keagamaan atau sekular perlu dihindarkan. Sebaliknya, kompromi dicapai dengan memberikan kebebasan setiap kelompok menerima atau menolak serta mempertahankan prinsip utama yang diwakilinya.

Kesimpulannya, interaksi begini dilihat dari sudut positif dan tidak harus menimbulkan kebimbangan yang berlebihan. Ia mampu mengukur sejauh mana kematangan masyarakat negara kita yang rata-rata berpendidikan dan terdedah kepada pengaruh-pengaruh luar yang lebih hebat lagi.

Ketepatan dalam Mengkaji Kebudayaan Melayu

Saya tertarik untuk menyambung perbincangan yang dimulakan oleh En Mohd Raman Daud bertajuk “Jangan kita dinilai tanpa budaya” (BH 28/5/09).

Pada pendapat saya, kebingungan dan kekeliruan yang dialami oleh ramai pengkaji sejarah, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu-Indonesia dapat difahami. Kekurangan sumber-sumber ilmiah yang relevan dan adil menyulitkan kajian yang ingin dilakukan. Sebaliknya, terdapat banyak kajian-tulisan yang dibuat oleh pengkaji Orientalis yang memberikan perspektif berdasarkan framework barat menilai kebudayaan dan kesusasteraan bangsa mereka sendiri.

Dalam membicarakan kebudayaan dan kesenian Melayu perlu meliputi juga bidang-bidang lain seperti agama, falsafah, sejarah selain istiadat. Membuat perbandingan period pra-Islam dan setelah kedatangan Islam akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang perubahan yang berlaku.

Sebelum kedatangan Islam, agama yang dominan ketika itu adalah agama Hindu. Dalam aspek agama Hindu, unsur kesenian dan kebudayaan lebih terserlah sedangkan aspek rasional dan ilmiah tidak begitu menonjol.

Setelah Islam datang, tradisi-tradisi yang berdasarkan kepercayaan, seperti belah mulut, lenggang perut dan sebagainya, yang bercanggah dengan ajaran Islam telah ditinggalkan.
Terdapat juga adat istiadat yang disesuaikan, seperti cukur rambut bayi yang dicontohkan oleh En Raman.

Ajaran Islam yang memuliakan kedudukan wanita, telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan masyarakat. Wanita-wanita tidak lagi mengadakan persembahan di khalayak ramai atau melibatkan diri dalam kegiatan berbentuk kesenian. Sebaliknya, anak-anak perempuan turut sama menimba ilmu-ilmu agama sebagaimana anak-anak lelaki.

Perkara penting yang perlu diketahui, kedatangan Islam membawa perubahan fundemental dalam pandangan hidup masyarakat ketika itu. Ia bukan saja membawa revolusi berbentuk rasionalisma dan intelektualisma tapi lebih penting lagi spiritualisme, kemasyarakatan dan ketamaddunan. Seperti yang ditulis oleh Prof Syed Naquib Al-Attas dalam monogerafnya “Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” : Timbulnya rasionalisma dan intelektualisma ini dapat kita bayangkan sebagai semangat yang hebat yang menggerakkan proses merevolusikan pandangan hidup masyarakat Melayu-Indonesia, memalingkan dari alam seni dan mitos yang khayal.

Masyarakat mula mengutamakan pertimbangan akal budi dan gaya berfikir yang teratur dalam menentukan sesuatu perkara. Seperti yang ditulis oleh Abdullah Munsi pada tahun 1810, menjadi adat resam Melayu seorang anak harus mengaji Al-Quran dahulu sebelum belajar bidang-bidang lain.

Hasil-hasil kesusasteraan ketika itu mencerminkan tamaddun yang berdasarkan pemikiran intelek yang tinggi. Tulisan-tulisan kreatif seperti pantun, syair dan puisi tidak saja menekankan aspek hiburan tapi mengandungi nilai pengajaran yang mampu merubah sesaorang.

Para mubaligh awal menekanan aspek spiritual berdasarkan metafizikal dan tasawuf. Kaedah ini berjaya mencorak masyarakat yang berbudi luhur, berakhlak mulia dan kuat berpegang pada ajaran agama serta bersaingan untuk menimba berbagai jenis ilmu. Buktinya, walaupun dijajah begitu lama, masyarakat Melayu tetap berpegang teguh pada ajaran agama dan hampir tiada yang murtad.

Khazanah persuratan, sastera, adat resam seperti pemakanan, pakaian, seni lukis dan reka bentuk bangunan, cara pergaulan dan hubungan kekeluargaan semuanya telah dipancari ajaran agama Islam.

Beberapa contoh lain yang dapat diketengahkan seperti budaya yang sangat menghormti guru; meninggalkan kampung halaman bagi menimba ilmu; gotong royong dan meninggalkan wasiat berbentuk nasihat. Semua ini melambangkan budaya ilmu masyarakat silam.

Bahasa Melayu yang digunaka secara meluas sejak sekian lama turut mengalami perubahan. Perbendaharaan bahasa Melayu telah diperkaya dengan banyak istilah-istilah bahasa Arab. Tulisan jawi yang merupakan versi tulisan Arab yang diMelayukan telah diperkenalkan bagi memudahkan penyampaian ilmu-ilmu agama kepada masyarakat.

Peralihan paradigma diperlukan dalam meneliti kebudayan, kesenian serta kesan-kesan sejarah Alam Melayu. Penilaian tidak seharusnya hanya berdasarkan adat istiadat yang masih dikekalkan atau peninggalan artifak atau hasil seni seperti ukiran dan lukisan atau dalam bentuk akitektur seperti bangunan dan istana. Sebaliknya, menyoroti peribadi-peribadi yang memiliki kebudayaan tersebut. Seperti yang ditulis oleh En Raman “selagi pengamal budaya Melayu berguna orangnya, begitulah budayanya”.

Pengkajian yang dilakukan seharusnya mendedahkan kepada ramai perkara-perkara penting yang dapat dimanfaatkan oleh generasi kini. Ia juga seharusnya membantu memahami punca tergadainya banyak amalan-amalan mulia masyarakat silam yang akan turut merugikan generasi masa depan. Disamping itu, menonjolkan aspek-aspek positif yang akan melahirkan rasa bangga dan meningkatkan jati diri pengamalnya.

Etika Berkongsi Ruang Bersama

Saya merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri En Wong Kam Seng, yang disiarkan di BH (15/5/09) dengan tajuk “Bebas Bersuara Ada Batasan”. En Wong telah menyetuh tentang pentingnya sikap yang wajar bila berhadapan isu-isu kepercayaan dan kepentingan sesaorang. En Wong juga menyentuh adab dalam menggunakan ruang bersama dalam memberikan pandangan alternatif.

Rumusan dari kenyataan En Wong ialah perlunya dipastikan tiada pihak yang cuba memonopoli dan memaksa pihak lain untuk menerima pandangan atau kepercayaan sendiri.

Keunikan negara kita yang mengamalkan sistem sekular tetapi tetap mengiktiraf kebebasan setiap penganut mengamalkan kepercayaan masing-masing. Ruang bersama yang diwujudkan untuk saling memahami dan menghormati budaya, kepercayaan dan kerencaman tradisi setiap kaum yang ada.

Ruang bersama ini tidak wajar dijadikan platform bagi mana jua pihak, samada yang pro-agama, pro-liberal atau pro-sekular untuk mempromosi prinsip dan pandangan hidup mereka. Contohnya, penganut sesuatu agama tidak wajar memaksa penganut-penganut agama lain untuk menerima kebenaran agamanya. Setiap penganut agama diberi kebebasan mendakwa kebenaran agama yang diyakini. Wajar menghormati kebebasan setiap orang meyakini agama sendiri sebagai benar yang merupakan prinsip utama untuk terus mengamalkan ajaran agama tersebut .

Selain itu, golongan pro-liberal atau pro-sekular, tidak wajar mengecam mana-mana agama sebagai cuba memonopoli kebenaran. Mereka tidak wajar memaksa mana-mana agama untuk menerima “kebenaran bersama” berdasarkan nilai-nilai sekular yang dirasakan mereka sesuai untuk dikongsi.

Fahaman liberal yang diyakini mereka juga tidak harus disuguhkan secara paksa dengan alasan apa juga pun. Masyarakat Islam juga tidak wajar memaksa penganut agama lain menerima kebenaran ajaran agama Islam.

Sejak awal lagi, Islam telah menekankan tentang tiadanya paksaan dalam beragama. Sejarah tamaddun Islam mencermin penyataan ini secara pratikal dimana kebebasan diberikan bagi setiap penganut agama mengamalkan ajaran masing-masing dalam pemerintahan negara Islam. Islam menekankan kepentingan saling menghormati walaupuan berbeza agama, bangsa dan budaya.

Dari segi politik pula, kerajaan yang memerintah boleh memilih atau tidak memilih mana-mana ajaran agama sebagai dasar undang-undang bagi semua rakyat negara tersebut. Pihak yang merasa tidak memperoleh hak mereka boleh berusaha menggunakan saluran-saluran yang tepat untuk bersuara dan mohon pertimbangan.

Dalam masyarakat moden, paksaan dalam bentuk apa juga perlu ditolak. Pemaksaan idea dan fahaman, baik yang sekular mahupun yang religius, rampasan kuasa, pengganasan dan melobi tidak wajar jika ia melibatkan isu-isu peka yang menyentuh hati nuraini manusia. Dialog secara aman dan penuh hikmah merupakan kaedah masyarakat yang bertamaddun.

Golongan minoriti yang hidup dalam masyarakat yang mempunyai nilai dan prinsip hidup yang berbeza perlu bijak menyesuaikan diri. Mereka tidak seharusnya berdegil “melawan arus” sekadar untuk mempromosi nilai hidup mereka yang berbeza tanpa memikirkan kesannya kepada pihak lain.

Contohnya, golongan yang mempunyai kecenderungan seksual yang berbeza, merupakan golongan minoriti di Spura. Pihak pemerintah telah memberikan jaminan kebebasan mereka untuk mengamalkan cara hidup mereka dalam ruang khusus, sama seperti golongan-golongan minoriti selainnya. Mereka seharusnya menerima dan tidak berusaha untuk meminta lebih dari itu.

Apa yang penting, setiap golongan memanfaatkan ruang kebebasan yang diberikan. Sesuaikan nilai-nilai murni yang universal dan tidak meruntuhkan nilai-nilai murni yang terbina selama ini. Disamping itu berusaha memperbaiki dan meningkatkan tahap hidup ahli-ahlinya.

Setiap pemimpin golongan tersebut menyedari kepentingan menyokong usaha memastikan setiap orang dapat hidup dalam keadaan tenang, harmonis dan aman damai.

Isu AWARE dan Nilai Masyarakat

Saya mengikuti perdebatan persatuan AWARE di akhbar sejak beberapa minggu. Seperti ramai, saya turut rasa lega kerana polemik yang berlaku dikalangan ahli mereka telah dapat diselesaikan.

Beberapa perkara penting telah timbul ekoran isu ini. Beberapa pandangan telah juga disiarkan di akhbar ini.

Walaupun tirai telah dilabuhkan, wajar juga diambil iktibar dari apa yang berlaku.

Perbezaan nilai dikalangan ahli merupakan pokok permasalahan. Dua kelompok yang yang mewakili datang dari mereka yang berfahaman sekular dan yang pro-agama. Kedua-dua kelompok mempunyai pendirian masing-masing dalam menentukan hala-tuju badan tersebut.

Ditengah polemik yang berlaku, kita dikejutkan oleh pengesahan pihak Kementerian Pelajaran (MOE) tentang beberapa sekolah menengah yang menggunakan khidmat AWARE dalam program keseksualan mereka.

Surat yang dikirimkan oleh En Mohd Rosle Ahmad (9/5/09) memberi contoh kandungan program kelolaan AWARE tersebut. Kenyataan-kenyataan seperti “homoseksualiti itu normal”, “homoseksualiti itu biasa” dan “anal sex can be healthy” merupakan sebahgian dari bahan perbincangan dalam program kelolaan AWARE. Perkara yang dikongsi sudah tentu akan mencorak pemikiran para pelajar yang menerima

Menyusuli pendedahan tersebut, pihak MOE telah membuat kenyataan menggantung program keseksualan berkenaan. Wajar MOE menjelaskan tindakan yang telah diambil bagi membetulkan semula pemikiran para pelajar yang terjejas. Mungkin MOE dapat berkongsi perancangannya bagi memastikan perkara ini tidak berulang dimasa hadapan. Saluran bagi ibu-bapa meneliti bahan-bahan pendidikan moral yang diajarkan kepada pelajar serta memberikan maklum balas wajar disarankan.

Iktibar utama dari pengalaman ini ialah dalam menimba ilmu, para pelajar turut menerima maklumat-maklumat sampingan yang mampu mempengaruhi pemikiran mereka. Sifat ilmu yang tidak neutral telah dibahaskan oleh Prof Syed M Naquib Al-Attas dalam tulisannya “Tujuan dan Objektif Pendidikan Islam”. Dalam penyebaran ilmu, nilai diri yang dimiliki penyampai turut dimuat turun samada secara sedar atau tidak. Nilai yang dimiliki merupakan cerminan prinsip hidup serta pandangan alam yang dianuti dan kemudian dikongsi.

Persoalan nilai turut disentuh oleh Puan Khartini Khalid, pensyarah salah sebuah politeknik dalam tulisan beliau “Pendekatan Salah Membawa Rebah” (BM 10/5/09). Puan Khartini memberi pendapat “ dalam menyebarkan nilai-nilai positif, pendekatan yang diambil kadangkala lebih penting daripada nilai itu sendiri”. Pada pendapat saya, tidak wajar juga nilai diperlawankan dengan pendekatan. Sebaliknya, pendekatan harus mencerminkan nilai yang bijaksana, berhikmah, tegas dan sebagainya.

Puan Khartini juga memberikan pandangan iaitu “ruang sekular tidak harus memberatkan nilai atau amalan sesuatu agama”. Saranan ini wajar tapi agak sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana unsur manusia merangkumi juga akal budi serta emosi yang telah diwarnai oleh pengalaman serta ilmu yang diterima sebelumnya. Setiap ahli mewakili pandangan hidup yang sebati dalam diri sendiri yang digunakan secara bawah sedar ketika membuat keputusan, melakukan penilaian dan memberi saranan.

Bagi masyarakat Islam sendiri, perlu dikaji dengan lebih mendalam “framework” yang digunakan oleh AWARE sebelum membuat kuputusan samada menyokong atau menentang. Garis pandu dalam Islam amat jelas tentang hak-hak wanita dan isu-isu berkaitan kekeluargaan. Selain itu, perlu juga dibuat perbandingan fahaman tentang moral, etika dan nilai murni Islam dan yang bukan supaya tidak berlaku kekeliruan dalam penerimaan.

Melalui perbahasan-perbahasan begini, anggota masyarakat diajak untuk turut sama merenung dan berfikir. Ia mampu mendidik serta meningkatkan kematangan dalam menerima kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat majmuk negara kita. Sewajarnya, ia juga meningkatkan kesedaran dan kesungguhan untuk memastikan pemikiran para pelajar tidak dicemari dan dikelirukan.

Layakkah kita jadi Melayu?

(memberi pandangan kerana penulis ini sering mengkritik dan memperkecil sumbangan bangsa melayu)

Saya merujuk tulisan En A Rahman Basrun bertajuk “Melayu atau Melaju? Fikir dulu” (BH 2/4/09).

Penulis telah mengupas asal usul perkataan “Melayu” dan memberi beberapa makna yang berkaitan dengan perkataan Melayu ini.

Saya setuju dengan pendapat penulis yang mengajak pihak-pihak yang merasa segan sebagai Melayu supaya berfikir dahulu. Pada pendapat saya perlu diperbetulkan tanggapan negatif yang semakin kerap kedengaran terhadap bangsa Melayu. Salah satu caranya ialah kembali menilik sejarah.

Sejarah tamadun alam Melayu memaparkan rangkaian pertistiwa yang menunjukan kehebatan orang-orang Melayu dizaman silam. Paparan tamadun alam Melayu tidak diperlihatkan dalam bentuk bangunan atau seni bina serta kraftangannya seperti tamadun bangsa lain. Sebaliknya ia lebih kepada keperibadian, pemikiran, keagamaan serta kebudayaan yang lebih tinggi nilainya.

Sebagai perbandingan, kita dapati orang-orang Melayu dahulu meletakan ilmu dikedudukan yang sangat tinggi. Terdapat banyak pusat-pusat pengajian Islam yang ditubuhkan di merata tempat di seluruh pelusuk alam Melayu. Hanya, pusat-pusat ini tidaklah sehebat universiti-universiti termasyhur dunia.

Sejarah juga mengkisahkan keberanian dan kebijaksanaan orang-orang Melayu yang meneroka lautan dan menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau. Semua ini mencerminkan watak Melayu yang berfikiran global dan progresif. Keberanian dan hidup penuh bermakna merupakan motto hidup mereka dizaman itu.

Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bangsa Melayu secara drastik dan menyeluruh. Islam telah berjaya menjadikan tamaddun Melayu ketika itu diantara yang unggul sehingga menarik minat bangsa Eropah untuk dijelajahi dan ditakluki. Kesan penjajahan ini telah meninggalkan kesan yang besar pada nasib bangsa Melayu sehingga kini.
Dengan mengkaji sejarah, dapat membantu kita mengatasi rasa rendah diri dan mengembalikan identiti sebagai orang Melayu. Formula yang telah digunakan dimasa silam yang telah berjaya memperkasa individu Melayu. Ia telah menghasilkan ramai individu Melayu yang terdidik secara benar, jelas identitinya, jujur, sederhana, berani dan adil dalam menjalankan kewajibannya dalam pelbagai aspek kehidupannya.

Dengan adanya ramai individu-individu yang memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini, akan menjamin wujudnya masyarakat yang baik dan negara yang maju dan aman. Maka tumpuan dan penekanan sewajarnya ialah bagi memastikan nilai-nilai diri yang baik ini dimiliki oleh semua.

Setiap individu wajar menerima kritikan terhadap bangsa Melayu sebagai cabaran dan bukan terus me-layu. Kurangkan mengeluh tapi sebaliknya berusaha mengubah segala yang negatif. Persoalan yang wajar ditanya, apakah kita layak jadi Melayu?

Saranan Menghadapi Kegawatan Ekonomi

Dalam mengharungi kegawatan ekonomi ketika ini, ramai yang bukan saja mengalami kesempitan wang tapi juga fikiran dan jiwa. Pembuangan kerja dan kesukaran mendapatkan pekerjaan baru mampu membuat sesaorang itu merasa lemah semangat dan memerlukan bantuan serta sokongan moral.

Diperingkat individu, sementara menanti peluang pekerjaan baru, masa terluang yang ada masih boleh dimanfaatkan. Peluang mempelajari kemahiran baru, meningkatkan jati diri dan menyumbang tenaga dalam kegiatan amal merupakan aktiviti-aktiviti yang boleh ditimbangkan.

Diperingkat masyarakat, usaha meningkatkan semangat perpaduan, gotong-royong, bantu-membantu wajar ditingkatkan. Usaha-usaha begini menunjukkan keprihatinan dan mampu mengukuh persaudaraan sesama Islam.

Institusi seperti mesjid boleh membantu usaha-usaha ke arah ini dengan lebih berkesan. Keakraban mesjid yang terletak di hampir kesemua kejiranan boleh dimanfaatkan. Peruntukan dana yang telah disediakan oleh MUIS wajar digunakan seoptima mungkin. Dana ini diperlukan bagi membiayai sebahgiaan besar dari program-program yang hendak dijalankan di mesjid-mesjid.

Saya ingin mensarankan beberapa aktiviti untuk ditimbangkan oleh lembaga pentadbir mesjid (LPM). Ia merupakan program sementara bagi membantu masyarakat berhadapan dengan ujian ketika ini.

Memperbanyak program ziarah masyarakat berdekatan mesjid bagi memberi sokongan secara fizikal dan moral.

Kuliah motivasi yang memberikan panduan-panduan pratikal diadakan secara lebih kerap di mesjid. Panduan mengatur perbelanjaan, menjaga kesihatan dan kaedah rawatan yang mudah, mengurangkan stress, mengimbangi kehidupan adalah diantara pengisiannya.

Menggalakkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Boleh juga diadakan acara berbuka puasa beramai-ramai persis bulan Ramadhan. Selain manfaat puasa yang telah diketahui, dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dan meningkatkan tahap kesihatan.

Mengadakan program qiyamulail secara tetap untuk memperoleh fadhilat keberkahan rezeki dan bantuan dari Allah s.w.t

Mengadakan program zikir beramai-ramai bagi memberi ketenangan dan menghilangkan tekanan fikiran dan jiwa

Menganjurkan persembahan kesenian Islam atau aktiviti sukan oleh jabatan belia sebagai satu wadah hiburan. Kerjasama antara mesjid boleh diadakan untuk memberi kepelbagaian.

Menyediakan makanan malam untuk keluarga yang terjejas. Bungkusan makanan yang telah dimasak pilihan pratikal untuk edaran. Selain itu boleh menarik mereka untuk mengikuti aktiviti di mesjid.

Menjalin rakaian dengan peniaga-peniaga di sekitaran kawasan mesjid untuk penyediaan makanan dengan kos yang rendah. Ini dapat juga membantu para peniaga menampung kos niaga mereka.

Mendapatkan tenaga mereka yang tidak bekerja sebagai sukarela sementara untuk menjayakan aktiviti-aktiviti yang diadakan. Pihak LPM boleh menimbang memberikan elaun tambang. Bagi mereka yang menunjukkan kesungguhan, boleh juga diberikan habuan samada berbentuk wang atau voucher makanan.

Matlamat utama dari segala aktiviti yang diadakan ialah bagi memastikan setiap ahli masyarakat tidak merasa sendirian dalam menghadapi masa-masa sukar begini.

Dalam menghadapi kesukaran yang dijangkakan berpanjangan ini, semua orang berusaha untuk saling membantu. Selain mengisi keperluan jasmaniah, keperluan rohaniah turut diutamakan. Kerja-sama yang melibatkan semua pihak ini akan lebih menguntungkan masyarakat untuk jangka masa yang panjang, Insya Allah.